Wednesday, 29 April 2015

Awas,‘Datuk Seri’ dalang tipu jual beli kereta

HONG SOON (kiri) menunjukkan sebahagian daripada 27 kenderaan mewah terpakai pelbagai jenis yang berjaya dirampas selepas sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur semalam

KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan satu sindiket penipuan jual beli kenderaan yang aktif me­nipu orang ramai sejak penghujung tahun lalu dengan tertangkapnya tiga individu termasuk dua individu yang bergelar Datuk Seri dan Datuk palsu di Kuala Lumpur.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Law Hong Soon berkata, pihak Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Wangsa Maju sebelum ini telah menerima sebanyak 126 laporan berkaitan kegiatan penipuan dalam urusan jual beli kenderaan mewah terpakai sepanjang tempoh tersebut.

Menurutnya, bertindak atas laporan tersebut, polis berjaya menahan tiga suspek lelaki berusia lingkungan 20 hingga 39 tahun di sekitar Kuala Lumpur pada 11 Mac lalu serta berjaya merampas 27 buah kenderaan mewah terpakai pelbagai jenis bernilai RM10 juta antaranya Audi, Mercedes-Benz, BMW, Volkswagen dan Mini.

“Kegiatan itu dipercayai didalangi oleh pengerusi syarikat berkenaan yang kononnya bergelar ‘Datuk Seri’ dengan menawarkan harga tinggi bagi membeli kereta mewah terpakai daripada mangsa yang mengiklankan kenderaan mereka di laman web Mudah.my. (Kosmo!)

