Friday 20 March 2015

Ekonomi tenat, Mahathir, Ku Li perlu turun padang -Husam Musa

KOTA BHARU: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed dan Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dicadang untuk turun ke Kelantan bagi memberi penerangan berkaitan ketenatan ekonomi Negara.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata, selain mereka, bekas Pengarang Kumpulan Akhbar New Stret Times, Datuk A. Kadir Jasin juga perlu untuk turun padang menjelaskan kekeliruan rakyat berhubung perkara itu.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ceramah di Pengkalan Nangka, di sini sempena kempen PRK N.06 Dun Chempaka, malam tadi.

Menurutnya, tidak guna mereka lantang di blog atau medan penulisan semata-mata, tanpa turun ke bawah untuk memberi penjelasan kepada rakyat berkaitan 1MDB dan sebagainya.

“Mari sama-sama kita turun ke bawah untuk tujuan itu biar rakyat jelas, biar rakyat sedar 1MDB dan GST bakal membawa Malaysia bankrap dan rakyat bakal menanggung beban itu,”ujarnya.
Beliau turut mempertikai tindakan pemimpin nombor satu negara yang membisu daripada mengulas kenyataan Tun Mahathir dan Tengku Razaleigh.

“Sepatutnya sekiranya mereka di pihak yang benar dan berjuang untuk rakyat, sepatutnya mereka memberi respons agar ianya jelas,”ujarnya lagi.

Pada masa yang sama beliau melahirkan rasa terharu terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkorban untuk negara hingga rela ke penjara.

Katanya, walaupun negara luar ingin melindunginya seperti Turki dan Indonesia dan menasihatinya agar tidak pulang ke Malaysia kerana akan dipenjarakan sekiranya pulang, namun beliau memilih untuk pulang.

“Namun beliau pulang dan menerimanya dengan tenang, malah sanggup mati dalam penjara kerana cintakan Negara,” katanya.

Menurutnya, Anwar telah ditahan di bawah ISA ketika masih dalam ABIM dan dipenjarakan ketika anak bongsunya berusia tujuh tahun.

Husam berkata, ketika cucunya yang sulung berusia tujuh tahun, beliau dipenjara sekali lagi. - HARAKAHDAILY 19/3/2015

No comments:

Post a Comment