Tuesday, 7 March 2017

Jahit selimut bantu ekonomi miskin bandar

 JAYA (kiri) dan suaminya, Mageswaran gembira mengikuti projek menjahit selimut dan alas kaki kelolaan Kechara Soup Kitchen Society.
Melangkah keluar lif, kelihatan seorang lelaki duduk di kerusi rodanya di muka pintu tidak jauh dari situ sambil tersenyum. Seorang wanita pula menjenguk sambil berjalan agak tempang menggunakan tongkat.
“Maaf, macam nilah rumah kami, orang kelainan upaya (OKU),” kata Jaya Letchumy Rasalingam, yang fasih berbahasa Melayu memulakan bicara. Rumah pangsa satu bilik yang didiami pasangan itu kelihatan rapi dengan satu sudutnya khusus untuk peralatan menjahit.
Jaya Letchumy dan suaminya, Mageswaran Veerapan, masing-masing 41 tahun, merupakan pasangan aktif projek menjahit selimut yang dikelolakan oleh Kechara Soup Kitchen Society (KSK) dalam usaha membantu golongan miskin bandar di sekitar Kuala Lumpur menambah pendapatan.
“KSK juga bekalkan mesin jahit, benang, jarum dan kain,” kata Jaya Letchumy yang mesra dengan panggilan Jaya sambil menunjukkan cantuman-cantuman kain yang dijahitnya.
“Suami saya pun bantu juga tapi dia buat alas kaki. Walaupun kami cacat, kami boleh buat sesetengah kerja,” jelasnya mengenai satu lagi projek KSK iaitu membuat alas kaki daripada selimut hotel yang dikitar semula.
“Kami sekolah sampai Sijil Rendah Pelajaran sahaja. Nasib baik KSK buat projek ini, dapatlah kami cari duit sikit dan tidak bergantung seratus peratus pada orang,” tambah Mageswaran dengan loghat utara yang agak pekat.
Dia berasal dari Bedong, Kedah manakala Jaya pula dari Selayang, Selangor.
Kemalangan
Jaya memberitahu, mereka berdua bukanlah cacat sejak dilahirkan. Jaya menjadi OKU ketika berumur 18 tahun, selepas terjatuh dari tingkat tiga di sebuah kilang, mengakibatkan tulang belakang dan kedua-dua tangannya patah serta tulang kakinya retak dan tumitnya hancur.
Mageswaran pula mengalami kecederaan ketika berusia 19 tahun kerana terjatuh dari pokok kelapa sewaktu membantu jiran di kampungnya. Dia terpaksa berkerusi roda sejak itu berikutan tulang belakangnya patah.
“Bukan patah saja tapi ada urat putus. Jadi seumur hidup kena guna kerusi roda. Saya nak kerja tapi di kampung tak banyak peluang. Jadi, saya mai Kuala Lumpur. Saya masuk pusat latihan, belajar apa yang boleh,” cerita Mageswaran.
Mereka berkahwin sejak 11 tahun lalu selepas beberapa bulan berkenalan ketika menjalani latihan kemahiran hidup di Independent Living (amp) Training Centre, sebuah pusat milik badan bukan kerajaan (NGO) di Rawang.
Kini, pasangan yang tinggal di Tingkat 12, Perumahan Awam Seri Kelantan, Jalan Sentul Pasar itu mendapat bantuan elaun bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat selain bekalan barangan dapur daripada KSK sejak beberapa tahun lalu. “Saya dah jahit lima belas helai selimut dan gembira dapat cari duit. Saya cadang nak ajar anak jiran buat alas kaki,” kata Jaya mengakhiri perbualan.
Seorang lagi peserta projek menjahit selimut KSK ialah Devi Sinnathurai, 39, yang tinggal bersama-sama suaminya, Ragunathan Batumalai, 43, dan 11 orang anak di Projek Perumahan Desa Rejang, Setapak Kuala Lumpur. Ragunathan bertugas sebagai pengawal keselamatan.
Devi yang menyertai projek itu sejak lima bulan lepas berkata, sejak menjahit, dia tidak perlu lagi meminta duit daripada suaminya untuk keperluan anak, yang berumur antara satu dan 18 tahun.
Latihan
“Saya harap kerja ni berterusan. Saya nak belajar menjahit langsir atau pakaian,” katanya yang mengambil masa kira-kira dua minggu belajar menjahit.
“Kami nak anak-anak belajar sampai kolej dan berjaya pada masa hadapan,” katanya yang sudah menyiapkan lima helai selimut.
Sementara itu, Pengarah Projek KSK, Justin Cheah berkata, projek menjahit selimut dan membuat alas kaki dimulakan pada pertengahan tahun lalu. Projek selimut bermula dengan lima keluarga miskin bandar manakala projek alas kaki lebih memberi tumpuan kepada gelandangan. Bayaran upah bagi setiap jahitan selimut ialah antara RM50 dan RM80 berdasarkan saiz manakala upah bagi alas kaki pula ialah RM30 setiap satu. Cadar dijual pada harga antara RM160 dan RM250 dan alas kaki pula RM30.
Kini, hanya 10 daripada 15 keluarga yang meneruskan projek selimut itu manakala lima lagi menarik diri. “KSK menerima pelbagai sumbangan termasuk mesin jahit dan bekalan untuk projek-projek kami. Selain melatih, kami pastikan peserta mampu menyiapkan selimut dan alas kaki dengan baik,” katanya.
KSK yang bertapak di negara ini sejak tahun 2006 juga memberikan bekalan barangan dapur bagi membantu golongan memerlukan, menyediakan bantuan asas perubatan melalui klinik bergerak, membantu gelandangan mencari pekerjaan dan bilik sewa yang sesuai serta memberi kaunseling bagi pelbagai masalah yang dihadapi. – Bernama.

