Wednesday 7 June 2017

Gara-Gara Gempur Peniaga Tiada Lesen.


Video: Petugas DBKL Diserang Penyembur Lada

KECOH di media sosial hari ini apabila sebuah video memaparkan seorang penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) disembur dengan penyembur lada hingga menyebabkan kecederaan.

Dalam kejadian tengah hari semalam, seorang penguatkuasa DBKL berusia 22 tahun disembur dengan penyembur lada oleh sekumpulan lelaki tidak dikenali di Medan Bunus 6, Jalan Bunus, Kuala Lumpur kira-kira jam 12.36 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata ketika kejadian mangsa bersama beberapa penguatkuasa lain sedang menjalankan tugas menyita penjaja air tanpa lesen.
“Mangsa mengalami bengkak di seluruh badan dan menerima rawatan di Hopsital Kuala Lumpur.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaaan atas kesalahan menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam ketika menjalankan tugas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan itu, seorang lelaki berusia 29 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Jelasnya, sebelum kejadian tersebut polis menerima satu laporan berhubung kes tetak dan pergaduhan di Jalan Masjid India kira-kira jam 3.40 pagi Selasa.
Menurutnya, mangsa seorang lelaki berusia 22 tahun dipukul kira-kira 10 orang lelaki tidak dikenali.
“Mangsa ditetak dengan parang dan mendapat kecederaan di kepala serta kini mendapat rawatan di Hopsital Kuala Lumpur.
“Kes disiasat mengikut Sekyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata berbahaya,” katanya.
Susulan kejadian pergaduhan itu, polis bersama DBKL dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) menjalankan Ops Bersepadu Khas di Jalan Masjid India dan kawasan sekitar semalam bagi mengesan suspek terlibat.
Mohd Sukri berkata, seramai 40 orang diperiksa dan tujuh ditahan berusia  18 hingga 31 tahun bagi membantu siasatan kes tetak dan serang penguatkuasa DBKL.
Menurutnya, dua suspek yang ditahan positif ujian air kencing manakala seorang adalah individu yang dikehendaki polis.
Jelasnya, DBKL turut menyita 28 kedai atas kesalahan Seksyen 3(1) Undang-Undang Kecil Pelesenan.
“Peniaga jalanan dinasihatkan mendapatkan lesen daripada DBKL untuk berniaga di bulan Ramadan ini.
“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak terlibat dengan situasi yang boleh menyebabkan pergaduhan dan jauhkan diri dari kegiatan gangsterisme,” katanya. 
Lapor MYNEWSHUB.CC

No comments:

Post a Comment