Sunday, 11 June 2017

Ada Pula Geng Susu Kangkang..


KUALA LUMPUR – Lima anggota ‘Geng Susu Kangkang’, yang disyaki terlibat dalam 30 kes mencuri susu tepung berjenama, ditahan polis di sebuah kedai serbaneka di Dataran Sunway Kota Damansara, Petaling Jaya pada Rabu lepas.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din berkata kesemua suspek, yang berusia lingkungan 25 hingga 49 tahun, ditahan ketika cuba melakukan kegiatan mencuri susu tepung di premis berkenaan pada 6.55 petang.
Menurutnya suspek yang terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita warga tempatan dipercayai giat melakukan kegiatan itu di sekitar Petaling Jaya dan kawasan lain di Lembah Klang.
“Modus operandi kumpulan itu adalah dengan memasukkan kotak atau tin susu tepung berjenama yang dicuri ke dalam pakaian yang telah diubah suai atau di dalam beg mereka sebelum melarikan diri,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata susu yang dicuri itu kemudian dijual di kedai-kedai di kawasan rumah kongsi atau kedai runcit tertentu.
Mohd Zani berkata tangkapan berkenaan adalah susulan laporan mengenai kes samun melibatkan kumpulan itu di sebuah pasar raya di Petaling Jaya, yang mengakibatkan seorang pengawal keselamatan dicederakan pada 20 Mei lepas.
Hasil siasatan mendapati kesemua suspek baru sahaja dibebaskan daripada penjara pada tahun lepas kerana melakukan jenayah sama.
Kesemua suspek direman tujuh hari bermula 7 Jun bagi membantu siasatan. – BERNAMA

Friday, 9 June 2017

“Oh Mak Kau Apa Benda Tu?” – Netizen

"Oh Mak Kau Apa Benda Tu?" - Netizen


SETIAP kali Ramadan tiba, bazar Ramadan akan menjadi lokasi tumpuan orang ramai dengan pelbagai jualan juadah berbuka puasa.

Di sinilah, tempat di mana segala jenis ‘tok nenek’ makanan muncul. Pelbagai jenis makanan eksotik atau sukar dicari pada hari-hari biasa pasti akan dijumpai.
Bercakap mengenai eksotik, gambar arnab bakar yang dikongsikan oleh seorang pengunjung bazar Ramadan di Kampung Guntong, Terengganu menjadi tular di media sosial.
“Makanan eksotik pun ada di kampung ambo nih.. ore kato sedap.. try beli sekor.. wak mapuh doh.. di bazar Ramadan Kampung Guntong.. gerai Mohd Ebbie Shafiran,” tulis pengguna Facebook yang menggunakan nama Long Kuning.
"Oh Mak Kau Apa Benda Tu?" - Netizen
Dua keping gambar yang dimuat naik itu telah menarik minat netizen yang rata-rata terkejut dan tidak dapat meneka apa yang dijual.
Ada yang menekanya sebagai anak kucing, malah tidak kurang juga mengatakan ia adalah anak kambing.
"Oh Mak Kau Apa Benda Tu?" - Netizen
“Arnab. Sebab kaki belakang lebih besar dari kaki depan,” tulis Tajuddin Al Hammam.
Kamarul Azram menulis: “Dah tentu binatang ni halal dimakan sebab jual kat Malaysia, lepas tu orang Islam jual tapi ada yang masih tanya kucing ke tu…hahahahaaaa lawak la.”
Dalam pada itu ada juga yang menyarankan agar si penjual memotong kepala arnab ini sebelum dijual kepada pelanggan.
Tak kurang juga yang ‘tak sampai hati’ untuk makan haiwan ini walaupun ia halal dan telah disembelih. 
Lapor MYNEWSHUB.CC
*Video di bawah sekadar hiasan…

AirAsia Lantik Nealofa Reka Tudung Untuk Pilot. Tidak Paramugarinya?


AirAsia Lantik Nealofa Reka Tudung Untuk Pilot

KELUARAN tudung jenama milik pelakon Neelofa iaitu Naelofar mengukir sejarah manis tersendiri apabila secara rasmi bekerjasama dengan syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia.