Sunday, 5 March 2017

Silingkan harga tol sebelum bermain harga siling minyak

Hasil carian imej
ISU harga minyak bakal menjadi salah satu isu utama pada pilihan raya nanti jika harganya melampaui batas yang boleh ditampung rakyat marhaen. Cadangan kerajaan untuk mewujudkan harga siling untuk harga bahan api dan melepaskan tangan kepada para pengusaha stesen minyak untuk menentukan harga jualannya menimbulkan beberapa kemusykilan.

Pertama, apa bezanya harga jualan yang ditentukan kerajaan hari ini dengan harga siling yang bakal diumum nanti? Harga jualan hari ini sebenarnya adalah harga siling di mana syaratnya tiada siapa yang boleh menjual melepasi harga tersebut. Ia boleh disebut juga sebagai harga minimum yang boleh dijual kerana tiada stesen minyak di Malaysia yang pernah menjual di bawah paras itu setakat ini.

Permainan harga siling bermaksud meletakkan had maksimum pada harga jualan. Biasanya harga siling adalah lebih tinggi daripada harga pasaran sepatutnya untuk memberikan ruang untuk mewujudkan persaingan antara stesen minyak. Jika kerajaan ingin melaksanakan harga siling ini, ini bermaksud kerajaan akan terpaksa menetapkan harga jualan minyak maksimum yang jauh lebih tinggi berbanding harga pasaran, yakninya lebih tinggi daripada harga sekarang.

Jika harga siling tidak lebih tinggi harga pasaran, maka tiada siapa yang akan bersaing kerana menganggap  harga siling yang ditetapkan kerajaan itu ialah harga minimum yang perlu dijual untuk mengekalkan keuntungan. Pendek kata, sistem harga siling itu hanya akan membebankan rakyat kerana harga itu diyakini jauh melebihi harga pasaran dan menguntungkan lagi para pengusaha stesen minyak yang akan cenderung menganggapnya sebagai harga minimum.

Sebelum kerajaan bertegas juga untuk melaksanakan harga siling minyak, kerajaan perlu menimbangkan cara-cara lain untuk mengurangkan bebanan rakyat. Duit yang dijimatkan daripada penarikan subsidi minyak boleh digunakan untuk mengurangkan harga tol atau menyilingkan harga tol agar ia kekal sehingga tamatnya kontrak lebuh raya.

Contohnya, sepatutnya kerajaan sudah dapat menamatkan tol Bentong dan Gombak yang  telah lama beroperasi sejak 1970-an yang menjadi punca utama kesesakan di musim perayaan. Kerajaan juga boleh menetapkan harga perkhidmatan yang melibatkan kos pengangkutan bagi mengimbangi inflasi yang terhasil daripada harga minyak yang lebih tinggi.

Jangan biar rakyat tertanya-tanya ke mana semua duit subsidi yang dijimatkan?

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
5 Mac 2017 - HARAKAHDAILY 5/3/2017



PERHATIAN:

Info, Rakyat Indonesia Bisa Kerja Di Korea Selatan, Gaji Hampir 1 Juta Rp Sehari.

