Tuesday 7 March 2017

Jahit selimut bantu ekonomi miskin bandar

 JAYA (kiri) dan suaminya, Mageswaran gembira mengikuti projek menjahit selimut dan alas kaki kelolaan Kechara Soup Kitchen Society.
Melangkah keluar lif, kelihatan seorang lelaki duduk di kerusi rodanya di muka pintu tidak jauh dari situ sambil tersenyum. Seorang wanita pula menjenguk sambil berjalan agak tempang menggunakan tongkat.
“Maaf, macam nilah rumah kami, orang kelainan upaya (OKU),” kata Jaya Letchumy Rasalingam, yang fasih berbahasa Melayu memulakan bicara. Rumah pangsa satu bilik yang didiami pasangan itu kelihatan rapi dengan satu sudutnya khusus untuk peralatan menjahit.
Jaya Letchumy dan suaminya, Mageswaran Veerapan, masing-masing 41 tahun, merupakan pasangan aktif projek menjahit selimut yang dikelolakan oleh Kechara Soup Kitchen Society (KSK) dalam usaha membantu golongan miskin bandar di sekitar Kuala Lumpur menambah pendapatan.
“KSK juga bekalkan mesin jahit, benang, jarum dan kain,” kata Jaya Letchumy yang mesra dengan panggilan Jaya sambil menunjukkan cantuman-cantuman kain yang dijahitnya.
“Suami saya pun bantu juga tapi dia buat alas kaki. Walaupun kami cacat, kami boleh buat sesetengah kerja,” jelasnya mengenai satu lagi projek KSK iaitu membuat alas kaki daripada selimut hotel yang dikitar semula.
“Kami sekolah sampai Sijil Rendah Pelajaran sahaja. Nasib baik KSK buat projek ini, dapatlah kami cari duit sikit dan tidak bergantung seratus peratus pada orang,” tambah Mageswaran dengan loghat utara yang agak pekat.
Dia berasal dari Bedong, Kedah manakala Jaya pula dari Selayang, Selangor.
Kemalangan
Jaya memberitahu, mereka berdua bukanlah cacat sejak dilahirkan. Jaya menjadi OKU ketika berumur 18 tahun, selepas terjatuh dari tingkat tiga di sebuah kilang, mengakibatkan tulang belakang dan kedua-dua tangannya patah serta tulang kakinya retak dan tumitnya hancur.
Mageswaran pula mengalami kecederaan ketika berusia 19 tahun kerana terjatuh dari pokok kelapa sewaktu membantu jiran di kampungnya. Dia terpaksa berkerusi roda sejak itu berikutan tulang belakangnya patah.
“Bukan patah saja tapi ada urat putus. Jadi seumur hidup kena guna kerusi roda. Saya nak kerja tapi di kampung tak banyak peluang. Jadi, saya mai Kuala Lumpur. Saya masuk pusat latihan, belajar apa yang boleh,” cerita Mageswaran.
Mereka berkahwin sejak 11 tahun lalu selepas beberapa bulan berkenalan ketika menjalani latihan kemahiran hidup di Independent Living (amp) Training Centre, sebuah pusat milik badan bukan kerajaan (NGO) di Rawang.
Kini, pasangan yang tinggal di Tingkat 12, Perumahan Awam Seri Kelantan, Jalan Sentul Pasar itu mendapat bantuan elaun bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat selain bekalan barangan dapur daripada KSK sejak beberapa tahun lalu. “Saya dah jahit lima belas helai selimut dan gembira dapat cari duit. Saya cadang nak ajar anak jiran buat alas kaki,” kata Jaya mengakhiri perbualan.
Seorang lagi peserta projek menjahit selimut KSK ialah Devi Sinnathurai, 39, yang tinggal bersama-sama suaminya, Ragunathan Batumalai, 43, dan 11 orang anak di Projek Perumahan Desa Rejang, Setapak Kuala Lumpur. Ragunathan bertugas sebagai pengawal keselamatan.
Devi yang menyertai projek itu sejak lima bulan lepas berkata, sejak menjahit, dia tidak perlu lagi meminta duit daripada suaminya untuk keperluan anak, yang berumur antara satu dan 18 tahun.
Latihan
“Saya harap kerja ni berterusan. Saya nak belajar menjahit langsir atau pakaian,” katanya yang mengambil masa kira-kira dua minggu belajar menjahit.
“Kami nak anak-anak belajar sampai kolej dan berjaya pada masa hadapan,” katanya yang sudah menyiapkan lima helai selimut.
Sementara itu, Pengarah Projek KSK, Justin Cheah berkata, projek menjahit selimut dan membuat alas kaki dimulakan pada pertengahan tahun lalu. Projek selimut bermula dengan lima keluarga miskin bandar manakala projek alas kaki lebih memberi tumpuan kepada gelandangan. Bayaran upah bagi setiap jahitan selimut ialah antara RM50 dan RM80 berdasarkan saiz manakala upah bagi alas kaki pula ialah RM30 setiap satu. Cadar dijual pada harga antara RM160 dan RM250 dan alas kaki pula RM30.
Kini, hanya 10 daripada 15 keluarga yang meneruskan projek selimut itu manakala lima lagi menarik diri. “KSK menerima pelbagai sumbangan termasuk mesin jahit dan bekalan untuk projek-projek kami. Selain melatih, kami pastikan peserta mampu menyiapkan selimut dan alas kaki dengan baik,” katanya.
KSK yang bertapak di negara ini sejak tahun 2006 juga memberikan bekalan barangan dapur bagi membantu golongan memerlukan, menyediakan bantuan asas perubatan melalui klinik bergerak, membantu gelandangan mencari pekerjaan dan bilik sewa yang sesuai serta memberi kaunseling bagi pelbagai masalah yang dihadapi. – Bernama.

No comments:

Post a Comment