Friday, 30 September 2016

NSTP Bakal Tutup 2 Kilang..

50_big

KUALA LUMPUR, Khamis – Bekas Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Mustapha Kamil mendedahkan syarikat akhbar New Straits Times Press (M) Berhad akan menutup dua kilang percetakannya. 

Beliau berkata, kilang di Ajil di Terengganu dan Senai di Johor akan ditutup dipercayai kesan daripada kemerosotan jualan akhbar dan hasil iklan.

“Saya diberitahu bahawa semua pekerja di kilang-kilang terbabit diberi pilihan mengikut tatacara kesatuan sekerja. Mereka boleh memilih untuk dipindahkan ke Prai atau Shah Alam, atau memilih untuk diberhentikan.
“Saya percaya penutupan kedua kilang tersebut adalah sebahagian dari langkah-langkah syarikat untuk mengelakkan dari terus menanggung kerugian, berikutan merudumnya jualan akhbar dan iklan,” kata Mustapha dalam catatan Facebooknya.
Selain akhbar berbahasa Inggeris NST, syarikat New Straits Times Press (NSTP) yang dimiliki Media Prima Berhad juga menerbitkan Berita Harian dan Harian Metro.
“Sebagai bekas pekerja syarikat ini, saya berharap pihak syarikat akan dapat segera membendung kemelesetan prestasinya dengan meneliti sebab-sebab sebenar ia berlaku.
“Saya percaya pihak syarikat amat arif tentang faktor yang menyebabkan penurunan prestasi produknya itu. Anda tidak boleh lagi menidakkan apa yang benar dan anda juga tidak lagi mempunyai banyak masa,” katanya. (IH)

Thursday, 29 September 2016

100 operator kilang dakwa dipecat 24 jam

operator kilang
Gambar hiasan.

BATU KAWAN - Sekumpulan 100 pekerja sebuah kilang hari ini mengadakan demonstrasi aman di sini kerana mendakwa mereka dianiaya oleh majikan yang menamatkan perkhidmatan mereka hanya dengan memberi notis 24 jam.

Kumpulan itu yang sebahagian besarnya bertugas sebagai operator syarikat pengeluar 'crystalline silicon solar cell' itu yang berpusat di tanah besar Pulau Pinang, mendakwa mereka diberi notis bertarikh 26 Sept untuk memaklumkan bahawa hari terakhir mereka bekerja adalah pada 27 September.

Notis itu turut meminta pekerja terbabit menghadirkan diri di jabatan sumber manusia syarikat berkenaan pada 28 Sept (hari ini) untuk memulangkan barangan hak milik syarikat.

Seorang wakil kumpulan itu, Nurul Amirah Ahmad, berkata mereka berasa sangat kecewa apabila hanya notis 24 jam diberi oleh majikan untuk memaklumkan bahawa mereka tidak lagi bekerja pada esok hari.
Beliau berkata, majikan juga enggan bertemu atau memberi penjelasan lanjut berhubung isu itu selepas notis berkenaan diserahkan.

"Sungguhpun hakikatnya kami mendapat pampasan, namun kami telah kehilangan kerja dan dalam keadaan sekarang, amat sukar untuk kami mencari kerja di tempat lain," katanya semasa demonstrasi itu di hadapan kilang berkenaan hari ini.

Bagaimanapun, para pegawai syarikat tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasan.

Pegawai Hubungan Perindustrian Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia Pulau Pinang V. Viji berkata tindakan pemberhentian kerja oleh syarikat terbabit dengan memberi notis  24 jam adalah satu kesalahan dan dianggap sebagai pemberhentian tidak adil.

"Tindakan syarikat itu adalah jelas suatu pelanggaran undang-undang buruh dan kod perilaku keharmonian perindustrian," katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II Dr P. Ramasamy yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Pendidikan dan Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, berkata satu perjumpaan akan diatur dengan kumpulan pekerja itu bagi meneliti melihat bentuk bantuan yang mereka perlukan.

"Adalah amat malang perkara ini berlaku, kami akan cuba mempertimbang beberapa cara untuk membantu mereka. Jika mereka merasakan berlaku penipuan, misalnya, mereka boleh membawa perkara ini ke tengah," katanya.