Seronoknya makhdum Raja Saudi tiru BRIM -


Hasil carian imej untuk subky latif


 


ALANG kepalang seronoknya Makhdum betapa Raja Saudi yang melawat Malaysia itu dikatakan hendak meniru pemberian BRIM kepada rakyatnya dan hendak mengadakan GST pula di negaranya.
     
Orang-orang yang menceceh hal itu di sini seperti Dr. Mahathir dan lain-lain hendak kata apa lagi.
     
Kata Makdum, kalau di negeri kita dikatakan rasuahlah! Menindas rakyatlah! Apakah Raja Salman merasuah rakyatnya dengan BRIM dan menindasnya dengan GST?
      
Bagi Makhdum yang seronok itu, kita tanya bila Saudi ada pilihan raya? Rajanya hendak rasuah politik apa sedang kerajaannya tidak pernah diundi.
      
Yang ditempelak rasuah itu ialah BRIM itu mula diperkenalkan menjelang PRU lalu. Tahun berikutnya, PRU belum diadakan lagi diberi sekali lagi.
      
BRIM yang pertama dulu di kebanyakan tempat diberi di majlis-majlis anjuran Umno. Seganlah si miskin yang tidak Umno hendak masuk ke kandang Umno. Sekarang dielokkan sedikit sistemnya supaya  tidak dilihat Unmo dan tidak dikatakan rasuah.
       
Mungkin pemberian di sini – niat dan sistemnya – kurang sah, tetapi di negara Wahabi itu sah. Bahkan berpesan Raja Wahabi itu kepada tuan rumah, memerintahlah mengikut syarah; berpesan kerana kebenaran dan kerana kesabaran. Jika pemberian ikut syariah tiada diraguilah sahnya.
       
Jika Raja Salman adakan BRIM, negaranya mampu dan berduit banyak. Dari beri derma RM2.6 bilion pada oang tak tentu hala buat apa duit itu, beri berbilion pada Mesir kerana dapat tumbangkan kerajaan Mursi, buang berbilion perangi Yaman, baiklah bagi pada rakyat berpendapatan kecil. 
       
Negaranya berkecukupan dalam semua perkara. Tidak diketahui ia berhutang. Dengan duit berguni-guni tidak sewajarnya berhutang.
       
Biar jadi macam pemerintahan Umar Abdul Aziz tiada yang mahu terima zakat (BRIM), yang belum nikah diberi perbelanjaan nikah. Duitnya memang tak habis. Tak perlu Saudi tiru BRIM, tapi tiru apa yang Umar Abdul Aziz Berjaya hapuskan kemiskinan.
      
Apapun Malaysia yang memberi BRIM adalah ibarat berkain singkat. Tarik ke atas nampak lutut, tarik ke bawah nampak pusat. Bagi BRIM terpaksa batal subsidi. Bagi  bantuan peladang, potong geran pelajar di luar negara.
      
Dengan ekonomi jatuh, duit jatuh, harga barang naik, BRIM suatu yang menelan belanja. Ia diadakan bukan sangat kesian kepada si miskin, tetapi  cara baru mengekalkan kuasa.
      
Jika GST diadakan adalah kerana kerajaan tidak cukup pendapatan dan hilang banyak punca pendapatan. Ada yang komoditi jatuh harga, adalah duit dicuri dan ditipu, ada bayaran hutang terlalu besar dan  ada kerana rasuah menjolok ozon.  
       
Dengan GST beban negara dapat diringankan tetapi ia mendera rakyat seperti Firaun kerah rakyat bina piramid.
       
Tidak diketahui kewangan Saudi teruk hingga memaksa mengadakan GST. Sebagai negara kaya ia tidak perlu mencukai berat rakyat. Jika kekayaan negara-negara teluk membebaskan rakyat dari cukai pendapatan, maka teruklah ertinya kalau Saudi adakan GST.
       
Lainlah kalau pendapatan rakyat tinggi, GST tidak menjejaskan kehidupan rakyat. Sekalipun rakyat tidak terasa beban GST, ia mengancam umat yang naik haji dan umrah. Perbelanjaan haji akan naik. Sekarangpun sudah diancam dengan visa yang tinggi. Bila ada GST akan mnyebabkan penyimpan Tabung Haji menabung lama atau meninggikan caruman bulanannya.
      
Makhdum gembira Raja Wahabi hendak meniru BRIM dan GST, tapi sangka ia membetulkan tindakan kita yang tidak sah. Di Saudi ia sah, di sini belum tentu. – HARAKAHDAILY 4/3/2017

Friday, 3 March 2017

Sejuta Kedai Di Tamil Nadu Boikot Pepsi, Coca Cola.


