Thursday, 21 June 2018

Bankrap silap promosi




Beijing: Pemilik sebuah restoran di China yang menawarkan promosi makan sampai puas terpaksa menutup perniagaan dalam tempoh kurang dua minggu selepas pelanggan tidak henti-henti menikmati makanan yang dihidangkan.
Restoran yang terletak di Chengdu, wilayah Sichuan dilaporkan menanggung hutang yang tinggi dan terpaksa ditutup selepas ramai pelanggan duduk di premis itu sepanjang hari semata-mata untuk makan.
Restoran Jiamen’er melancarkan promosi itu pada 1 Jun lalu dengan menjemput pelanggan yang mempunyai kad keahlian untuk makan sebanyak mana yang mereka mahu dengan yuran 120 yuan (RM74.40) sebulan.
Seorang pemilik restoran itu Su Zhe berkata, restoran yang menjual makanan tradisi China berkenaan dibuka pada Disember tahun lalu tetapi perniagaan mereka sangat tidak memberangsangkan.
People’s Daily Online melaporkan, pengurusan restoran itu kemudian memutuskan untuk menawarkan promosi itu untuk menarik kedatangan lebih ramai pelanggan.
Promosi itu terus menarik orang ramai dan restoran yang mempunyai 20 meja itu penuh dengan pelanggan dianggarkan mencecah 500 orang sehari.
Bagaimanapun, populariti restoran itu menyebabkan restoran itu mengalami kerugian apabila terlalu ramai pelanggan yang datang untuk makan dengan percuma.
Sebahagian pelanggan pula meminjamkan kad keahlian kepada rakan-rakan supaya mereka juga boleh makan tanpa dikenakan sebarang bayaran.
Su memberitahu, kad keahlian itu tidak mempunyai gambar pemiliknya dan sukar untuk pelayan menghalang sesiapa yang membawa kad berkenaan menuntut promosi berkenaan.
“Punca utama kegagalan ini adalah kegagalan kami menggunakan sistem pengecaman wajah,” jelasnya.
Menurut laporan itu, restoran berkenaan menanggung hutang 50,000 yuan (RM31,000) dalam tempoh 11 hari selepas menjual 1,700 kad keahlian berkenaan.
Berpuluh-puluh pelanggan yang datang pada awal pagi 13 Jun lalu terkejut apabila mendapati pemilik restoran itu sudah menutup perniagaannya. – METRO

Thursday, 14 June 2018

Kari Atau Rendang Itik Pelengkap Juadah Aidilfitri


ALOR GAJAH – Aidilfitri seolah-olah tidak lengkap tanpa hidangan rendang atau kari itik yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat di Melaka.

Daging itik yang lebih kenyal berbanding ayam dan daging, menyebabkan penggemar itik sanggup mencari lokasi penjual itik untuk dijadikan hidangan menjelang hari lebaran.
Bagi penduduk di sekitar Masjid Tanah, kawasan berhampiran lampu isyarat simpang empat ke Kampung Ayer Limau dan Lendu, menjadi tumpuan kerana terdapat sekurang-kurangnya empat peniaga itik di kawasan itu.
Peniaga, Isa Awal, 60, dari Kampung Ayer Limau, berkata dia dan empat anaknya menjadikan lokasi berkenaan sebagai landasan untuk memperdagangkan itik nila daging yang diperoleh daripada pemborong di Ipoh, Perak.
“Sejak 10 tahun lalu saya mendapatkan bekalan itik daripada pemborong itu yang mendapatkan bekalan daripada beberapa penternak di sekitar Ipoh.
“Saya jual itik RM30 seekor manakala ayam telur RM10 seekor dengan setiap itik dan ayam itu saya salai dengan api dapur gas bagi menghilangkan bulu halus,” katanya ketika ditemui di gerainya, semalam.
Dia berkata, secara relatifnya harga itik berkenaan lebih rendah berbanding itik nila hidup yang dibela kebanyakan penduduk kampung yang mampu mencecah RM19 satu kilogram (kg).
Katanya, purata berat seekor itik nila hidup adalah antara tiga hingga empat kg, sekali gus menjadikan harga purata seekor adalah RM57 hingga RM76.
“Itik hidup sangat mahal. Jadi, kebanyakan penggemar daging itik memilih untuk membeli itik yang sudah siap diproses dan disalai seperti yang saya dan peniaga lain sediakan di kawasan ini,” katanya.
Isa yang berniaga ayam percik di pasar malam pada hari biasa berkata, berdasarkan pengalamannya sebelum ini, dia mampu jual itik yang purata beratnya antara dua hingga 2.5 kg itu antara 70 hingga 80 ekor dalam tempoh dua hari.
Sementara itu, pelanggan Abu Hanifah Sulaiman, 56, berkata dia amat gemar akan itik kerana isinya lebih kenyal berbanding ayam dan daging lembu biasa.
“Daging sekarang dijual pada harga RM34 sekilogram. Saya kurang membeli daging kerana harganya terlalu tinggi.
“Jadi, saya beralih kepada itik kerana saya amat gemar itik masak rendang yang dibuat isteri saya,” katanya. – BH Online

