Friday 9 April 2010

Bank Islam Tawar Khidmat 'Ceti' Syariah


Zukri Samat menyaksikan pertukaran dokumen antara Wan Ismail Wan Yusoh (kiri) dan Aziz Nawi selepas majlis MoU antara Bank Islam dan FCSB di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 8 April - Bank Islam (M) Bhd. (Bank Islam) akan menawarkan pemberian pinjaman ala ceti atau 'ah long' tetapi berlandaskan syariah berikutan pembelian 80 peratus dalam Farihan Corporation Sdn. Bhd. (Farihan).

Menurut Bank Islam, pinjaman itu ditawarkan melalui Farihan yang bergiat dalam operasi penawaran pembiayaan secara pajakan gadai atau Ar-Rahn.

Kemudahan itu membolehkan usahawan kecil mendapat kemudahan tunai dengan segera secara halal dan lebih berperikemanusiaan berbanding ceti atau Ah Long.

Farihan adalah pengasas konsep pajakan gadai berlandaskan Syariah pertama di Malaysia, yang berpusat di Pasir Puteh, Kelantan.

Pengarah Urusan Bank Islam, Datuk Seri Zukri Samat berkata, pemilikan saham itu membabitkan pelaburan sebanyak RM2.4 juta melalui langganan saham sedia ada, sekali gus menjadikan FCSB sebagai anak syarikatnya.

Beliau berkata, pembelian itu dijangka selesai dalam tempoh terdekat dengan perkhidmatan Ar-Rahn akan dikenali sebagai Ar-Rahn Bank Islam.

Katanya, pembelian itu memberi peluang Bank Islam meneroka peluang perniagaan besar dalam pajakan gadai yang kini menjadi pilihan di kalangan usahawan kecil.

Katanya, perkhidmatan pajakan gadai itu telah diperkenalkan oleh YaPeim pada 1993 dengan lebih 4.3 juta penduduk di Malaysia telah mendapat manfaat daripada skim Ar-Rahn yang mana jumlah pinjaman terkumpul mencecah RM5.4 bilion.

Zukri yakin perkhidmatan terbaru itu mampu berkembang antara 20 hingga 30 peratus dalam tempoh lima tahun lagi dengan kaedah pemasaran dan promosi yang betul.

Beliau berkata demikian pada majlis memeterai perjanjian persefahaman antara Farihan dan Bank Islam di sini hari ini.

Majlis menandatangani perjanjian antara kedua-dua pihak itu diwakili oleh Pengurus Besar Hubungan Strategik Bank Islam, Datuk Wan Ismail Wan Yusoh dan Pengarah FCSB, Aziz Nawi.

Ketika menjelas lebih lanjut, Zukri berkata, di bawah konsep Ar-Rahn, Bank Islam tidak akan mengenakan sebarang kadar faedah terhadap gadaian yang dibuat, hanya upah simpan pada kadar yang nominal.

Pelanggan akan ditawarkan 60 peratus daripada nilai emas serta tempoh simpanan yang fleksibel antara enam hingga sembilan bulan.

Jika pelanggan gagal membuat pembayaran semula pinjaman, emas yang disimpan akan dilelong dan jika ada lebihan, wang itu akan dikembalikan semula kepada pemiliknya.

Mengulas tentang pemilihan Farihan sebagai pelaburan Bank Islam, Zukri berkata, syarikat itu menunjukkan keupayaan yang menggalakkan kerana mampu mencatatkan perolehan sebanyak RM6 juta setahun serta hutang tertunggaknya sifar, hanya melalui operasi tunggal.

Katanya pakatan antara Bank Islam dengan Farihan dijangka mampu meningkatkan perolehannya dua kali ganda kepada RM12 juta pada tahun pertama.

Zukri berkata, Bank Islam juga akan menyediakan pinjaman kepada Farihan untuk meluaskan cawangan kepada lima buah pada tahun ini di Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah dan Perlis dengan pelaburan sebanyak RM25 juta.

''Kita menjangkakan dua buah cawangan lagi akan dibuka dalam pada separuh pertama tahun ini,'' kata beliau.

No comments:

Post a Comment