PEMILIK pub The Red White &
Blue, Karen Murphy bercakap kepada media di luar pubnya di Southsea,
Portsmouth, selatan England semalam.
LONDON - Mahkamah Keadilan Eropah kelmarin membuat keputusan yang
memihak kepada pemilik sebuah pub di Britain berhubung isu monopoli
siaran bola sepak dalam kes yang dilihat berisiko menggugat keuntungan
lumayan dunia penyiaran sukan.
Dalam keputusan yang dinanti-nantikan sejak sekian lama, mahkamah
berkenaan memihak kepada pemilik pub tersebut yang sebelum ini didenda
kerana menyiarkan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan
menggunakan pembekal perkhidmatan televisyen satelit asing.
Keputusan oleh mahkamah di Luxembourg itu dilihat bakal membuka
perubahan besar dalam jualan oleh pemilik dan pemasaran oleh badan
penyiaran program sukan.
EPL merupakan liga bola sepak terkaya di dunia dengan perjanjian
penyiaran televisyen terakhir badan bola sepak berkenaan yang akan
berakhir pada musim depan membawa pulangan £3.5 bilion (RM17.23 bilion)
yang mana £1.4 bilion (RM6.89 bilion) dibayar oleh stesen penyiaran
asing.
Mahkamah berkenaan menyatakan dalam penghakimannya bahawa
undang-undang negara yang melarang import, jualan dan penggunaan kad
dekoder asing adalah bercanggah dengan kebebasan untuk membekalkan
perkhidmatan.
Ia juga tidak memiliki justifikasi untuk mencapai objektif bagi
melindungi hak cipta harta intelek atau objektif menggalakkan orang
ramai menonton bola sepak di stadium-stadium, tambahnya.
Keputusan mahkamah berkenaan melibatkan Karen Murphy yang menguruskan
pub The Red White & Blue di bandar Portsmouth selatan England dan
EPL berhubung monopoli perlawanan langsung bola sepak.
Apabila Murphy mengambil alih pengurusan pub itu pada 2004, dia
membatalkan lesen untuk menyiarkan perlawanan EPL melalui stesen
televisyen satelit Britain,
BSkyB dan melanggan perkhidmatan televisyen Greece yang jauh lebih murah.
Wanita berkenaan berkata, yuran tahunan perkhidmatan Nova sebanyak
£800 (RM3,939) setahun adalah jauh lebih murah berbanding caj bulanan
£700 (RM3,447) yang dikenakan oleh
Sky TV.
EPL yang menjual hak penyiaran perlawanan secara langsung kepada stesen televisyen
BSkyB mengheret Murphy ke sebuah mahkamah di England.
Murphy diarah membayar denda dan kos hampir £8,000 (RM39,404) ekoran kesalahannya.
Namun, pada tahun ini, dia membawa kes itu ke Mahkamah Keadilan Eropah (ECJ) yang mewakili 27 buah negara Eropah.
Menurut Murphy kelmarin, dia teruja dengan keputusan itu selepas mengharungi satu pergelutan undang-undang yang sukar.
"Orang-orang korporat ini berasakan mereka boleh mengeluarkan wang dalam pelbagai perkara dan menang," katanya.
"Perasaan saya lega, teruja. Ia seperti Karen menentang Goliath," katanya. - Agensi
No comments:
Post a Comment