Friday 3 March 2017

Sejuta Kedai Di Tamil Nadu Boikot Pepsi, Coca Cola.


CHENNAI – Lebih sejuta peniaga di Tamil Nadu, sebuah negeri termaju di selatan India, memboikot penjualan Coca Cola dan Pepsi demi memajukan pelbagai produk minuman tempatan sendiri.

Larangan itu mulanya dicadangkan oleh dua badan perniagaan utama tempatan iaitu Persekutuan Peniaga Tamil Nadu (FTNTA) dan Forum Persatuan Peniaga Tamil Nadu (TNTAF) sebelum mula dilaksanakan pada 1 Mac lalu.
Dianggarkan lebih daripada satu juta kedai bakal mematuhi kempen pemulauan tersebut. Larangan berkenaan juga mendapat sokongan susulan sambutan kehadiran ramai anak muda dalam satu perhimpunan pada bulan lalu.
Ketika itu, ribuan peserta berkumpun untuk menyatakan sokongan menentang larangan terhadap penganjuran festival tradisional Jalikattu, iaitu acara yang melibatkan aksi lembu dikejar setiap kali sambutan pesta Pongal.
Ramai golongan belia berpendapat larangan pihak berkuasa ke atas Jallikattu sebagai serangan terhadap tradisi dan budaya setempat lebih 2,000 tahun lalu, malah ia turut dijadikan babak unik dalam pelbagai filem tempatan.
“Kami mula kempen boikot minuman ringan jenama popular Barat itu beberapa bulan lalu, tetapi baru mendapat momentum ketika kami memberi sokongan kepada gerakan pro-Jallikattu,” kata Tha Vellaiyan, Presiden FTNTA.
“Minuman tersebut tidak baik untuk kesihatan anda kerana kandungan gula dan bahan kimia yang tinggi. Justeru kami mempromosikan minuman ringan buatan India dan promosi jualan jus buah yang lebih baik,” katanya lagi.
Organisasi tersebut turut mendesak peniaga pasar, pengusaha restoran dan pemilik hotel di seluruh Tami Nadu mengikuti larangan itu sekali gus dapat membantu“kesejahteraan pengusaha tempatan dan petani domestik.”
Dalam pada itu, golongan petani turut menyokong usaha kempen boikot kerana mereka berpendapat bahawa kedua-dua perusahaan minuman ringan popular tersebut mengambil bekalan air terlalu banyak dari sumber sungai.
Akibatnya, sebahagian besar petani menghadapi kesukaran untuk mengairi kawasan pertanian terutama ketika musim kering sehingga mengakibatkan tanaman mereka kemudian menjadi tidak subur dan ada langsung mati.
Setakat ini, kedua-dua syarikat berasal dari Amerika Syarikat itu belum memberi ulasan atas larangan tersebut. Pepsi memasuki pasaran India sejak 1989 manakala Coca Cola pada 1993 lalu. – Agensi.


PERHATIAN:

Info, Rakyat Indonesia Bisa Kerja Di Korea Selatan, Gaji Hampir 1 Juta Rp Sehari.

No comments:

Post a Comment