Thursday, 23 April 2015

Tesco UK Rugi £6.38 Bilion, Yang Terbesar Dalam sejarah

LONDON: Tesco United Kingdom (UK) mengumumkan yang ia telah mengalami kerugian sehingga £6.38 bilion – iaitu yang terbesar dalam sejarah 97 tahun kewujudannya.
Ia juga adalah antara kerugian yang terbesar dalam sejarah korporat UK.
Bukan sahaja Tesco yang berhadapan dengan kerugian besar ini malah gedung-gedung peruncitan yang lain sekitar UK turut menyaksikan para pelanggan setia mereka telah beralih kepada pesaing yang menawarkan harga rendah seperti Aldi dan Lidl.
Mereka bersaing sengit untuk menjadi siapa yang mampu menawarkan harga paling rendah untuk barangan asas harian seperti susu, roti dan juga telur.
Ini sekaligus menjejaskan garis keuntungan.
Tesco UK pada Selasa telah mengumumkan bahawa keuntungan pra-cukai tahunan mereka sekitar £961 juta, turun 68 peratus walaupun jualan total tahunan di UK antara Februari tahun lalu sehingga Februari tahun ini adalah £44.6 bilion.
Jumlah ini adalah menurun 1.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Keuntungan urus niaga Tesco UK adalah sekitar £1.4 bilion, tetapi jumlah ini adalah jauh lebih rendah berbanding dengan apa yang dicapai pada tahun sebelumnya sebanyak £3.3 bilion.
Penurunan ini adalah untuk tahun yang ketiga berturut-turut.
Tetapi kerugian tahunan keseluruhannya adalah didorong menerusi item 'one-off' bernilai  £7 bilion termasuklah £3.8 bilion daripada kajian semula keseluruhan potfolio gedung ekoran penurunan keuntungan.
Ini termasuklah pembatalan projek yang sedang berjalan bernilai £925 juta ekoran keputusan Tesco Januari lalu untuk tidak meneruskan hasrat membina 49 gedung kecil dan besar baru di seluruh UK kerana pasaran yang lembab.
Tesco turut mendedahkan yang ia kini menanggung hutang bersih sebanyak £8.5 bilion dan defisit pencen bernilai £3.9 bilion.
Bekas pengerusi Persatuan Pembekal-Pembekal Makanan, Lord Haskins menyifatkan kerugian besar yang dialami oleh Tesco adalah kerana kegagalan mereka meneruskan pendekatan yang inovasi.
"Tesco adalah sebuah syarikat yang pernah dikenali sebagai syarikat inovatif...pada hari anda tidak lagi menjadi inovatif, anda akan mati," ujarnya.
Seorang pakar runding peruncitan, John Ibbotson pula berkata, keputusan kewangan tahunan ini adalah petanda berakhirnya era kegemilangan Tesco sebagai raja gedung peruncitan UK.
Bagaimanapun, ketua pegawai eksekutif Tesco yang baru, Dave Lewis menegaskan yang syarikat itu kini telah menggariskan sempadan antara kisah lama dan yang baru malah telah terdapat petanda yang menunjukkan mereka mampu kembali pulih.
"Pasaran yang ada hari ini adalah pasaran yang masih mencabar tetapi keutamaan kami kini adalah untuk memperbaiki perkhidmatan kami untuk pelanggan," ujarnya.
Katanya Tesco memerlukan perubahan dan itulah pendekatan yang sedang mereka ambil sekarang.
Para penganalisa berkata, sebahagian besar kerugian Tesco terletak pada bank tanah yang dimilikinya yang kini didapati nilainya jauh lebih rendah daripada apa yang mereka anggarkan sebelum ini.
Tesco menghabiskan berbilion wang untuk membina gedung-gedung besar tetapi kemudiannya mendapati para peruncit enggan membeli-belah lagi di tempat-tempat seperti itu sebaliknya memilih untuk menghabiskan lebih banyak masa di kedai-kedai runcit kecil dan sederhana.
Akibatnya, Tesco terpaksa membatalkan hasrat untuk membina lebih daripada 100 gedung baru malah di sesetengah tempat terpaksa menutup gedung besar sedia ada dan dalam kes yang lebih teruk terpaksa menjual tanah milik mereka kepada projek lain termasuk perumahan.
Mereka juga terpaksa memberhentikan kerja beribu kakitangan apabila mengambil keputusan untuk menutup gedung sedia ada. Dari ibu pejabat sahaja, sejumlah 6,000 kakitangan akan kehilangan pekerjaan.
Keseluruhannya Tesco bercadang untuk memberhentikan 10,000 pekerja mereka.
Kos hangus akibat pemberhentian kerja ini telah menelan belanja sehingga £300 juta sepanjang tahun lalu.
Sepanjang tiga tahun yang lalu, Tesco telah berhadapan dengan pelbagai isu dan krisis termasuklah skandal perakaunan yang menyaksikannya membuat deklarasi keuntungan yang tidak wujud berjumlah £263 juta.
Insiden itu menyaksikan sembilan eksekutif kanan Tesco sama ada digantung kerja atau dipaksa meninggalkan syarikat itu dengan segera.
Mereka turut mengantikan ketua pegawai eksekutif Philip Clarke dengan yang baru iaitu Dave Lewis September lalu yang diparacutkan dari Unilever.
Lewis buat masa ini telah memperbaiki hubungan Tesco dengan para pembekal dan terdapat juga tanda-tanda yang kejatuhan jualan berjaya dikurangkan.
Ketika puncaknya, Tesco adalah gedung peruncitan yang ketiga terbesar di dunia.
Tesco bagaimanapun masih menguasai 29 peratus daripada pasaran peruncitan UK.
Para penganalisa juga berkata yang Tesco juga berkemungkinan akan menjual gedung-gedungnya di Asia sebagai usaha untuk mengurangkan hutang dan beban semasa. (mStar)

Friday, 17 April 2015

Menteri akui hutang 1MDB membebankan, Putrajaya henti segala pinjaman baharu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar bercakap di program 'Perkembangan Ekonomi Semasa'anjuran Akademi Kepimpinan Kapten Hussein di Kelana Jaya, semalam. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim,17 April, 2015.Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar bercakap di program 'Perkembangan Ekonomi Semasa'anjuran Akademi Kepimpinan Kapten Hussein di Kelana Jaya, semalam. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim,17 April, 2015.













