KUALA LUMPUR,: Isu golongan individu menyewa petak bazar Ramadan yang disediakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada golongan peniaga di Jalan Masjid India dan Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini bukan sesuatu yang baharu malah berlaku sejak beberapa tahun. Justeru, DBKL telah melakukan pelbagai insiatif bagi mengekang gejala tersebut, antara lain mengenakan kompaun RM1,000 kepada peniaga yang menyewa lot gerai mereka kepada pihak ketiga, merampas barangan serta nama mereka disenaraihitamkan daripada memohon lesen perniagaan. Namun begitu, inisiatif yang diambil oleh pihak berkuasa itu gagal mengatasi masalah di 2 kawasan itu bahkan individu yang memperoleh lot berkenaan jelas melanggar syarat ditetapkan dengan sentiasa mencari jalan untuk mengaut keuntungan atas angin. Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff berkata DBKL tidak pernah mengenakan sewa tinggi malah kebiasaan pada kadar di bawah RM1,000 sepanjang bulan Ramadan. Namum, katanya, peniaga yang tidak bertanggungjawab muncul setiap musim Ramadan di lokasi berkenaan dengan taktik baharu bagi mengaburi mata pihak berkuasa. Menurutnya, salah satu taktik terbaharu yang dikesan oleh DBKL ialah peniaga yang berjaya mendapat lot berkenaan akan mendaftar penyewa atau pihak ketiga sebagai pekerja atau pembantu bagi mengelak dihidu pihak berkuasa. Katanya, taktik licik itu sukar dikesan namun DBKL telah menempatkan anggota penguat kuasa sepanjang masa di kawasan berkenaan bagi menangani masalah tersebut. “Kami akan terus memburu mereka ini sebab agak keterlaluan mereka menyewakan tapak sehingga RM20,000 sedangkan kami (DBKL) sewakan tapak itu sangat rendah. “Kami wujudkan peluang perniagaan di bulan yang mulia tapi mereka sanggup mengambil kesempatan dan ini yang yang membuat saya rasa kecewa,” katanya kepada Bernama. Katanya, sejumlah 5,000 peniaga memohon untuk mendapat lot bazar di dua kawasan tersebut tetapi DBKL hanya dapat menyediakan 400 lot sahaja berikutan pelaksanaan projek “River of Life” di kawasan berkenaan. Difahamkan, 2 kawasan tersebut menjadi rebutan golongan peniaga yang sanggup membayar sewa antara RM7,000 sehingga RM55,000 untuk berniaga di kawsan itu sepanjang Ramadan. (TKO) |
KOTA KINABALU: Kaedah menternak ikan keli spesies Afrika oleh seorang pengusaha di Kampung Limadang, Membakut, kira-kira 79 kilometer dari sini, terutama dari segi penyediaan makanan ternakan menarik perhatian Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Ternakan secara kecil-kecilan yang diusahakan Nurliza Mait Abdullah cuma menggunakan bahan-bahan asas tempatan seperti daun ubi, tepung dan kepala ikan bilis sebagai formula penyediaan makanan ternakannya yang bukan sahaja murah malah boleh meningkatkan margin pendapatan pengusahan berkenaan.
"Saya tertarik dengan modal perniagaan oleh Puan Nurliza dalam mengendalikan ternakan ikan air tawar khususnya keli dan tilapia. Saya belajar sesuatu hari ini kerana beliau mengendalikan dua tiga perkara penting dalam rangkaian nilai industri ini.
"Bukan sahaja (ternak) ikan tetapi juga membuat induk untuk menghasilkan anak-anak ikan. Lebih menarik, Puan Nurliza telah mencipta sendiri makanan ikan yang dianggap lebih murah dan kompetatif dengan menggunakan bahan-bahan tempatan, termasuk daun ubi, tepung dan juga kepala ikan bilis sebagai sumber makanan ikan ini," katanya.
Ahmad Shabery berkata demikian kepada pemberita selepas melawat kolam ternakan ikan keli Nurliza di Kampung Limadang, Membakut hari ini. Turut mengiringi lawatan beliau ialah Menteri Luar yang juga Anggota Parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman.
Menurut Ahmad Shabery, satu daripada cabaran utama yang dihadapi petani yang terlibat dalam sektor industri ternakan ikan di negara ini ialah penyediaan makanan ternakan yang menggunakan bahan asas seperti jagung dan kacang soya serta perlu diimport.
Justeru katanya, pihak kementerian akan menghantar satu pasukan untuk mengkaji formula yang digunakan Nurliza bagi meneliti bagaimana kaedah berkenaan boleh dikembangkan untuk digunakan secara meluas malah untuk mempatenkan formula itu jika perlu.
Sementara itu, Ahmad Shabery berkata masa depan industri akuakultur di Sabah, termasuk industri ternakan ikan air tawar, begitu cerah kerana kawasan perairan Sabah yang luas serta masih bersih.
Katanya pada masa ini Sabah merupakan antara negeri pengeluar hasil akuakultur terbesar di negara ini dengan hasil berkenaan dieksport ke Amerika Syairikat, Jepun, China dan Hong Kong.
Bagi ternakan air tawar sahaja, Sabah kini mengeluarkan kira-kira 3,500 matrik tan setahun dan dijangka meningkat kepada 8,300 tan metrik setahun menjelang tahun 2020 dengan nilai dianggarkan RM125 juta.
Sementara itu Nurliza , selain mengucapkan terima kasih kepada pihak kementerian kerana memberi perhatian kepada perusahaannya, berkata beliau mampu menghasilkan 50 kilogram (kg) hasil ternakan sebulan berbanding permintaan iaitu 50 kg seminggu.
Pada masa ini katanya, beliau memperoleh antara RM1,200 hingga RM2,000 sebulan hasil daripada industri ternakan itu. (mStar)
