Sunday 18 April 2010

Ubah Wang Judi Haram RM1.86 Bilion


LAS VEGAS - Seorang lelaki Australia, Daniel Tzvetkoff (gambar) diberkas pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) di sini kelmarin kerana dipercayai melakukan penipuan hasil perjudian sebanyak AS$584 juta (RM1.864 bilion).

Tzvetkoff, 27, yang mula terkenal dua tahun lalu kerana mengasaskan Intabill, sebuah syarikat perniagaan secara Internet, telah dihadapkan ke sebuah mahkamah persekutuan pada Jumaat, kata seorang peguam belanya, Mace Yampolsky.

Pejabat pendakwa raya AS berkata, suspek disyaki memulakan banyak urus niaga palsu kepada pihak bank di AS pada 2008 dengan mendakwa kononnya mewakili ramai kaki judi bagi 'membersihkan' wang pertaruhan perjudian yang diterima mereka.

Menurut kertas pendakwaan setebal 15 muka surat, Tzvetkoff melakukan konspirasi perjudian dan pemalsuan transaksi perbankan yang jika disabitkan kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga 75 tahun mengikut undang-undang AS.

Suspek dikatakan memperdaya ramai penjudi kaya menerusi sistem dikenali sebagai Rumah Pembersihan Automasi yang kononnya mampu mengurus jutaan dolar sehari wang perjudian antara AS dengan firma pesisir di British Virgin Island.

Namun, pihak pendakwa raya AS berkata, Tzvetkoff menghentikan semua urus niaga pemprosesan wang perjudian pada Mac 2009 selepas sebuah laman web pertaruhan di Nevada mengesan aktiviti penipuannya yang berjumlah AS$100 juta (RM319 juta).

Kes itu yang dipantau Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) menunjukkan, Tzvetkoff pernah menggaji 120 orang petugas dan disenaraikan antara manusia terkaya oleh akhbar Britain pada 2008 dengan aset AS$82 juta (RM262 juta). - Agensi

No comments:

Post a Comment