Menurut laporan semalam, sebuah kilang di sini melakukan aktiviti pemberhentian dengan memberi notis 24 jam dan lebih 100 pekerja yang terlibat juga dinasihati supaya tidak datang bekerja pada hari berikutnya. -Bernama

Thursday, 22 September 2016

Temasek Rugi RM73 Bilion Kesan Kelembapan Ekonomi Global

HO CHING ialah Ketua Pegawai Eksekutif Temasek dan merupakan Isteri Perdana Menteri Singapura. AGENSI

KUALA LUMPUR – Temasek Holdings yang dianggap sebagai syarikat milik kerajaan (GLC) paling kukuh di rantau ini turut me­nerima tempias ketidaktentuan ekonomi dunia apabila dilaporkan mengalami kerugian S$24 bilion (RM73 bilion) bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac lalu.
Prestasi kewangan syarikat pelaburan negara bagi Singapura itu yang berakhir Mac lalu, diumumkan semasa minggu Hari Raya Aidilfitri pada awal Julai, dan dilihat kurang mendapat liputan meluas media antarabangsa seperti mana yang diterima oleh syarikat-syarikat lain termasuk dari Malaysia.
 laporan itu, Temasek mengalami pengurangan nilai portfolio bersih daripada S$266 bilion (RM806 bilion) kepada S$242 bilion (RM733 bilion), menyebabkan pulangan pemegang kepentingan GLC itu berkurangan 9.02 peratus.
Syarikat itu dipengerusikan oleh bekas ahli politik parti pemerintah Singapura, Parti Tindakan Rakyat (PAP), Lim Boon Heng sementara Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ho Ching merupakan isteri Perdana Menteri Singa­pura, Lee Hsien Loong.
Menurut laporan States Times Review, tiada ulasan lanjut diberikan oleh Temasek menerusi laporan tahunan syarikat itu, sebaliknya hanya menyalahkan ketidaktentuan pasaran sebagai punca syarikat berkenaan me­ng­alami penyusutan nilai asetnya.
Mengulas perkara tersebut, Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr. Nazri Khan Adam Khan berkata, penyusutan nilai yang dialami oleh Temasek itu selari dengan masalah prestasi buruk yang dialami oleh beberapa syarikat serantau yang lain.

“Beberapa faktor dilihat te­lah menjejaskan syarikat tersebut. Antaranya kesan tindakan pelabur-pelabur asing mengeluarkan dana masing-masing daripada pasaran ekuiti negara-negara berkembang pesat sepanjang tahun lalu.
"Faktor lain ialah kejatuhan harga komoditi. Malah, pe­ngukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding banyak negara termasuk Singapura turut menjejaskan Temasek. Bagaimanapun ia bersifat sementara dan mengikut perkembangan pasaran dunia,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ditubuhkan pada tahun 1974, Temasek mempunyai kepenti­ngan di dalam syarikat-syarikat milik Singapura antaranya syarikat penerbangan Singapore Airlines, syarikat telekomunikasi Singtel, jenama perbankan DBS, Keppel Corporation dalam sektor pelabuhan dan perkapalan serta aset hartanah CapitaLand.
Setakat akhir Mac lalu, Temasek masih mempunyai hutang bersih sebanyak S$44.4 bi­lion (RM135 bilion). Syarikat itu bagaimanapun menjelaskan tidak menawarkan jaminan kewangan terhadap syarikat-syarikat portfolionya.
Singapura dikelaskan sebagai satu daripada 20 negara yang memiliki hutang asing terbanyak di dunia berjumlah AS$1.76 trilion (RM7.22 trilion), mengikut maklumat hutang global yang dikumpul oleh enjin pencarian, Yahoo!.
Mengikut ruangan kewangan enjin pencarian itu, hutang asing bermaksud pinjaman-pinjaman yang dibuat oleh individu atau entiti dalam sesebuah negara itu daripada pihak asing – UM

Wednesday, 21 September 2016

Petronas bakal kurangkan lagi pekerja, lapor WSJ




petronas-image
KUALA LUMPUR, Rabu – Syarikat minyak dan gas negara, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) sedang meneliti untuk mengurangkan lebih 700 pekerjanya dalam usaha melawan kesan daripada kejatuhan harga minyak, lapor The Wall Street Journal (WSJ) yang memetik sumber industri. 
WSJ turut memetik kenyataan Petronas, Selasa lalu yang menyebut syarikat itu akan terus menyemak semula strategi perniagaan dan tahap perjawatan untuk menyesuaikannya dengan perubahan semasa.
“Amalan transformasi itu melibatkan keseluruhan kumpulan Petronas, termasuk di peringkat anak syarikat. Lebih banyak maklumat akan didedahkan pada masa yang sesuai,” kata Petronas.
Syarikat itu pada Mac lalu mengumumkan akan mengurangkan sejumlah 1,000 pekerja, di samping memotong perbelanjaan sebanyak AS$11.4 bilion dalam tempoh empat tahun.
Langkah sama dilaksanakan syarikat minyak utama dunia, termasuk Shell yang menanggung kesan kejatuhan harga minyak mentah.
Setakat akhir tahun lalu, Petronas menggaji 53,000 pekerja, berdasarkan laporan tahunannya.
Tiga entiti utama di bawah Petronas iaitu Petronas Chemicals menggaji 4,659 pekerja, Petronas Gas (2,187) dan Petronas Dagangan (1,900), menurut laporan tahunan 2015.
Pada Ogos lalu, sebanyak 96 peratus keuntungan Petronas berkurangan pada suku terakhir susulan harga minyak yang jatuh.
(IH)