Datuk Seri Abdul Wahid Omar mengakui dana pelaburan strategik negara milik Kementerian Kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membebankan kerana kegagalannya menjana tunai berbanding hutang besar syarikat tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata 1MDB membuat pinjaman bank dan pasaran modal dalam membeli aset tetapi gagal menjana aliran tunai yang menyebabkan ia tidak mampan.
Wahid berkata 1MDB berkembang dengan membuat pinjaman daripada bank atau pasaran modal yang digunakan untuk membeli banyak aset termasuk IPP (syarikat jana kuasa bebas) sehingga menyebabkan hutangnya meningkat kepada RM42 bilion setakat Mac 2014.
"Jadi anda boleh bayangkan bebanan hutang yang tinggi, ia sebenarnya sangat tinggi dan ini sukar," katanya pada forum anjuran Akademi Kapten Hussein di Petaling Jaya, Selangor malam tadi.
Menjawab soalan orang ramai, Wahid berkata selagi aset yang dibeli itu tidak dapat menghasilkan aliran tunai, maka selagi itu 1MDB tidak akan mampan.
"Melainkan aset itu dapat menjana aliran tunai, ia tidak akan mampan," katanya.
Wahid berkata, bebanan hutang itu disedari memberi impak kepada 1MDB dan 3 langkah strategik sudah diambil bagi mengatasi masalah dihadapi.
"Mereka sudah ambil langkah strategik mengkaji semula model perniagaan dan struktur modal, 3 keputusan sudah dibuat," katanya.
Beliau berkata, 3 langkah itu termasuk menghentikan semua bentuk pinjaman baru, fokus kepada 2 projek utama mereka iaitu Tun Razak Exchange (TRX) dan Bandar Malaysia serta memastikan rancangan tawaran awam (IPO), syarikat IPP miliknya, Edra Energy dapat dilaksanakan secepat mungkin.
"Jadi ini kajian strategik yang sudah dikenal pasti," katanya.
1MDB, dimiliki sepenuhnya Kementerian Kewangan, mencatatkan kerugian selepas cukai RM665.4 juta daripada hasil RM4.26 bilion bagi tahun kewangan berakhir Mac 2014.
Kerugian mungkin lebih parah kalau bukan kerana keuntungan menerusi penilaian aset hartanah berjumlah RM896.8 juta.
Laporan tahunan 2014 syarikat itu meletakkan pinjaman jangka panjang dana negara itu naik sehingga RM33.5 bilion, iaitu kenaikan RM7.2 billion atau 27% daripada RM26.3 bilion pada 2013.
Hutang jangka pendek 1MDB berjumlah RM8.3 bilion.
Pada hujung Mac tahun lalu, baki tunai dan baki bank 1MDB berjumlah RM3.8 bilion, turun 42% daripada RM6.7 bilion pada tahun kewangan 2013.
Penurunan ini berpunca daripada bayaran faedah yang tinggi serta pinjaman yang masih ada.
Bagi tahun berakhir Mac 2014, 1MDB membelanjakan RM2.4 bilion untuk kos kewangan.
Pemimpin politik, termasuk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menuntut siasatan dibuat ke atas kewangan 1MDB dan juga menggesa kerajaan menjelaskan urus niaga yang mereka dakwa menyebabkan dana awam disalurkan keluar.
Susulan tekanan tersebut, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkan ketua audit negara menjalankan audit bebas ke atas akaun 1MDB.
Pelbagai dakwaan dan kritikan menyelubungi 1MDB, malah pemimpin Umno baru-baru ini juga melancarkan serangan ke atas ahli perniagaan Low Taek Jho yang dikenali sebagai Jho Low kerana dikatakan di antara pemain penting di belakang syarikat tersebut. – 17 April, 2015. (TMI)

Wednesday, 15 April 2015

Thursday, 26 March 2015

RM5.037 Bilion.Hutang 1MDB Kpd Bank Tempatan.. Jawab Najib.


Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Abdul Razak enggan melayan soalan di Dewan Rakyat berhubung butiran mengenai pinjaman 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dari bank-bank tempatan.

Soalan dari Rafizi Ramli (PKR-Pandan) menuntut butiran, sehingga Januari 2015, serta hasil penemuan audit pematuhan Bank Negara bagi setiap bank.

Bagaimanapun, Najib memberi jawapan bertulis sebaris mengenainya, iaitu sehingga Januari 2015, hutang 1MDB kepada bank-bank tempatan adalah RM5.037 bilion.

Merupakan 12 peratus daripada jumlah hutang 1MDB, ia membayangkan bahawa ia bukan satu risiko sistemik kepada sistem perbankan Malaysia.

Sebelum itu, Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz (kanan) telah berkata bahawa ujian tekanan menunjukkan 1MDB tidak akan menjejaskan ekonomi.

Menteri kabinet Khairy Jamaluddin juga pernah dilaporkan berkata walaupun terdapat kebimbangan mengenai risiko sistemik, beliau percaya 1MDB tidak akan menjadi lubang hitam yang menelan bank-bank Malaysia jika ia gagal membayar hutangnya.

Sementara itu, Rafizi memberitahu pemberita bahawa dengan memilih untuk diam mengenai penemuan audit itu, Najib sebenarnya menunjukkan bahawa Bank Negara telah membangkitkan isu-isu serius mengenai proses kelulusan pinjaman itu.

Rafizi (menjelaskan bahawa soalannya bertujuan untuk mencungkil hasil audit pematuhan Bank Negara terhadap pinjaman yang diberikan oleh Maybank, RHB dan Ambank.