CHENNAI – Lebih sejuta peniaga di Tamil Nadu, sebuah negeri termaju di selatan India, memboikot penjualan Coca Cola dan Pepsi demi memajukan pelbagai produk minuman tempatan sendiri.

Larangan itu mulanya dicadangkan oleh dua badan perniagaan utama tempatan iaitu Persekutuan Peniaga Tamil Nadu (FTNTA) dan Forum Persatuan Peniaga Tamil Nadu (TNTAF) sebelum mula dilaksanakan pada 1 Mac lalu.
Dianggarkan lebih daripada satu juta kedai bakal mematuhi kempen pemulauan tersebut. Larangan berkenaan juga mendapat sokongan susulan sambutan kehadiran ramai anak muda dalam satu perhimpunan pada bulan lalu.
Ketika itu, ribuan peserta berkumpun untuk menyatakan sokongan menentang larangan terhadap penganjuran festival tradisional Jalikattu, iaitu acara yang melibatkan aksi lembu dikejar setiap kali sambutan pesta Pongal.
Ramai golongan belia berpendapat larangan pihak berkuasa ke atas Jallikattu sebagai serangan terhadap tradisi dan budaya setempat lebih 2,000 tahun lalu, malah ia turut dijadikan babak unik dalam pelbagai filem tempatan.
“Kami mula kempen boikot minuman ringan jenama popular Barat itu beberapa bulan lalu, tetapi baru mendapat momentum ketika kami memberi sokongan kepada gerakan pro-Jallikattu,” kata Tha Vellaiyan, Presiden FTNTA.
“Minuman tersebut tidak baik untuk kesihatan anda kerana kandungan gula dan bahan kimia yang tinggi. Justeru kami mempromosikan minuman ringan buatan India dan promosi jualan jus buah yang lebih baik,” katanya lagi.
Organisasi tersebut turut mendesak peniaga pasar, pengusaha restoran dan pemilik hotel di seluruh Tami Nadu mengikuti larangan itu sekali gus dapat membantu“kesejahteraan pengusaha tempatan dan petani domestik.”
Dalam pada itu, golongan petani turut menyokong usaha kempen boikot kerana mereka berpendapat bahawa kedua-dua perusahaan minuman ringan popular tersebut mengambil bekalan air terlalu banyak dari sumber sungai.
Akibatnya, sebahagian besar petani menghadapi kesukaran untuk mengairi kawasan pertanian terutama ketika musim kering sehingga mengakibatkan tanaman mereka kemudian menjadi tidak subur dan ada langsung mati.
Setakat ini, kedua-dua syarikat berasal dari Amerika Syarikat itu belum memberi ulasan atas larangan tersebut. Pepsi memasuki pasaran India sejak 1989 manakala Coca Cola pada 1993 lalu. – Agensi.


PERHATIAN:

Info, Rakyat Indonesia Bisa Kerja Di Korea Selatan, Gaji Hampir 1 Juta Rp Sehari.

Gula: Kongsi untung dengan rakyat, bukan naik harga


Hasil carian imej untuk Gula: Kongsi untung dengan rakyat, bukan naik harga
Oleh Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri

WALAUPUN kenaikan harga gula pasir putih bertapis kasar pada Mac 2017 hanya 11 sen, lebih rendah berbanding kenaikan pada Januari, Julai dan Disember 2010 serta pada 2011, 2012 dan 2013 yang mencatatkan kenaikan antara 20 sen sehingga mencecah 34 sen sekilogram, namun mengambilkira nilai semasa pertukaran Ringgit berbanding US Dollar sekarang ini, ia adalah merupakan kenaikan tertinggi berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Disebabkan berlakunya susut nilai Ringgit ditambah lagi dengan kenaikan pelbagai kos sara hidup dan pelaksanaan GST, 11 sen bukanlah suatu nilai yang kecil untuk ditanggung oleh pengguna dan peniaga-peniaga atau pengeluar produk makanan.


Keadaan ini pasti menjadikan peniaga-peniaga atau pengeluar produk makanan ini terpaksa memilih untuk menaikkan harga makanan dan minuman yang dijual mereka. Sekali lagi, tambahan harga ini perlu ditanggung oleh pengguna. Lebih malang, pasti ada pihak yang akan mengambil kesempatan di atas kenaikan harga ini.