Tuesday, 20 September 2016

Tabung Qard al-Hassan bantu rakyat miliki rumah



IDEA untuk kerajaan negeri menubuhkan sebuah tabung khas bagi membiayai perumahan kepada rakyat secara ‘Qard al-Hassan’ (pinjaman tanpa faedah) wajar dipandang serius demi membela kebajikan rakyat.

Kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri membuka perkampungan baru dengan premium tanah yang rendah dan membina rumah asas dengan kos yang berpatutan serta mengenakan pinjaman secara ‘Qard al-Hassan’ adalah langkah bagi menyelesaikan masalah pemilikan rumah dalam kalangan rakyat khususnya yang berpendapatan rendah dan sederhana akibat harga rumah yang terlalu mahal.

Hari demi hari, kenaikan harga rumah ibarat sukar dibendung dan angka itu semakin memeritkan kehidupan rakyat. Mengikut kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani, 31.2%daripada pendapatan rakyat akan dihabiskan untuk makanan, 23.9% pula kepada petrol, utiliti dan perumahan.

Jumlah itu secara relatifnya adalah tinggi dan sewajarnya beban itu dikurangkan. Pembiayaan perumahan dengan "keuntungan" tidak mungkin menyelesaikan masalah bebanan yang terpaksa ditanggung rakyat setiap hari.

Tambahan pula, 56.2% daripada 89.1% keseluruhan hutang daripada KDNK pada 2015 adalah hasil daripada pembiayaan perumahan dan harta tanah. Malah, saya tekankan dalam kenyataan-kenyataan terdahulu data yang menunjukkan harga rumah di Malaysia dalam keadaan yang semakin sukar dikawal.

Keputusan Kementerian mengenai pemberian lesen pembiayaan kepada para pemaju bukanlah tindakan yang menyelesaikan masalah utama rakyat Malaysia ketika ini. Selepas mendapat bantahan, akhirnya perkara itu berubah menjadi suatu "cadangan" yang belum diputuskan.

Kementerian menekankan soal "win-win solution" ketika mengemukakan "keputusan" tersebut. Saya tidak jelas siapa "win" dan siapa yang tidak dengan keputusan tersebut. Malah, apa pula "win situation" kepada para pembeli yang bakal berdepan dengan harga rumah dengan nilai keuntungan yang akan semakin tinggi dan tidak terkawal?

Isu ini perlu diteliti dengan dua aspek; (i) kenaikan harga rumah yang semakin meningkat, dan (ii) pembiayaan dengan kadar 'keuntungan' yang tidak muhasabah dan wajar dihapuskan bagi mengurangkan beban yang ditanggung pembeli.

Islam menyediakan ruang dan asas yang begitu signifikan dalam kaedah hutang antaranya melalui pinjaman tanpa faedah (Qard al-Hassan). Ini kerana Islam ingin mengajar umatnya berhutang hanya untuk keperluan yang tinggi manakala orang ramai pula tidak berhutang jika mereka mampu membelinya secara tunai.

Maka, sewajarnya isu ini diteliti dengan lebih mendalam supaya penyelesaian yang lebih realistik diluncurkan kepada rakyat Malaysia. Kembali kepada penyelesaian Islam dan inilah penyelesaian kita.

"Inilah Penyelesaian Kita"




DATUK IN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus 
19 September 2016 | 17 Zulhijjah 1437 - HARAKAHDAILY 19/9/2016

Sunday, 18 September 2016

S'pura, Antara 20 Negara Hutang Tertinggi Di Dunia,

Hasil carian imej untuk singapura lambang singa

SINGAPURA, negara termaju di rantau ASEAN, merupakan antara 20 negara memiliki kadar hutang asing tertinggi di dunia, menurut maklumat hutang global terkini dikumpul enjin pencarian, Yahoo!.