Menurutnya lagi, beliau telah diberi maklumat bahawa Bank Negara telah membangkitkan isu-isu serius dengan Ambank berhubung proses kelulusan pinjaman yang diberikan kepada 1MDB.

Katanya, isu terpenting bukanlah sangat mengenai jumlahnya kepada kepada sistem perbankan tetapi dakwaan mengenai kekurangan urus tadbir yang selanjutnya boleh menjejaskan kredibiliti perbankan dan kewangan, ekoran skandal 1MDB setakat ini.

Hakikat bahawa menterinya enggan menjawab, tambah Rafizi, hanya boleh mengesahkan bahawa dakwaan itu mempunyai beberapa kebenaran.

- mkini

1MDB -Dr Mahathir.


 chedet Written by chedet

1. UMNO telah mengadakan majlis penerangan tertutup yang dihadiri oleh sebahagian dari Ketua-Ketua Bahagian pada 8 Mac. Keputusan majlis mengikut akhbar ialah menyokong penuh Presiden parti.

2. Tidak diketahui tentang penjelasan oleh Presiden berkenaan kontroversi 1MDB, yang sedang dibincang dengan meluas oleh rakyat. Bahawa perkara ini dibawa oleh parti lawan, justeru itu ia adalah fitnah belaka tidak mencukupi untuk rakyat menolak tuduhan-tuduhan berkenaan 1MDB.

3. Rakyat masih tidak puas hati berkenaan 1MDB. Mereka bincang perkara ini dimana sahaja. Jika mereka tidak puas hati dan tidak sokong Barisan Nasional (BN) dalam PRU akan datang, BN mungkin kalah. Dan jika BN ditolak, sokongan kepada Presiden oleh pemimpin bahagian UMNO tidak lagi bermakna.

4. 1MDB bukan buat hutang biasa seperti Kerajaan yang biasanya berjumlah hanya ratusan juta sahaja. 1MDB telah hutang berbillion Ringgit. Walaupun 1MDB bukan Kerajaan tetapi ia adalah badan yang ditubuh dan dimiliki oleh Kerajaan sepenuhnya dengan modal sebanyak 1 juta Ringgit. Ada juga jaminan oleh Kerajaan terhadap beberapa hutang 1MDB. Oleh itu Kerajaan tidak boleh dakwa bahawa ini masalah syarikat dan bukan masalah Kerajaan.

5. Kerajaan sudah melantik Auditor General untuk memeriksa akaun 1MDB. Tetapi ini tidak akan menjawab banyak soalan yang telah dikemukakan dan dibincang oleh rakyat.

6. Dakwaan-dakwaan yang telah dibuat terhadap 1MDB bukan berbentuk tuduhan melulu. Ia disertai dengan fakta yang jelas, iaitu jumlah hutang, siapa yang mengurus, siapa yang menerima wang berbillion Ringgit, pelaburan yang dibuat, dimana wang ini disimpan, dalam bentuk apa.

7. Nama Jho Low disebut berkali-kali. Demikian juga nama-nama syarikat miliknya. Tuduhan dibuat berkenaan dengan pembelian rumah mewah olehnya di London, New York dan Holywood. Lepas itu rumah dijual kepada anak tiri Perdana Menteri dengan harga ratusan juta Ringgit. Sudah tentu ini tidak disebut dalam akaun 1MDB yang akan diperiksa oleh AG.

8. Pada mulanya duit Riza Aziz dikatakan warisan harta kekayaan dari keluarga Tun Razak. Kemudian dakwaan ini dinafi. Soalannya jika tidak dari keluarga Tun Razak dari mana datang wang yang banyak ini. Apakah ianya hasil dari perniagaan? Jika ya, apa perniagaan, dimana? Sudahkah cukai pendapatan dibayar? Kepada Kerajaan mana?

9. Pelaburan ratusan juta untuk filem “The Wolf of Wall Street” oleh Riza Aziz, anak tiri Dato Sri Najib datang dari mana? Filem ini tidak memberi keuntungan. Tidak mungkin filem ini membiayai rumah mewah yang dibeli dengan ratusan juta Ringgit atau Dolar Amerika.

10. Semua perkara-perkara ini tidak akan terdapat dalam akaun 1MDB. Tetapi rakyat ingin tahu kerana melibatkan Jho Low. Dan Jho Low disebut-sebut berkenaan dengan pengurusan 700 juta USD dari 1MDB.


