Tuesday 14 March 2017

April 24 kafe bawah tanah












 
IDZANY menunjukkan menu signatur yang terdapat di kafe April 24, Bangi Sentral, Bandar Baru Bangi, Selangor baru-baru ini.

MALAYSIA merupakan sebuah negara unik kerana dikurniakan kepelbagaian budaya, etnik dan agama. Selain itu, negara yang cukup bertuah ini, kaya dengan pelbagai jenis makanan tempatan dan Barat.
Justeru, tidak hairanlah jika pelancong menyifatkan Malaysia sebagai syurga makanan.
Kepada mereka yang gemar makan dan tidak tahu di mana lokasi menarik untuk mengisi perut boleh mengunjungi kafe April 24.
Terletak di Bangi Sentral, Bandar Baru Bangi, Selangor, kafe itu menampilkan hidangan berkonsepkan gabungan makanan (fusion) Asia dan Barat. Ia bagi memberi lebih banyak pilihan dan memenuhi cita rasa masyarakat tempatan.
Pemiliknya, Idzany Nasser, 31, atau lebih mesra disapa Nini berkata, April 24 mula beroperasi sejak Oktober 2015. Uniknya kafe itu beroperasi di ruangan bawah tanah, tidak sama seperti premis perniagaan yang beroperasi berdekatan dengannya.
“Kafe ini agak berbeza kerana lokasinya di ruangan bawah tanah. Selepas diubah suai menjadi sebuah kafe, ruangan makanan, penyediaan minuman, dapur, kaunter pembayaran dan tandas telah ditempatkan di dalam kafe ini,” kongsinya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Tambahnya, para pelanggan boleh membuat pesanan menu ala carte di kafe itu kerana terdapat hampir 90 jenis hidangan makanan dan 53 pilihan minuman disediakan.
“Antara menu makanan yang menjadi pilihan di sini ialah nasi putih ayam masak mentega bersama susu, nasi goreng ketam kulit lembut, mi raja ayam pandan dan gegelang bawang goreng (onion ring).

GEGELANG bawang goreng atau onion ring ini antara juadah pembuka selera di kafe April 24.

Tempahan awal
“Bagi mereka yang gemarkan pasta, antara menu yang harus dicuba ialah pasta ala marinara dengan ayam, spageti bolognese dan pasta olive garlic seafood,” ujarnya.
Jelas anak jati Kuala Lumpur itu, kafe itu boleh memuatkan kira-kira 100 orang pada satu-satu masa dan menyediakan tempat yang selesa untuk pelanggan menikmati juadah serta bersantai bersama rakan mahupun keluarga tercinta.
“Begitupun, saya menyarankan kepada pelanggan untuk membuat tempahan meja awal terutamanya pada hujung minggu bagi kemudahan kedua-dua belah pihak,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai harga makanan, Idzany memberitahu, harga hidangan makanan yang ditawarkan adalah serendah RM8. Manakala, menu makanan paling mahal iaitu supreme grill (ayam panggang bersama kentang putar, ayam Turki, kambing panggang, kepak ayam dan sosej berbeku) pula berharga RM70.
Di samping itu, kafe April 24 turut menghidangkan minuman yang mampu menghilangkan dahaga seperti mango lassi, chocolate milkshake dan honey melon.
Tidak ketinggalan makanan pembuka selera iaitu sup cendawan dan kentang goreng keju.
Sebagai pelengkap hidangan, turut disediakan aneka pilihan menu pencuci mulut seperti kek keju Nutella, kek red velvet dan pavlova.
“Biarpun agak jauh dari ibu kota, saya optimis, apa yang ditawarkan di sini dapat menarik hati pelanggan untuk bertamu di kafe kami,” tuturnya. (Kosmo!)

No comments:

Post a Comment