Republik itu dianggarkan memiliki hutang bernilai AS$1.76 trilion (RM7.22 trilion). Mengikut ruangan kewangan enjin pencarian itu, hutang asing bermaksud pinjaman yang dibuat oleh individu atau entiti sesebuah negara daripada pihak asing.
Pinjaman itu sama ada merupakan pinjaman atau sekuriti hutang oleh kerajaan atau syarikat-syarikat tempatan daripada institusi kewangan atau bank komersial asing.
Nilai hutang yang dikumpul oleh Yahoo! itu disiarkan pada 7 September lalu, dengan meletakkan kuasa ekonomi terbesar dunia, Amerika Syarikat (AS) sebagai negara yang memiliki hutang asing tertinggi sebanyak AS$17.91 trilion (RM73.43 trilion) setakat 31 Mac 2016.
Berdasarkan data-data hutang terkini yang dikumpul, United Kingdom merupakan negara kedua mempunyai hutang asing terbanyak iaitu AS$9.6 trilion (RM39.36 trilion) diikuti Perancis AS$5.75 trilion (RM23.58 trilion) dan Jerman AS$5.54 trilion (RM22.71 trilion).
Antara negara-negara lain yang dikelaskan sebagai 20 negara yang memiliki hutang asing yang tinggi ialah Luxembourg AS$3.47 trilion (RM14.23 trilion), Jepun AS$2.86 trilion (RM11.73 trilion), Itali AS$2.65 trilion (RM10.87 trilion), Belanda AS$2.52 trilion (RM10.33 trilion) dan Sepanyol AS$2.3 trilion (RM9.43 trilion).
Negara paling maju di ASEAN, Singapura berada di kedudukan ke-10 dengan hutang asing AS$1.76 trilion (RM7.22 trilion), diikuti China AS$1.68 trilion (RM6.89 trilion), Switzerland AS$1.61 trilion (RM6.60 trilion), Kanada AS$1.49 trilion (RM6.11 trilion), Australia AS$1.39 trilion (RM5.69 trlion), Belgium AS$1.28 trilion (RM5.25 trilion) Hong Kong AS$1.23 trilion (RM5.04 trilion) dan Rusia AS$599 bilion (RM2.46 trilion).
Beberapa negara rantau Skandinavia yang memiliki tahap sosial tinggi juga memiliki hutang asing besar seperti Sweden AS$1.15 trilion (RM4.72 trilion), Nor­way AS$615 bi­lion (RM2.52 tri­­lion) dan Denmark AS$593 bilion (RM2.43 trilion). – Agensi

Saturday, 17 September 2016

Makin Ramai Jadi Penganggur Dibuang Kerja Di Singapura

Makin Ramai Jadi Penganggur Di Singapura

SINGAPURA – Di tengah-tengah keadaan ekonomi makin lemah, kadar pengangguran di Singapura meningkat dalam suku kedua, malah lebih ramai pekerja dibuang kerja, menurut media tempatan.

Berdasarkan laporan terbaharu Pasaran Buruh yang dikeluarkan setiap enam bulan oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM), buat julung kalinya sejak Jun 2012, jumlah pemohon kerja melebihi bilangan jawatan kosong, .
Dalam kalangan warganegara Singapura sendiri, kadar pengangguran naik daripada 2.6 peratus kepada 3.1 peratus manakala mereka yang bertaraf penduduk tetap pula, ia naik daripada 2.7 peratus kepada 3 peratus.
Kadar pengangguran naik lebih tinggi melibatkan kalangan penduduk yang berusia 30 tahun dan ke atas, dan khususnya, mereka yang berusia 50 tahun dan ke atas, menyaksikan kenaikan buat lima suku berturut-turut.
Mereka yang berlatar belakang pendidikan tinggi juga tidak terkecuali, dengan kadar pengangguran dalam kalangan graduan pemegang ijazah dari universiti dilaporkan meningkat teruk kepada paras tertinggi sejak 2009.
Pengambilan pekerja secara keseluruhannya naik hanya 4,200, berbanding 13,000 pada suku sebelumnya dan 9,700 jika dibandingkan dengan suku yang sama setahun lalu, tambah laporan perangkaan MOM tersebut.
Sejumlah 4,800 pekerja diberhentikan kerja dalam suku kedua berbanding masing-masing hanya 4,710 pekerja pada suku sebelumnya dan 3,250 pekerja pada tempoh yang sama setahun lalu.
Ini adalah kadar pemberhentian pekerja suku kedua yang tertinggi direkodkan MOM sejak 2009, yang menyaksikan 5,980 orang terpaksa diberhentikan kerja, menurut laporan kementerian berkenaan lagi.
Stesen penyiaran tempatan, Channel NewsAsia melaporkan secara kesluruhannya, 9,510 pekerja diberhentikan kerja dalam separuh pertama tahun ini, juga jumlah tertinggi sejak 2009. – Agensi