11. Ada yang disebut berkenaan Petro Saudi yang juga menerima bayaran ratusan juta dolar dari 1MDB Benarkah Petro Saudi ini mendapat konsesi kawasan minyak dan gas di Argentina, di Turkmenistan dll. Apa buktinya? Benarkah JV dibuat dengan Petro Saudi sebelum ‘due diligence’ dibuat. Katanya sementara 1MDB melabur USD1 billion dalam JV dengan Petro Saudi, tetapi Petro Saudi tidak melabur satu sen pun. Apa jadi kepada wang IMDB dalam JV tidak jelas.

12. Apa sebabnya lebih dari 6 billion Ringgit (Dollar) disimpan di Cayman Island? Kerajaan tidak pernah simpan duit di lain negara selain pembelian bond. Apakah bond dibeli? Apa hasilnya?

13. Katanya wang sebanyak USD1 billion sudah dibawa balik dari Cayman dan disimpan dalam bank Singapura. Kononnya Bank Negara menjadi masalah kerana proses menyimpan wang yang banyak mesti melalui proses yang rumit. Bolehkan Bank Negara jelas kenapa menimbul masalah sedangkan 1MDB adalah syarikat Kerajaan yang dikuasai oleh Kementerian Kewangan. Jika mudah di Singapura kenapa susah sangat di Malaysia?

14. Urusan Kerajaan pernah dirahsia. Tetapi soal bayar balik hutang adalah public knowledge (dalam pengetahuan orang ramai). Orang ramai ingin tahu benarkah Ananda Krishnan memberi pinjam RM 2 billion untuk bayar faedah ini. Apakah faedah yang dikenakan oleh Ananda? Apa cara bayaran balik hutang Ananda? 1MDB dikatakan untung. Kenapa tidak dapat bayar faedah 2 billion Ringgit.

15. Juga diketahui umum ialah permohonan hutang sebanyak 3 billion dari Kerajaan baru-baru ini. Apakah Kabinet melulus pinjaman yang begitu besar ini? Apakah syarat yang dikenakan? Bagaimanakah hutang ini akan dibayar balik oleh 1MDB

16. Tanah Kerajaan di Jalan Tun Razak dan Lapangan Terbang Sungai Besi telah dibeli oleh 1MDB. Apakah harga yang dibayar? Apakah tanah ini yang dikatakan asset 1MDB? Bagaimanakah dinilai harga tanah ini? Kerajaan berhak mendapat pulangan yang setimpal apabila tanah ini dijual kepada sesiapa pun. Berapakah harga satu kaki persegi. Tanah berdekatan dijual dengan harga RM7000/- satu kaki persegi. 1MDB juga membeli tanah di Pulau Pinang. Apa harganya. Apa jenis pembangunan yang dicadangkan. Sudah dimulakah?

17. Jika tanah-tanah ini menjadi aset 1MDB, apakah nilai tinggi aset ini disebabkan kenaikan (revaluation) dari harga belian yang murah dan harga pasaran yang tinggi.

18. 1MDB meminjam lebih dari 10 billion Ringgit untuk beli beberapa stesyen janakuasa. Harga yang dibayar dikatakan lebih tinggi dari harga pasaran. Lesen stesyen-stesyen ini akan mati tidak lama lagi. Kenapa tidak tunggu hingga lesen mati sebelum membeli. Harga selepas mati lesen tentu amat rendah. Membeli dengan harga tinggi sebelum lesen mati amat merugikan.

19. Wang untuk membeli stesyen janakuasa dipinjam. Laporan menunjuk komisyen sebanyak lebih dari 10% dibayar kepada Goldman Sachs untuk mengurus penjualan bond.

20. Jika komisyen 10%, 1MDB akan dapat hanya 90% dari jumlah yang dihutang. Tetapi faedah perlu dibayar keatas 100% jumlah hutang. Ini menghairankan!

21. Biasanya hutang yang dijamin oleh Kerajaan dikenakan faedah 3%. Hutang yang diurus oleh Goldman Sachs dikenakan faedah sebanyak 5.9%.

22. Jumlah hutang sudah meningkat kepada 42 billion Ringgit. Faedah keatas jumlah ini, jika hanya 5% pun akan berjumlah 2.6 billion Ringgit setahun. Ini adalah satu jumlah yang amat besar.

23. Sebaliknya jumlah keuntungan dari pelaburan dalam stesyen janakuasa tidak akan mencukupi untuk membayar faedah ini. Demikian juga pelaburan untuk beli tanah di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang tidak akan beri apa-apa pulangan sebelum di bangun atau dijual.

