KUALA LUMPUR 15 Mac - Tan Sri Syed Mokhtar
Albukhary, 63, merupakan
ahli perniagaan Melayu terkaya dengan nilai kekayaan sebanyak AS$2.9
bilion (RM10.44 bilion), mengikut maklumat yang dikumpul oleh majalah
perniagaan, Forbes.
Beliau yang tidak mempunyai latar belakang pendidikan tinggi bermula
kariernya sebagai pedagang beras dan kini menjalankan pelbagai
perniagaan terutamanya menerusi syarikat tersenarai di Bursa Malaysia,
iaitu MMC Corp. dan DRB-Hicom. Syarikat-syarikatnya itu juga berjaya
memenangi beberapa projek utama kerajaan seperti pengangkutan dan
komunikasi.
Selain itu, perniagaannya turut meliputi industri tenaga, perladangan, pelabuhan dan pembekalan pertahanan.
Berdasarkan senarai 50 orang terkaya di Malaysia yang dikeluarkan majalah itu, Syed Mokhtar berada di kedudukan kelapan.
Sementara itu, Tan Sri Azman Hashim yang mengetuai perbankan AmBank
Group, yang diasaskannya pada 1976 dengan nama Arab-Malaysian Merchant
Bank, merupakan orang Melayu kedua terkaya dengan nilai kekayaan AS$865
juta (RM3.11 bilion).
Tempat ketiga ialah adik-beradik Tan Sri Shahril Shamsuddin dan Datuk
Shahriman Shamsuddin yang merupakan taikun minyak dan gas (O&G)
menerusi syarikat penyedia perkhidmatan O&G, SapuraKencana Petroleum
Bhd. (SapuraKencana). Kekayaan terkumpul kedua-dua beradik itu ialah
AS$860 juta (RM3.10 bilion).
Seterusnya ialah Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim dengan nilai kekayaan
sebanyak AS$740 juta (RM2.66 bilion). Beliau merupakan pemilik syarikat
perkhidmatan helikopter, Weststar Aviation yang memberi tumpuan kepada
sektor O&G. Antara syarikat-syarikat yang menggunakan
perkhidmatannya ialah Petronas Carigali, Shell dan Tullow Oil.
Anak kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Mokhzani Mahathir turut
berada di dalam senarai keenam terkaya dengan kekayaannya AS$700 juta
(RM2.52 bilion). Beliau baru-baru ini meletakkan jawatan daripada
Lembaga Pengarah SapuraKencana, tetapi masih mengekalkan 9.12 peratus
kepentingan dalam syarikat itu menerusi syarikat Khasera Baru.
Akibat kejatuhan harga minyak dunia serta kesannya kepada saham
SapuraKencana, majalah Forbes meletakkan kedudukan Mokhzani di tempat
ke-26 terkaya di Malaysia dengan nilainya menyusut kepada AS$700 juta
(RM2.52 bilion).
Melayu terkaya berikutnya ialah Ahmayuddin Ahmad dengan kekayaan AS$600
juta (RM2.16 bilion). Beliau bersama orang ke-17 terkaya di Malaysia,
Tan Sri G. Gnanalingam merupakan pengasas syarikat pelabuhan di
Pelabuhan Klang, Westports Holdings.
Kekayaan Ahmayuddin melonjak 36 peratus menurut Forbes hasil keuntungan dan peningkatan saham syarikat pelabuhannya itu.
Pengerusi Eksekutif AirAsia Bhd., Datuk Kamarudin Meranun turut berada
di dalam senarai dengan kekayaan sebanyak AS$540 juta (RM1.94 bilion)
yang mengasaskan jenama penerbangan AirAsia bersama Tan Sri Tony
Fernandes pada 2001. Beliau memulakan kerjayanya sebagai pengurus
portfolio di Arab-Malaysian Merchant Bank dengan tumpuan perkhidmatan
kepada individu berpendapatan tinggi.
Melayu terakhir yang berada di dalam senarai tersebut ialah Datuk Abdul
Hamed Sepawi yang terlibat dalam industri pembalakan menerusi
syarikatnya, Ta Ann Holdings dengan kekayaan AS$255 juta (RM918 juta).
Selain itu, beliau turut terlibat di dalam sektor kelapa sawit,
pembinaan dan O&G.
Mengikut senarai penuh 50 individu terkaya itu, Tan Sri Robert Kuok
berada di kedudukan teratas dengan kekayaan AS$11.3 bilion (RM40.7
bilion) dengan asetnya menerusi syarikat PACC Offshore Services Holdings
dan Wilmar International. Tempat kedua ialah T. Ananda Krishnan dengan
kekayaan bernilai AS$9.7 bilion (RM34.9 bilion) menerusi jenama
perniagaan Astro dan Maxis.
- See more at: http://www.utusan.com.my/bisnes/korporat/sembilan-melayu-terkaya-di-malaysia-1.69783#sthash.ekaJ51YN.dpuf
No comments:
Post a Comment