Sunday, 3 June 2018

Bagaimana Pensyarah Ini Rugi RM260,000 Ditipu 'Macau Scam'?

Pensyarah rugi RM260,000 ditipu 'Macau Scam'
Seorang pensyarah wanita sebuah universiti awam di sini mengalami kerugian RM260,000 dalam satu penipuan komunikasi atau 'Macau Scam' bulan lepas. -Gambar hiasan

KOTA KINABALU: Seorang pensyarah wanita sebuah universiti awam di sini mengalami kerugian RM260,000 dalam satu penipuan komunikasi atau 'Macau Scam' bulan lepas.

Ketua Polis Kota Kinabalu ACP M. Chandra berkata wanita berumur 48 tahun itu menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada nombor 68886 mengatakan kad kredit CIMB mangsa telah digunakan di Lapangan Terbang Senai, Johor Bahru pada pagi 21 Mei sedangkan mangsa tidak pernah menggunakan kad kredit pada hari itu.

"Mangsa telah menghubungi talian 1-800-81-7399 seperti yang terdapat dalam SMS berkenaan dan seorang staf (suspek) yang menjawab memperkenalkan diri sebagai Pegawai Bank CIMB dan menyatakan kepada mangsa bahawa suspek akan menyekat akaun bank mangsa (susulan penggunaan kad kredit mangsa oleh orang lain)"Suspek kemudiannya memberikan nombor telefon (03-92121402) kepada mangsa untuk bercakap dengan Pegawai Penyiasat Bank Negara Malaysia (BNM).

"Seterusnya mangsa menghubungi Pegawai Penyiasat BNM berkenaan yang telah mengarahkan mangsa pergi ke Maybank Alam Mesra, Kota Kinabalu untuk proses membekukan akaun milik mangsa," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Chandra, suspek yang menyamar sebagai pegawai penyiasat BNM itu telah mengarahkan mangsa membuat pemindahan wang ke empat jenis akaun suspek yang berbeza dengan melibatkan sembilan transaksi dalam tempoh lapan hari berturut-turut bermula 21 hingga 28 Mei berjumlah RM260,000 bagi memperdayakan mangsa untuk proses membekukan akaun mangsa.

Bagaimanapun, mangsa telah menyedari berlaku penipuan setelah suspek tidak dapat dihubungi, katanya.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebatan, dan boleh juga dikenakan denda, jika disabitkan kesalahan.

"Orang ramai dinasihatkan berwaspada dengan sindiket 'Macau Scam' agar tidak terpedaya dengan tipu helah sindiket ini," katanya.

Chandra turut meminta orang ramai supaya membuat laporan polis sekiranya menerima panggilan daripada sindiket tersebut dan juga boleh memanjangkan sebarang maklumat berkaitan ke Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, yang beroperasi selama 24 jam, dengan mengubungi talian 088-221191 dan 318843.
-- BERNAMA

Saturday, 2 June 2018

Biro Siasatan Pusat India Panggil Tony Isu Rasuah




NEW DELHI – Biro Penyiasatan Pusat India (CBI) memanggil Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Bhd., Tony Fernandes hadir untuk disoal siasat pada 6 Jun ini berhubung tuduhan rasuah.

