Sunday 18 June 2017

Daging kawah tarikan Soul Out.


 CEF Asli menyediakan sajian daging kawah resipi Utara di Restoran Soul Out, Kota Kinabalu.
Bagaikan menikmati sajian berbuka puasa di kampung halaman.
Itulah keunikan yang diterapkan di Restoran Soul Out, Hotel Grand Borneo khas buat warga Kota Kinabalu, Sabah.
Biarpun berpangkalan di tepi jalan raya utama yang menghubungkan antara bandar raya Kota Kinabalu dan Sepanggar, namun kesibukan itu sedikitpun tidak dirasai sebaik sahaja melangkah ke dalam ‘perut’ restoran.
Konsep dekorasi dan susun atur ala desa cukup terserlah bermula dari pintu masuk sehinggalah segenap ruang restoran. Tarikan tersebut tidak terhenti di situ sahaja malah kesinambungannya berterusan pada lebih 80 sajian kampung bufet Ramadan yang ditawarkan di restoran berkenaan.
Menurut Pengarah Urusan Hotel Grand Borneo, Azhar Sanusi, konsep kampung menjadi pilihan bufet Ramadan pada tahun ini memandangkan tema tersebut cukup sinonim dengan bulan puasa.
“Kebanyakan individu gemar menikmati lauk-pauk kampung ketika berbuka puasa.
“Justeru, sempena bufet Ramadan kali ini, hidangan signatur kami ialah sajian daging kawah resipi turun-temurun dari negeri Utara yang disediakan oleh Cef Eksekutif Hotel, Asli Mangtul,” jelasnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Tambah Azhar, selain daging kawah lembu itu, pengunjung juga berpeluang menjamu selera dengan hidangan kambing percik, lauk-pauk kampung, sate dan variasi manisan moden dan kuih tradisional. 

No comments:

Post a Comment