Dengan kerjasama unik ini, Naelofar Hijab akan menjadi tudung rasmi yang akan dipakai juruterbang wanita berhijab AirAsia ketika mereka menjalankan tugas bermula hari ini.
Tudung tersebut dilaporkan memang direka khas dengan fabrik istimewa berwarna putih untuk keselesaan juruterbang wanita.
Penggunaan tudung ini turut membabitkan kakitangan dalam sektor penerbangan jarak jauh, AirAsia X.
Menurut Neelofa, tudung yang direka untuk AirAsia ini amat praktikal selain bergaya dan memudahkan pergerakan pemakai.
“Hijab itu turut mempunyai simbol Naelofar Hijab yang bertatahkan kristal Swarovski untuk sentuhan akhir sesuai kepada pemakainya,” katanya.
Neelofa turut meluahkan rasa bangganya dengan pencapaian Naelofar hijab yang akan terbang tinggi bersama juruterbang AirAsia.
Sementara itu Ketua Bahagian Penjenamaan AirAsia, Rudy Khaw berkata, buat julung kalinya, AirAsia berkerjasama dengan pereka hijab untuk menghasilkan hijab bagi juruterbang wanita.
Pada masa sama, pihak Air Asia turut merancang bekerjasama dengan Naelofar Hijab sekali lagi agar pemakaiannya diperluaskan kepada semua kakitangan wanita bertudung di Air Asia. 
Lapor MYNEWSHUB.CC
Untuk pilot saja ke, tidak paramugarinya?

Thursday, 8 June 2017

'Bakal Terkaya Di Dunia' Melalui Skim Cepat Kaya, Ditahan..





PETALING JAYA: Lelaki yang mengisytiharkan dirinya sebagai 'bakal orang paling kaya di dunia', Zhang Jian, telah ditangkap di Indonesia dan dihantar pulang ke China untuk berdepan tindakan undang-undang.
Jian, atau nama sebenarnya Song Miqiu, dipercayai menjadi dalang di sebalik beberapa skim cepat kaya di China, Malaysia, Thailand dan Indonesia.
Laman web www.ysmwxb.com tentang 'skim duit syiling' yang diperkenalkannya kini sudah tidak boleh diakses dan lebih 5,000 rakyat Malaysia dengan pelaburan RM17.5 juta kini terkapai-kapai, lapor Oriental Daily.
Sin Chew Daily melaporkan bahawa menurut media tanah besar China, polis mengesan Jian dengan bantuan daripada rakan-rakan di Indonesia dan Kedutaan China di negara itu.
Dia telah dibawa pulang ke China, Selasa.
Siasatan polis China mendedahkan bahawa Jian telah menubuhkan sebuah syarikat perdagangan, Yun Shu Mao dengan rakannya pada November 2012 bagi skim pemasaran pelbagai peringkat secara haram, yang melibatkan sehingga 600 juta yuan (RM376.63 juta).
Polis di wilayah Hunan, China mula menyiasat Jian dan rakan-rakannya pada Disember 2013, lapor Sin Chew.
Jian segera melarikan diri tetapi terus melakukan aktiviti haram di Asia Tenggara.
Dia menjadi tajuk berita utama dalam media Malaysia pada tahun 2014 apabila papan iklannya muncul di Pulau Pinang, mengisytiharkan dirinya sebagai 'bakal manusia terkaya di dunia'.
Dia juga menghadiahkan kereta mewah kepada 'pengedar bertuah'nya.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan kemudian melancarkan siasatan ke atas syarikat Jian tetapi dia melarikan diri ke Thailand.
Pada 27 Oktober 2014, polis Thai menahan Jian, isterinya Yoyo Wang Wen Fang, 29, dan orang kanannya Geng Lian Bao berhubung skim piramid dan merampas aset bernilai 240 juta baht (RM30 juta).
Selepas dibebaskan pada 2016, beberapa penyokong mendakwa bahawa dia masih berada di Thailand tetapi lokasi sebenar dirinya ketika itu adalah misteri.
Polis China beberapa kali menghantar pegawai mereka untuk mengesan dirinya dan juga mengeluarkan amaran merah Interpol terhadap Jian pada Mac 2016.
Mereka juga memohon kerjasama daripada pihak polis di Thailand, Malaysia dan Indonesia untuk menyiasat aktiviti Jian.
Baru-baru ini, Jian dilihat membuat kemunculan semula di Malaysia dengan menggalakkan Wu Xin Bi, duit syiling yang didakwa mempunyai nilai pelaburan di Internet. (IH)

Harga Minyak Turun Lagi 2 Minggu Berturut-Turut.