Laporan The Times of India yang memetik sumber berkata ‘notis hadir’ itu sudah dihantar kepada Fernandes melalui e-mel.
CBI dikatakan ingin menyoal Fernandes berhubung kelulusan yang diberi Lembaga Promosi Pelaburan Asing (FIPB) untuk melabur di India dan dakwaan bahawa Ketua Kumpulan AirAsia itu mempengaruhi pegawai India untuk menyingkirkan peraturan penerbangan awam 5/20, supaya AirAsia dapat memulakan operasi antarabangsanya.
Laporan itu menyebut, beliau didakwa mendesak bekas Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia India, Mittu Chandilya.
untuk mempengaruhi perubahan dalam dasar pengawal seliaan penerbangan antarabangsa di India sesuai dengan syarikat itu.
CBI sudah memfailkan satu kes terhadap Fernandes, menuduhnya memanipulasi dasar kerajaan melalui rasuah dan melanggar peraturan untuk mendapatkan lesen antarabangsa untuk perniagaannya di India.
Menurut laporan Times of India, CBI berkemungkinan akan memanggil Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Bo Lingam dan Pengarah AirAsia India, Venkatramanan Ramchandran.
Ia berkata pegawai FIPB dan pegawai kementerian penerbangan awam yang mengendalikan fail AirAsia pada 2013 hingga 2014, juga akan dipanggil ke ibu pejabat CBI untuk disoal.
AirAsia India sebelum ini mengeluarkan satu kenyataan mengatakan semuda tuduhan itu sudah disiasat Ketua Pengarah Penerbangan Awam yang mendapati bahawa operasi dan pengurusan AirAsia India adalah selaras dengan Akta Pengurusan Pertukaran Asing. – myMetro Online

Saturday, 26 May 2018

Serunding Dapat Permintaan Tinggi Menjelang Aidilfitri




TUMPAT – Permintaan terhadap pelbagai jenis serunding meningkat ketika ini kerana selain dijadikan pembuka selera terutama semasa bersahur, ia turut dijadikan inti dalam aneka kuih terutama karipap mini untuk dihidangkan semasa sambutan Aidilfitri.

Antara serunding yang mendapat pemintaan tinggi adalah keluaran Syarikat Serunding Rahmah di sini yang telah menghasilkan 200 kilogram serunding daging, ayam dan ikan bagi memenuhi permintaan.
Pengurus syarikat itu, Wan Asmariah Wan Muhammad berkata serunding mendapat permintaan kerana rasanya yang unik dengan pelbagai jenis rempah ratus dan baunya yang harum.
“Menjelang Ramadan, saya akan menghasilkan kira-kira 200 kilogram serunding daging, ikan dan ayam bagi memenuhi permintaan pelanggan berbanding pada hari biasa yang hanya mengikut permintaan,” katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Laut di sini, hari ini.
Wan Asmariah, yang merupakan generasi keempat pembuat serunding berkata serunding daging lembu tempatan mendapat permintaan tinggi dan syarikatnya menjual serunding berkenaan dengan harga RM60 satu kilogram.
Harga serunding daging lembu import pula adalah RM52 satu kilogram, ayam (RM52 satu kilogram) dan ikan (RM42 satu kilogram), katanya.
Beliau berkata proses pembuatan serunding terutamanya daging agak rumit apabila perlu merebus bahan mentah itu selama lima jam bagi melembutkannya sebelum ia dicarik halus.
“Pada keesokan hari, daging yang telah dicarik halus itu akan dimasak bersama santan dan beberapa rempah ratus yang lain seperti serbuk ketumbar, serbuk jintan, bawang merah, santan dan cili kering.
“Ia juga dimasak di atas dapur kayu api dan tiada sebarang mesin digunakan bagi mengekalkan rasa tradisionalnya,” katanya.
Wan Asmariah berkata produk serunding mereka turut dipasarkan ke seluruh negara selain Singapura dan Brunei.
Syarikat itu turut mempunyai wakil pengedar di Pahang, Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan, katanya. –
Bernama