Berbeza dengan sebelum ini Kerajaan menjadikan alasan mengelak komplikasi seperti penyakit jantung, mengurangkan risiko menghidap diabetes dan rasionalisasi subsidi bagi mewajarkan kenaikan harga gula, kali ini Kerajaan memberikan alasan kenaikan harga gula mentah dunia bagi memunasabahkan kenaikan ini.

Tanpa menafikan hal tersebut, namun dalam keadaan MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) iaitu anak syarikat kepada Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) yang merupakan sebuah GLC menjadi sebagai peneraju pengeluar gula bertapis terbesar di negara ini apabila mencatatkan hasil keuntungan yang kukuh dan pertumbuhan pendapatan yang mengkagumkan dalam sejarah 51 tahun syarikat seperti yang diumumkan pada 2016, Kerajaan sepatutnya berkongsi hasil lumayan ini dengan rakyat bukannya membebankan rakyat dengan kenaikan harga gula.

Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus



PERHATIAN:

Info, Rakyat Indonesia Bisa Kerja Di Korea Selatan, Gaji Hampir 1 Juta Rp Sehari.

Thursday, 2 March 2017

Sah, Gula Naik 11sen Kepada 2.95 Sekilo Berkuat Kuasa Semalam..




Kerajaan hari ini mengesahkan harga gula meningkat berkuat kuasa sejak semalam.

Kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan memberitahu, harga baru gula pasir putih bertapis kasar kini ialah RM2.95 sekilogram.

Penetapan itu, kata kementerian terbabit, dibuat mengikut Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) (Nombor 2) 2017.

"Kementerian dengan ini menetapkan harga baru bagi gula pasir putih bertapis kasar pada harga RM2.95 sekilogram," kata kenyataan media itu.

Kenaikan harga itu adalah yang pertama sejak kali terakhir dibuat pada 25 Oktober 2013. Ketika itu harga gula meningkat sebanyak 34 sen menjadi RM2.84 sekilogram.

Bagaimanapun pengguna tetap membayar gula itu pada harga RM2.85 sekilogram kerana jumlah sebenar dibundarkan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan seterusnya memberitahu kenaikan terbaru disebabkan peningkatan ketara pada harga gula mentah dunia yang diimport Malaysia.

"Bagaimanapun kerajaan masih mengawal harga tersebut pada paras paling minimum jika dibandingkan dengan negara-negara lain," kata kenyataan itu. (TKO)

PERHATIAN:
Info, rakyat Indonesia bisa kerja di Korea Selatan, gaji hampir 1 juta Rp sehari.



Kadar Inflasi Dijangka Meningkat Kepada 3.0 Peratus Tahun Ini.



KUALA LUMPUR: RHB Research Institute menjangkakan kadar inflasi akan meningkat kepada 3.0 peratus pada tahun ini berbanding 2.1 peratus pada 2016 berikutan perkembangan baharu yang cenderung kepada kenaikan kos serta tekanan inflasi.

"Faktor itu beserta peningkatan kelemahan tukaran asing dan kestabilan pertumbuhan ekonomi, menunjukkan bahawa Bank Negara Malaysia berkemungkinan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 3.0 peratus bagi 2017," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Menurut firma penyelidikan itu, pertumbuhan pinjaman dijangka berkurangan kepada sekitar 4.5 peratus pada 2017 daripada 5.3 peratus pada 2016 disebabkan pinjaman isi rumah lebih rendah serta penyederhanaan pinjaman perniagaan.

Pinjaman korporat pula berkembang pada kadar lebih pantas iaitu 5.4 peratus bagi tahun ke tahun pada Januari, berbanding 5.0 peratus pada Dis, 2016, terutamanya disebabkan oleh pinjaman kepada sektor pengangkutan dan penyimpanan.

Pemberian pinjaman itu turut menyebabkan sektor lain seperti borong dan runcit, kewangan dan insurans mencatat peningkatan pada bulan berkenaan manakala sektor perusahaan kembali pulih selepas susut selama tujuh bulan.
Sementara itu, jumlah deposit juga meningkat pada kadar lebih pantas iaitu 2.6 peratus bagi tahun ke tahun pada Januari berbanding 1.5 peratus pada Dis, 2016.

Menurut firma penyelidikan itu, deposit kerajaan negeri dan perusahaan perniagaan pula susut pada kadar lebih kecil manakala deposit pihak berkanun dan individu pula meningkat pada bulan berkenaan.
-BERNAMA


PERHATIAN:

Info, Rakyat Indonesia Bisa Kerja Di Korea Selatan, Gaji Hampir 1 Juta Rp Sehari.