24. Sesungguhnya 1MDB menimbul banyak soalan tentang pengurusan dan kegunaannya. Dan jumlahnya juga amat besar. Rakyat berhak merasa curiga akan cara dan kegunaan wang mereka yang banyak ini.

25. Ulasan bahawa semua tuduhan adalah fitnah tidak mencukupi. Mereka yang mendakwa bahawa ada penyelewengan dalam pengurusan 1MDB berani membuat kenyataan terhadap Kerajaan dan individu-individu tertentu walaupun terdedah kepada tindakan saman malu. Tetapi mereka mendakwa mereka memiliki bukti-bukti yang jelas seperti e-mail, surat perjanjian dan bukti-bukti lain. Tarikh dan nama-nama diberi tanpa bersembunyi. Pembohongankah tuduhan mereka!!

26. Sehingga kini Kerajaan tidak menjawab secara yang masuk akal. Umpamanya 1MDB tidak punyai masalah kerana asetnya lebih dari hutang. Tetapi hanya untuk bayar faedah 2 billion, tidak ada wang sehingga tidak dapat tutup akaun ikut jadual. Kemungkinan terpaksa hutang untuk bayar faedah.

27. Sejak Arul Kanda Kandasamy mengambil jawatan CEO, banyaklah kenyataannya yang tidak munasabah yang dibuat. Kononnya wang di Cayman sudah dibawa balik. Kemudian wang ini tidak boleh bawa balik. Kemudian sudah dibawa balik tetapi disimpan di Singapura.

28. Yang diperlukan bukan audit biasa buku akaun. Yang diperlukan ialah siasatan forensik oleh polis akan tuduhan yang dbuat terhadap beberapa orang yang terlibat dengan pengurusan wang 1MDB.

29. Jika ini tidak dibuat dan dibuat secepat mungkin, sokongan rakyat yang sudah pun merosot dalam PRU 2008, 2013 akan merosot lagi. Besar kemungkinan BN akan kalah pada 2018, walaupun ketua-ketua UMNO sokong dan terima dengan puas hati penerangan yang dibuat. Ingatlah undi orang UMNO sahaja tidak cukup untuk menang pilihanraya.

Friday, 20 March 2015

Ekonomi tenat, Mahathir, Ku Li perlu turun padang -Husam Musa

KOTA BHARU: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed dan Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dicadang untuk turun ke Kelantan bagi memberi penerangan berkaitan ketenatan ekonomi Negara.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata, selain mereka, bekas Pengarang Kumpulan Akhbar New Stret Times, Datuk A. Kadir Jasin juga perlu untuk turun padang menjelaskan kekeliruan rakyat berhubung perkara itu.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ceramah di Pengkalan Nangka, di sini sempena kempen PRK N.06 Dun Chempaka, malam tadi.

Menurutnya, tidak guna mereka lantang di blog atau medan penulisan semata-mata, tanpa turun ke bawah untuk memberi penjelasan kepada rakyat berkaitan 1MDB dan sebagainya.

“Mari sama-sama kita turun ke bawah untuk tujuan itu biar rakyat jelas, biar rakyat sedar 1MDB dan GST bakal membawa Malaysia bankrap dan rakyat bakal menanggung beban itu,”ujarnya.
Beliau turut mempertikai tindakan pemimpin nombor satu negara yang membisu daripada mengulas kenyataan Tun Mahathir dan Tengku Razaleigh.

“Sepatutnya sekiranya mereka di pihak yang benar dan berjuang untuk rakyat, sepatutnya mereka memberi respons agar ianya jelas,”ujarnya lagi.

Pada masa yang sama beliau melahirkan rasa terharu terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkorban untuk negara hingga rela ke penjara.

Katanya, walaupun negara luar ingin melindunginya seperti Turki dan Indonesia dan menasihatinya agar tidak pulang ke Malaysia kerana akan dipenjarakan sekiranya pulang, namun beliau memilih untuk pulang.

“Namun beliau pulang dan menerimanya dengan tenang, malah sanggup mati dalam penjara kerana cintakan Negara,” katanya.

Menurutnya, Anwar telah ditahan di bawah ISA ketika masih dalam ABIM dan dipenjarakan ketika anak bongsunya berusia tujuh tahun.

Husam berkata, ketika cucunya yang sulung berusia tujuh tahun, beliau dipenjara sekali lagi. - HARAKAHDAILY 19/3/2015