Nasib malang yang menimpa pesawat Malaysia Airlines MH370 menimbulkan
kemarahan warga China terutama apabila dua pertiga daripada jumlah
penumpang adalah rakyat negara itu. Gambar fail Reuters.
Agensi pelancongan di China melaporkan penurunan ketara bilangan pelancong China ke Malaysia, lapor South China Post.
Ada antara mereka, termasuk selebriti meminta pengunjung memboikot
lawatan mereka ke destinasi popular Malaysia sejak kehilangan pesawat
Malaysia Airlines (MAS) MH370.
“Dalam masa dua minggu selepas kejadian, kami melihat penurunan
pengunjung dari utara China ke Malaysia sebanyak 50% berbanding tempoh
sama tahun lalu termasuk pelancong individu dan berkumpulan,” kata Dun
Jidong pengurus pemasaran kanan di Ctrip.com kepada South China Post.
Menurut laporan itu, tiga agensi pelancongan terkemuka seperti China
International Travel Service, China Youth Travel Service dan BTG
International Travel and Tours turut melaporkan penurunan sama.
“Impaknya melarat ke destinasi utama di Asia Tenggara. Kebanyakan pakej
pelancongan kami termasuk Malaysia dan Thailand, pelancong enggan pergi
ke sana bukan sahaja kerana MH370 tetapi pergolakan politik Thailand,”
kata agen pelancongan yang enggan namanya didedahkan kepada akhbar itu.
Menteri Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz di sidang Dewan
Rakyat pada Isnin berkata, kementeriannya mengambil tindakan
menghentikan segala jelajah promosi Tahun Melawat Malaysia 2014 bagi
menghormati perasaan dan sensitiviti ahli keluarga 239 penumpang dan
anak kapal MH370.
Katanya, insiden kehilangan pesawat MAS MH370 menjejaskan bilangan pelancong yang datang ke negara ini terutamanya dari China.
Beliau berkata, dengan insiden yang berlaku agak mustahil untuk
Kementerian Pelancongan meneruskan jejalah promosi Tahun Melawat
Malaysia yang mensasarkan 28 juta pelancong datang ke Malaysia.
Namun, South China Post melaporkan sebuah resort di Kota Kinabalu masih
belum terjejas setakat ini, kata seorang pekerja di sana.
“Kebanyakan pelanggan kami menempah bilik mereka satu atau dua bulan
awal. Kami mungkin melihat kesan sebenar dalam satu atau dua bulan
lagi,” kata Aaron Chang, pengurus projek di KK-Suites Residence.
Tourism Malaysia berkata, 1.79 juta pelancong China melawat Malaysia tahun lalu mencatatkan 15% kenaikan secara tahunan.
China merupakan negara ketiga terbesar mengunjungi Malaysia dan penyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Akhbar itu turut melaporkan bintang filem terkenal di China, Chen Kun
menggesa orang ramai mengelak mengunjungi Malaysia berdasarkan satu
kirimannya di laman sosial.
“Saya akan mula memboikot dari hati saya yang paling dalam terhadap
sebarang komersial dan pelancongan berkaitan Malaysia. Ini yang terakhir
sehingga kerajaan Malaysia menanggalkan teropong mereka dan
menceritakan kebenaran,” katanya.
Chen mempunyai lebih 70 juta pengikut di laman sosial dan kirimannya
dikirimkan semula sebanyak 70,000 kali dengan mendapat 30,000 komen yang
kebanyakannya menyokong cadangan itu.
Seorang ahli perniagaan di Shanghai, Wang Dezhang berkata kepada South
China Post, sesetengah pelancong membatalkan tempahan mereka dengan
isterinya bersama 14 ibu bapa lain bersama keluarga mereka turut
membatalkan rancangan ke Malaysia pada Julai ini.
“Kami sudah menempah segalanya namun membatalkannya kerana menimbangkan faktor keselamatan,” katanya.
Agensi pelancongan, China Youth Travel Service juga menghentikan
kerjasama dengan MAS bagi pakej pelancongannya ke Kota KInabalu dan
menjanjikan pulangan penuh wang kepada pelanggan yang berhasrat untuk
membatalkan rancangan mereka, menurut akhbar itu.
“Selepas insiden MH370, hampir tiada pelancong yang bertanya tentang
Malaysia meskipun ia musim yang sesuai untuk ke sana,” kata pengarah
pemasaran syarikat itu, Ge Lei kepada akhbar berkenaan. - 27 Mac, 2014. (TMI)