KUALA LUMPUR – Harga runcit siling bahan bakar ditetapkan secara mingguan mulai 30 Mac lalu, dan untuk tempoh seminggu berikutnya menyaksikan semua jenis minyak turun lagi beberapa sen.

Ia sudah dijangka pelbagai pihak ekoran ketidaktentuan geopolitik akibat krisis diplomatik antara Arab Saudi dengan jirannya, Qatar sehingga mempengaruhi suasana permintaan bekalan minyak mentah di pasaran dunia.
Menurut laporan Berita N5 yang disiarkan oleh stesen TV1 RTM pada jam 5 petang Rabu, harga siling terbaharu produk RON 95 kini menjadi sebanyak RM2.05 seliter, turun lima sen berbanding sebelumnya iaitu RM2.10 seliter.
Manakala had harga runcit untuk petrol premium jenis RON 97 dalam tempoh seminggu akan datang pula telah ditetapkan kepada RM2.31 seliter, juga turun sebanyak tujuh sen dibandingkan sebelumnya iaitu RM2.38 seliter.
Dalam pada itu, harga runcit baharu untuk minyak diesel dalam tempoh tujuh hari yang sama diumumkan menjadi hanya RM1.94 seliter iaitu merosot lapan sen sahaja berbanding RM2.02 seliter ketika tempoh minggu sebelumnya.
Stesen penyiaran awam kebangsaan berkenaan melaporkan bahawa kesemua harga siling baharu untuk produk petroleum tersebut bermula dari pukul 12.01 tengah malam 8 Jun sehingga 11.59 malam 14 Jun depan.
Mulai 29 Mac lalu, Kabinet memutuskan penetapan harga runcit bahan api secara mingguan bagi membolehkan pengguna menikmati trend kadar lebih stabil berbanding harga bulanan yang dilaksanakan sebelum ini.
Pihak kerajaan sebelum itu melaksanakan penetapan harga siling bulanan secara kaedah pengapungan terkawal dengan mengguna pakai sistem kiraan formula Mekanisme Harga Automatik yang ditetapkan sejak 1983.
Penetapan harga runcit minyak secara bulanan itu sudah lama dilaksanakan oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang bermula pada awal Disember 2014 lalu.
Namun, pengumuman rasmi secara mingguan dijangka dapat mengurangkan kegelisahan pengguna kerana perubahan harga tidak begitu ketara berikutan tempoh pengiraan pendek. (IH)

Wednesday, 7 June 2017

Gara-Gara Gempur Peniaga Tiada Lesen.


Video: Petugas DBKL Diserang Penyembur Lada

KECOH di media sosial hari ini apabila sebuah video memaparkan seorang penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) disembur dengan penyembur lada hingga menyebabkan kecederaan.

Dalam kejadian tengah hari semalam, seorang penguatkuasa DBKL berusia 22 tahun disembur dengan penyembur lada oleh sekumpulan lelaki tidak dikenali di Medan Bunus 6, Jalan Bunus, Kuala Lumpur kira-kira jam 12.36 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata ketika kejadian mangsa bersama beberapa penguatkuasa lain sedang menjalankan tugas menyita penjaja air tanpa lesen.
“Mangsa mengalami bengkak di seluruh badan dan menerima rawatan di Hopsital Kuala Lumpur.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaaan atas kesalahan menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam ketika menjalankan tugas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan itu, seorang lelaki berusia 29 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Jelasnya, sebelum kejadian tersebut polis menerima satu laporan berhubung kes tetak dan pergaduhan di Jalan Masjid India kira-kira jam 3.40 pagi Selasa.
Menurutnya, mangsa seorang lelaki berusia 22 tahun dipukul kira-kira 10 orang lelaki tidak dikenali.
“Mangsa ditetak dengan parang dan mendapat kecederaan di kepala serta kini mendapat rawatan di Hopsital Kuala Lumpur.
“Kes disiasat mengikut Sekyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata berbahaya,” katanya.
Susulan kejadian pergaduhan itu, polis bersama DBKL dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) menjalankan Ops Bersepadu Khas di Jalan Masjid India dan kawasan sekitar semalam bagi mengesan suspek terlibat.
Mohd Sukri berkata, seramai 40 orang diperiksa dan tujuh ditahan berusia  18 hingga 31 tahun bagi membantu siasatan kes tetak dan serang penguatkuasa DBKL.
Menurutnya, dua suspek yang ditahan positif ujian air kencing manakala seorang adalah individu yang dikehendaki polis.
Jelasnya, DBKL turut menyita 28 kedai atas kesalahan Seksyen 3(1) Undang-Undang Kecil Pelesenan.
“Peniaga jalanan dinasihatkan mendapatkan lesen daripada DBKL untuk berniaga di bulan Ramadan ini.
“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak terlibat dengan situasi yang boleh menyebabkan pergaduhan dan jauhkan diri dari kegiatan gangsterisme,” katanya. 
Lapor MYNEWSHUB.CC

Tuesday, 6 June 2017

Pisang Berbuah Ribuan Biji Setandan. Kaji Untuk Komersialkan?


JAKARTA – Penduduk Desa Selo, Kecamatan Tawangharjo, Kabupaten Grobogan, Jawa Tengah dekat sini heboh memperkatakan sepohon pisang yang berbuah agak unik, lapor media tempatan.

Pokok pisang di halaman rumah milik seorang penduduk dikenali sebagai Ibnu Hisyam, 65, itu menjadi tumpuan ramai kerana buah yang dihasilkan mencapai ribuan biji dan tumbuh subur pula tidak sebagaimana kelaziman.
Tandan pisang itu bahkan terus tumbuh menjuntai ke bawah sehingga bahagian hujung bunga atau jantungnya dapat menyentuh permukaan tanah dengan panjang mencecah kira-kira 190 sentimeter atau hampir dua meter.
Keanehan pohon pisang ini menarik perhatian penduduk apabila mereka berduyun-duyun datang untuk ingin menyaksikan sendiri dengan mata kepala mereka berhubung situasi pelik keadaan buah tumbuhan berkenaan.
Lebih unik lagi, lokasi pohon pisang ini tidak jauh dari tanah makam seorang tokoh ulama terkenal dikenali sebagai Ki Ageng Selo atau Syech Abdurrahman yang menyebarkan agama Islam di Jawa dan berketurunan Raja Majapahit.
Menurut cerita mitos tempatan, kesaktian pendakwah itu malah dapat menakluk petir. Kini ramai pelawat mula berkunjung ke rumah petani itu untuk memegang atau berswafoto dengan pohon pisang berbuah ribuan itu.
“Saya penasaran dan ingin memastikan. Ternyata benar. Memang sangat unik. Baru kali ini saya melihat pohon pisang seperti ini,” kata Sukamto, seorang penduduk dari Perumahan Ayodya Purwodadi kepada akhbar Kompas.

Sepohon Pisang Tumbuh Berbuah Setandan

Dalam pada itu Hisyam menjelaskan bahawa pohon pisangnya yang kini menjadi tumpuan ramai itu hanya ditanam secara vegetatif iaitu dibiarkan begitu sahaja. Tunas muda sebelumnya diperoleh daripada jiran di kampungnya.

“Saya minta tunas dari seorang teman, kerana ingin tandur pisang. Ehh tak tahunya malah seperti ini,” tutur datuk kepada tiga belas orang cucu ini. Pohon tersebut sebenarnya merupakan variasi daripada spesies pisang hijau.
Hisyam sendiri pun tidak menyangka bakal muncul keunikan di luar jangkaan kerana pohon yang berumur enam bulan ini tumbuh sempurna namun beberapa hari lalu tandannya beransur memanjang sebelum berbuah lebat.
“Awalnya biasa saja tak ada janggal. Tapi dalam masa empat hari, buahnya jadi banyak. Ada ribuan kalau dihitung. Pohon ini tumbuh subur bahkan buahnya sudah matang saya cicipi. Rasanya sangat manis,” ungkap Hisyam.
Atas fenomena ini, beliau pun mempelawa pakar pertanian tempatan untuk melakukan penyelidikan bagi mengkaji pohon pisang miliknya itu sambil berharap ia kemudian dapat memberi manfaat baik bagi masyarakat sekitar.
“Di samping pohon itu sudah tumbuh anaknya. Saya harap ada ilmuwan yang datang untuk mengungkap fenomena buah pisang ini. Siapa tahu berguna bagi dunia pertanian?,” pungkas Hisyam. 
Lapor Agensi.
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Perlu dibuat kajian, supaya pisang seperti itu boleh dihasilkan berterusan, dan  diperbaiki mutu buahnya, supaya jadi bahan kemersial bagi pengeksportan negara.