Friday, 25 May 2018

Terengganu Diiktiraf Destinasi Mesra Muslim




SEKTOR pelancongan Terengganu mencatat satu lagi kejayaan apabila diiktiraf sebagai Destinasi Mesra Muslim, selain Banda Acheh, Indonesia.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pengiktirafan Anugerah Standard Kualiti Islam (IQS) daripada Universal Crescent Standard Center (UCSC) itu, menjadi pemangkin untuk kerajaan negeri mencapai sasaran menjadikan negeri penyu ini sebagai Koridor Pelancongan Islam Antarabangsa.
Beliau berkata, pengiktirafan yang mengujakan itu juga diharap dapat menarik lebih ramai pelancong dari Asia Barat dan negara Timur Tengah untuk berkunjung ke negeri ini.
“Terengganu sebenarnya banyak kapasiti pelancongan yang boleh dibangunkan untuk menjadi hab pelancongan.
“Sekarang ini kita lihat, negara menerima ramai pelancong Timur Tengah, bagaimanapun sebahagian besar mereka ini tidak datang ke Terengganu.
“Jadi pengiktirafan sebagai Destinasi Mesra Muslim ini diharap dapat menjadi alat untuk kita menarik perhatian pelancong Timur Tengah untuk datang ke Terengganu.
“Kalau diikutkan, Terengganu mempunyai tarikan pelancongan serba lengkap dengan jajaran pantai dan pulaunya yang tercantik, alam semula jadi yang memukau selain terkenal sebagai tapak penyebaran Islam.
“Namun masih kurang menerima pelancong dari negara Timur Tengah,” katanya selepas Majlis Penyerahan Anugerah Standard Kualiti Islam daripada UCSC dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Portfolio Pelancongan di Kuala Terengganu, semalam.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman dan Pengarah Jabatan Pelancongan negeri, Tun Ahmad Faisal Tun Abd. Razak.
Mengenai kemungkinan tema pelancongan Islamik itu akan menjejaskan kemasukan pelancong bukan Islam terutama dari negara Barat dan China, beliau berkata, ia persepsi salah yang perlu diperbetulkan.
“Sebenarnya ramai tidak faham dalam bidang pelancongan juga, kita ada pertimbangan Islam dan sebagai kerajaan di bawah pentadbiran PAS sudah tentu kita mahu menitikberatkan pelaksanaan tema Islam itu dalam semua aspek.
“Mungkin di awalnya ada sedikit rasa kurang selesa bagi pelancong bukan Islam, tetapi saya yakin apabila mereka faham mengenainy ia tidak akan menjadi masalah kerana tidak ada apa yang boleh menjejaskan mereka pun (pelancong bukan Islam),” katanya. – Metro Online

Tuesday, 22 May 2018

Wilayah Satun Harap Hubungan Baik Diteruskan. Ada Peluang Niaga?




ADA peluang niaga? Demi manfaat pada kedua-dua belah pihak, wilayah Satun, Thailand harap hubungan baik antaranya dengan kerajaan Malaysia yang baharu dapat dikekalkan.

Menurut portal online tempatan, Gabenor Wilayah Satun, Patarapon Ratanaphichetchai berkata sejak sekian lama wilayah di semenanjung Thailand itu mempunyai hubungai baik dengan Kerajaan Malaysia terutamanya Perlis.
Pihaknya berharap lebih banyak kerjasama seperti dalam sektor pelancongan dapat dirancang antara kedua-dua belah pihak lebih-lebih lagi apabila Satun Geopark mendapat pengiktirafan dari UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu).
“Ini boleh dilakukan melalui MoU (memorandum persefahaman), apatah lagi apabila tapak Sarun Geopark baru mendapat pengiktirafan daripada UNESCO sebagai tapak warisan pertama global di Thailand,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam program Ziarah Mahabbah Raja Muda Perlis Bersama Delegasi Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ke Wilayah Satun di sini semalam.
Lebih 150 golongan asnaf di wilayah berkenaan diberi sumbangan sempena Ramadan.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berangkat mencemar duli.
Sementara itu, Syed Omar Sharifuddin berharap projek membina laluan pintu masuk ketiga antara Perlis dan Wilayah Satun di Batu Putih, Kuala Perlis dapat direalisasikan.
“Kita percaya dengan pembukaan pintu masuk ini yang projeknya masih diteliti pihak kerajaan Pusat, hubungan baik antara kedua-dua (Wilayah Satun dan Perlis) dapat ditingkatkan khususnya dalam aspek pelancongan,” katanya. (IH)