Thursday, 13 July 2017

Burger Nasi Lemak Pula.. Dari McDonalds’s S'pura


MAKANAN hipster? Ingat tak tahun lepas ada banyak sangat jenis makananhipster yang semuanya nak letak cheese, malah ia popular macam cendawan tumbuh lepas hujan…

Kali ini McDonalds’s Singapura dilaporkan sudah pun mengeluarkan menu hipsterrekaan mereka sendiri.
Kalau biasa kita makan Mc Chicken, Spicy Chicken Mc Deluxe, Big Mac, Cheeseburger dan banyak lagi.
Sempena Festival Makanan Singapura 2017 dan juga bagi menyambut Hari Kebangsaan ke-52 negara ‘kota singa’ itu, McDonald’s Singapura telah mengeluarkan menu baharu iaitu Burger Nasi Lemak.
Menarik kan? Sebelum ni setakat pisang goreng cheese, murtabak cheese, apam balikcheese, dan semua makanan mesti ada cheese kalau boleh..
Yang uniknya lagi, isi ayamnya ada perisa kelapa, berbungkuskan telur goreng, bawang, timun, sos sambal pun ada dan roti yang digunakan ialah roti semolina.
Menu ini khabarnya diinspirasikan daripada makanan tempatan seperti ABC, roti canai dan lain lain.
Mana yang nak cuba tu, boleh lah ‘terbang‘ ke Singapura pada 13 Julai ni.
Selain tu, ada juga penambahan pencuci mulut baru seperti ais krim ‘Chendol McFlurry’, kek ‘Kueh Salat’, pai kelapa dan juga kek pandan lapisan pulut.
McDonald’s Malaysia bila pulak nak buat burger hipster macam tu? Dah banyak sangat makanan hipster yang berasaskan cheese. Naik muak… -Oleh: Ainaa Hafizah

Wednesday, 12 July 2017

Rizab Qatar mampu tampung pemulauan jiran

 SHEIKH Abdullah Bin Saoud al-Thani.- Foto fail Reuters

DUBAI: Qatar mempunyai rizab AS$340 bilion (RM1.46 trilion) yang boleh membantu negara Teluk itu menangani pemulauan oleh negara jiran, kata Gabenor bank pusat negara itu, Sheikh Abdullah Bin Saoud al-Thani. 

“Inilah kredibiliti sistem Qatar, kami mempunyai tunai mencukupi untuk menyerap sebarang kejutan,” katanya kepada saluran berita CNBC dalam satu temubual yang diterbitkan dalam laman sesawangnya. 

Al-Thani berkata, bank pusat mempunyai rizab AS$40 bilion ditambah emas, manakala dana kekayaan negara, Qatar Investment Authority mempunyai rizab AS$300 bilion yang boleh dicairkan.

Pasaran saham Qatar merosot dan riyal menjadi tidak menentu dalam pasaran spot sejak Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Mesir memutuskan hubungan diplomatik dan pengangkutan dengan Qatar pada 5 Jun lalu. 

Negara berkenaan menuduh Qatar menyokong keganasan. Doha bagaimanapun menafikan semua tuduhan berkenaan. 

“Qatar sudah pun mempunyai sistem yang bagus dan unik. Kami mempunyai peraturan yang dibentuk bagi menentang semua jenis keganasan,” kata al-Thani kepada CNBC. 

“Kami bekerjasama dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan institusi lain untuk mewujudkan peraturan, audit dan semakan semula. 

“Kami tiada masalah, kami mengalu-alukan semuanya untuk memeriksa akaun negara, ia terbuka,” tambahnya. -Reuters

Tuesday, 11 July 2017

Pinjaman Islamik 'along' Berleluasa, Sila Bertindak Tegas -Mapim


BANGI, 14 Syawal 1438H, Sabtu – Menawarkan pinjaman Islamik kepada orang Islam, antara taktik ‘along’ yang hingga hari ini masih berleluasa melalui poster iklan yang ditampal di merata tempat. 

Kesal dengan situasi itu, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihak berkenaan tidak menghiraukan sama sekali soal kebenaran atau lesen yang perlu diperolehi sebelum mereka mengiklankan skim pinjaman. 

“Kita gesa pihak berkuasa segera menyiasat dan bertindak jika ada operasi syarikat pinjaman wang ini yang menyalahi undang-undang.

“Dalam masa sama, Pihak Berkuasa Tempan (PBT) juga perlu menyiasat samada pemberi pinjaman ini mendapat lesen keizinan dari pihak berkenaan atau tidak,” katanya ketika dihubungi Ismaweb. 

Beliau berkata demikian mengulas iklan skim pinjaman yang kononnya Islamik dilekat dibeberapa tempat untuk memancing peminjam. Iklan tersebut didapati cuba menawarkan pinjaman bulanan dengan kadar rendah antara 3 hingga 5 peratus. 

Azmi berkata, syarikat-syarikat dan ‘geng’ along ini sering mengguna kata-kata pujukan untuk memerangkap mangsa seperti Cepat Lulus, Cash Segera dan dpeercayai dan Lulus Cepat. 

“Mereka sengaja guna taktik Islamik supaya orang lebih percaya, namun apakah ini dibenarkan dibawah Akta Bank Islam 1983?,” soalnya. (IH/Mapim)

Sunday, 9 July 2017

PengusahaStesen Minyak Berdepan Tindakan Jika Tutup Awal.


Pengusaha Berdepan Tindakan Jika Tutup Awal

KUALA LUMPUR – Pengusaha stesen minyak diberi amaran supaya tidak menghentikan operasi lebih awal semata-mata untuk mengaut keuntungan ekoran kenaikan harga mingguan petrol dan diesel, atau berdepan dengan tindakan tegas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata pihaknya menerima aduan mengenai segelintir pengusaha stesen minyak yang berbuat demikian dan siasatan telah dijalankan.
“Ini adalah satu kesalahan, sama seperti menyorok produk terkawal seperti petrol dan diesel,” katanya pada sidang media selepas melancarkan program Food Fiesta 2017 anjuran Lulu Hypermarket and Department Store di sini, hari ini.
Hamzah berkata beliau telah bertemu dengan persatuan pengusaha stesen minyak dan akan berjumpa syarikat pembekal minyak untuk berbincang mengenai isu berkenaan.
Beberapa portal berita melaporkan rungutan pengguna yang mendakwa terdapat beberapa stesen minyak sengaja ditutup lebih awal pada malam Rabu berbanding hari biasa dengan alasan ‘minyak habis’.
Tindakan itu didakwa mempunyai kaitan dengan pengumuman kenaikan harga RON95 dan RON97 sebanyak empat sen serta harga diesel yang naik tujuh sen berkuat kuasa semalam.
Akta Kawalan Bekalan 1961 menyatakan individu atau syarikat boleh disiasat mengikut Seksyen 15 akta berkenaan kerana menyorok barang kawalan dan Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan tanpa kebenaran.
Mengenai Food Fiesta yang memasuki tahun kedua penganjurannya, Hamzah berkata ia adalah usaha yang membanggakan kerana dapat memperkenal dan mempromosi makanan tempatan terutamanya kepada pelancong asing. – BERNAMA

Saturday, 8 July 2017

Era baharu makanan tradisional Turki.

 TURKI sangat dikenali dengan keenakan hidangan kebab.


DALAM usaha mengikis stereotaip makanan segera berminyak yang dimakan pada lewat malam, cef dari Turki bekerja keras menggilap imej mereka dengan memperkenalkan kekayaan masakan negara itu.
Era baharu masakan telah menggegarkan arena makanan di Istanbul hasil inovatif yang berasaskan menu Turki.
Pada masa yang sama, ia mempunyai misi untuk memperkenalkan variasi makanan tradisional masyarakat tempatan di mata dunia.
Pada pandangan masyarakat luar, makanan Turki mengingatkan mereka kepada imej roti pita yang disumbat daging panggang dan kebiasaannya dimakan pada waktu malam.
Makanan itu telah berkembang ke Eropah barat terutamanya di Jerman dengan penambahan seperti salad dan mayonis, sekali gus menjadikan ia sebagai santapan lebih berat berbanding resipi asal.
Pengarah Le Cordon Bleu di Turki, Defne Ertan Tuysuzoglu berkata, masakan Turki sebahagian besarnya dikenali di luar negara menerusi budaya masyarakat lain dan kebab.
“Sebenarnya banyak hidangan enak yang tidak diketahui ramai seperti tulum iaitu keju tradisional yang diperam di dalam kulit kambing.
“Selain itu, pencuci mulut yang dipanggil cezerye sangat enak. Ia merupakan gabungan lobak merah dengan karamel, kacang pistasio dan kelapa,” tuturnya.
Le Cordon Bleu merupakan akademi masakan antarabangsa yang ditubuhkan di Paris dan kini mempunyai kampus di seluruh dunia.
Cef Eksekutif Restoran Istanbul Nicole, Aylin Yazicioglu memberitahu, masakan Turki tidak terkenal.
“Lebih malang apabila orang bercakap tentang masakan negara ini, semuanya memberi contoh yang tidak baik.
“Namun, sedikit demi sedikit berlaku perubahan ke arah positif dan kami akan melakukan yang terbaik untuk mengubah persepsi negatif itu,” terangnya.
Di restoran itu, pengunjung ditawarkan pelbagai menu tradisional Turki yang bertujuan untuk mempamerkan makanan terbaik negara itu kepada masyarakat luar.
“Saya percaya bahawa dalam dunia yang menjurus ke arah menu tempatan, ia telah menyedarkan kami betapa bernilainya hidangan ini dan produk-produk tradisional Turki.
“Di negara ini, semuanya boleh didapati sepanjang empat musim dan minyak zaitun merupakan aset paling berharga,” kata Yazicioglu.
Pembuka selera


Cef AYLIN ingin mengikis persepsi negatif terhadap makanan Turki dengan mengetengahkannya kepada masyarakat global.



Seorang tenaga pengajar yang telah berkhidmat selama dua tahun di Akademi Le Cordon Bleu, Arnaud De Clercq menyifatkan, masakan Turki sebagai sangat kedesaan yang memberi tumpuan kepada sos, potongan daging kecil direbus bersama sayur-sayuran dan daging dimasak berkuah dengan api sangat kecil.
Dia turut menghidangkan menu pembuka selera yang dikenali sebagai Turki meze.
“Ketika Empayar Uthmaniyyah berkembang, ia turut menyebarkan hidangan yang lazat ke serata dunia.
“Anda boleh menjumpai Turki meze di seluruh negara dan ia disesuaikan mengikut cita rasa tempatan seperti di Lebanon, Syria serta Jordan,” katanya yang pernah bekerja di Restoran Michelin Star, Perancis.
Sementara itu, cef Serkan Bozkurt dari Akademi Kulanari Chef Table iaitu sekolah memasak yang berpangkalan di Istanbul berkata, persepsi tentang masakan Turki telah berubah.
“Hari ini, restoran dan kafe yang menghidangkan masakan Turki telah berkembang ke Eropah seperti kedai roti Simit Sarayi dan kedai kopi Kahve Dunyasi yang dibuka di London.
“Terdapat banyak hidangan Turki yang sangat lazat dan ia tidak hanya terhad kepada daging serta kebab,” ceritanya. – AFP

Tuesday, 4 July 2017

82 mangsa Macau Scam rugi RM2.7j


ABDUL GHANI (tengah) menunjukkan barang kes antaranya pasport, peralatan komputer dan telefon bimbit yang dirampas daripada ahli sindiket Macau Scam di IPK Pulau Pinang, George Town semalam.

GEORGE TOWN – Satu sindiket Macau Scam yang menyalahgunakan nama sebuah bank, Bank Negara Malaysia (BNM) terma­suk polis bagi memperdayakan orang ramai tumpas selepas polis menyerbu sebuah banglo di Taman Damai Utama, Puchong, Selangor, Sabtu lalu.
Dalam serbuan kira-kira pukul 8 pagi itu, polis menahan 50 individu yang dipercayai ahli sindiket iaitu 47 suspek lelaki dan tiga wanita masing-masing berusia antara 17 hingga 42 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Asisten Komisioner Abdul Ghani Ahmad berkata, serbuan itu dilakukan susulan laporan polis yang dibuat di sebuah balai polis di Balik Pulau dekat sini, Mei lalu oleh seorang wanita yang mendakwa dirinya menjadi mangsa penipuan.
“Hasil operasi, polis telah merampas beberapa barang termasuklah 31 pasport antarabangsa, lima telefon bimbit, sebuah komputer riba, tiga fail mengandungi salinan MyKad dan skrip menyamar sebagai pegawai polis dan BNM.
“Siasatan mendapati, sindiket yang aktif sejak Februari lalu itu telah memperdayakan sekurang-kurangnya 82 mangsa dengan jumlah kerugian seba­nyak RM2.7 juta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini semalam. (Kosmo!)

Shell tarik balik iklan wanita, jadi tular selepas ‘dicabul’



KUALA LUMPUR,— Iklan produk Shell berimej seorang kakitangan wanitanya, yang didakwa “dicabuli”, ditarik balik serta-merta.

Syarikat itu juga menggesa pengguna internet agar tidak lagi menyebarkan imej-imej tidak senonoh dan berunsur seks yang digambar bersama iklan itu.

“Kami tidak bersekongkol dengan tindakan kurang adab itu, yang sama sekali tidak sejajar dengan budaya Malaysia dan nilai asas Shell,” katanya dalam kenyataan.


Semalam, suami model wanita itu, yang menular di media sosial susulan imej dicium dan diraba, dilaporkan kurang selesa melihat imej itu “dicabul.”

Namun Nor Shafila Khairusalleh, 25, bersyukur kerana suaminya memahami situasi sebenar yang harus ditempuhinya, lapor mStar Online.

Beliau tidak kisah sangat dengan aksi “nakal” pelanggan-pelanggan lelaki, termasuk cium dan peluk tetapi bimbang dengan aksi keterlaluan.

“Kalau usik sikit-sikit macam tutup mata, tarik hidung atau peluk pun saya boleh terima lagi sebab ia hanyalah poster.
“...tapi kalau ke arah mencabul atau seks, saya anggap ia melampau.
“Mereka mungkin mahu bergurau, tapi saya rasa segan (malu) sebab itu diri saya walaupun ia hanya sekeping gambar,” katanya kepada portal itu.

Namun Nor Shafila, yang bertugas sebagai penyelia di sebuah stesen minyak Shell di Perak, tidak bercadang menyaman “pencabul” posternya itu.

“Tapi kalau selepas ini ada lagi yang sengaja bergambar yang bukan-bukan semata-mata mahu viral, mungkin saya akan fikir buat sesuatu,” katanya.