Sunday 11 June 2017

Ada Pula Geng Susu Kangkang..


KUALA LUMPUR – Lima anggota ‘Geng Susu Kangkang’, yang disyaki terlibat dalam 30 kes mencuri susu tepung berjenama, ditahan polis di sebuah kedai serbaneka di Dataran Sunway Kota Damansara, Petaling Jaya pada Rabu lepas.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din berkata kesemua suspek, yang berusia lingkungan 25 hingga 49 tahun, ditahan ketika cuba melakukan kegiatan mencuri susu tepung di premis berkenaan pada 6.55 petang.
Menurutnya suspek yang terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita warga tempatan dipercayai giat melakukan kegiatan itu di sekitar Petaling Jaya dan kawasan lain di Lembah Klang.
“Modus operandi kumpulan itu adalah dengan memasukkan kotak atau tin susu tepung berjenama yang dicuri ke dalam pakaian yang telah diubah suai atau di dalam beg mereka sebelum melarikan diri,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata susu yang dicuri itu kemudian dijual di kedai-kedai di kawasan rumah kongsi atau kedai runcit tertentu.
Mohd Zani berkata tangkapan berkenaan adalah susulan laporan mengenai kes samun melibatkan kumpulan itu di sebuah pasar raya di Petaling Jaya, yang mengakibatkan seorang pengawal keselamatan dicederakan pada 20 Mei lepas.
Hasil siasatan mendapati kesemua suspek baru sahaja dibebaskan daripada penjara pada tahun lepas kerana melakukan jenayah sama.
Kesemua suspek direman tujuh hari bermula 7 Jun bagi membantu siasatan. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment