Sunday 26 March 2017

Ini, Anak Malaysia Cipta Jenama Gincu Di London


Anak Malaysia, Jameson Cipta Jenama Gincu Di London

KUALA LUMPUR – Menembusi produk hingga ke pasaran global bukanlah semudah yang disangka, bagaimanapun anak kelahiran Tuaran, Jameson Juwily berjaya merealisasikannya dengan mencipta jenama kosmetiknya sendiri iaitu MYJ Beauty di Kota London.

Anak Sabah berusia 37 tahun ini percaya kerja keras, kesabaran dan sentiasa positif sejak awal perjalanan telah menjadikan impiannya realiti.
Berminat menjadikan wanita sentiasa kelihatan terbaik, Jameson mula membuat penyelidikan dan pembangunan ke atas gincu sebaik menamatkan pengajian di London College of Fashion pada 2011.
“Saya ingin belajar mengenai solekan dan juga tekniknya. Saya bekerja dengan Stila (jenama alat solek) dan menyambung pengajian dalam bidang komunikasi pemasaran untuk belajar mengenai jenama dan mencipta produk sendiri,” kata siswazah Sarjana Muda (Kepujian) Komunikasi Pengiklanan dan Pemasaran, Universiti Greenwich, United Kingdom ini.
Idea untuk mencipta jenamanya sendiri bermula daripada kajiannya dan pengalaman kerja bersama beberapa syarikat jenama terkenal termasuk Smashbox, katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif di sini.
Jameson berkata nasihat daripada tiga kakaknya yang pernah menyertai pertandingan ratu cantik Sabah beberapa tahun lalu dan ibunya mengenai kepentingan gincu, telah mendorong beliau untuk muncul dengan produk kecantikan.
“Saya melalui banyak prosedur dan proses menurut piawaian Eropah bagi mendapatkan kelulusan daripada makmal United Kingdom. Ia memang bukan mudah,” katanya sambil menambah pada 2013, beliau mula memasarkan produknya secara dalam talian dan di sebuah farmasi di London.
Lahir daripada keluarga besar dan mempunyai enam adik-beradik, dengan bapa seorang sahaja yang bekerja,ibu suri rumah sepenuh masa yang kadangkala mengusahakan sawah padi, Jameson sedar beliau perlu bekerja keras untuk menyara dirinya.
Beliau kemudian ke London pada 2003 untuk mencari peluang terbaik dan selepas sedekad berlalu, beliau akhirnya berjaya mencipta MYJ Beauty.
Beliau berkata gincunya direka khas untuk kulit kedua orang Eropah dan Asia dan mempunyai 16 warna iaitu lapan daripadanya warna gincu dan lapan lagi warna untuk pengilat bibir.
Sebagai penghargaannya kepada Kota London yang membantu menjadikan impiannya kenyataan, Jameson menamakan setiap gincu dan pengilat bibirnya sempena nama jalan dan jambatan popular di London seperti Albert Bridge, London Bridge, Regent Street dan Carnaby Street.
Produk itu kini boleh didapati di Malaysia bermula Disember tahun lalu di Parkson dan tiga kompleks beli-belah iaitu Pusat Beli-belah Mytown, Sunway Velocity Mall dan IOI City Mall.
Produk ini dilancarkan hari ini di Nu Sentral Mall dan di Gurney Plaza pada minggu hadapan.
“Rakyat Malaysia meminati jenama barat dan respons yang diberikan sangat positif. Ramai mengatakan ia juga bagus. Sehingga kini kami telah bawa lebih 5,000 gincu dan pengilat bibir ke Malaysia sejak hujung tahun lalu dan berharap akan mempunyai 50 stokis menjelang hujung tahun ini,” katanya.
Jameson berkata gincunya ini yang juga menyamai kualiti jenama import dijual dengan harga RM45 satu dan mampu dimiliki oleh rakyat Malaysia.
“Keistimewaan produk ini ialah kandungan mineral yang digunakan…kami menggunakan vitamin E dan titanium dioksid bagi mengelak bibir daripada kering dan menyebabkan pigmentasi,” katanya.
Berkongsi kepayahannya, usahawan ini berkata, mencipta jenama memang mudah sebaliknya proses dan kewangannya memerlukan banyak masa dan usaha keras.
“Wang amat penting…sementara proses itu berlangsung, kadangkala anda akan terlepas pandang belanjawan untuk sesetengah perkara. Di situlah nanti anda mungkin tersekat dan tidak dapat teruskan.
“Jika anda mempunyai simpanan berlebihan dan anggota keluarga boleh membantu, tidak mengapa atau jika tidak, usaha anda akan terhenti di tengah jalan,” katanya.
Sepanjang pengalamannya untuk menjadikan MYJ kenyataan, Jameson berkata beliau pernah ditipu 3,000 pound oleh syarikat China di UK untuk proses makmal.
“Setiap pagi, saya bangun tidur dan periksa jika ada apa-apa dalam akaun saya, tetapi tak ada. Saya sangat trauma kerana wang itu memang sukar untuk didapatkan.
“Saya cuba bertenang, saya tidak beritahu anggota keluarga saya kerana tidak mahu mereka risau,” kata Jameson dengan linangan air mata. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment