Jobs ikon teknologi era baru
Seorang wanita menunjukkan buah epal tertera nama pengasas bersama dan
bekas CEO Apple Inc Steve Jobs, yang meninggal dunia kelmarin, pada
majlis menghormati mendiang di San Francisco. — Foto Reuter

PADA 5 Oktober menjadi tarikh kepada kelahiran sebuah lagi gajet
terbaru kebanggaan Apple apabila telefon pintar iPhone 4S dilancarkan di
ibu pejabat firma Apple, Amerika Syarikat (AS).
Namun, ironinya tarikh itu akan diingati bukan sahaja oleh warga
Apple bahkan seantereo dunia, apabila ia adalah hari terakhir buat
pengasas syarikat gergasi itu Steve Jobs. Lelaki berusia 56 tahun itu
yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apple, menghembus nafas
terakhir ekoran sakit kanser pankreas yang dihadapinya. Jobs yang
menghembuskan nafas terakhir di samping keluarga tercinta mengalami
masalah kesihatan yang semakin merosot sejak bulan Februari tahun ini.
Dia bukan saja mengalami keguguran rambut yang melampau kesan
daripada rawatan kemoterapi malah, berat badannya dikatakan merosot dari
79.37 kilogram (kg) kepada 59kg. Sebelum ini, Jobs juga pernah
menjalani pembedahan hati pada dua tahun lalu selain membuang tumor pada
tahun 2003.
“Dunia telah kehilangan insan yang sarat dengan visi dan kreativiti,”
luah Presiden AS, Barack Obama dalam kenyataan penghormatan buat
mendiang Jobs.
RANGKAIAN kedai Apple Inc. di
seluruh dunia dipenuhi foto dan jambangan bunga daripada orang ramai
sebagai tanda penghormatan kepada mendiang Jobs.
I
mpian menjadi sami
Jobs yang dilahirkan di San Francisco, AS, merupakan anak kepada
pasangan Joanne Simpson dan Abdulfattah John Jandali berketurunan Arab
Syria. Bagaimanapun dia tidak membesar bersama ibu bapa kandungnya,
sebaliknya dibesarkan oleh keluarga angkat, Paul dan Clara Jobs di
Silicon Valley, AS. Ia sebuah kawasan yang dikelilingi ladang aprikot.
Pencinta seluar jean jenama Levi’s itu pernah menuntut di Sekolah
Menengah Cupertino di California, AS dan bersekolah di Sekolah Tinggi
Homestead H.S di bandar yang sama. Kemudian, Jobs melanjutkan pengajian
di Reed College, Portland, Oregon. Namun, tempoh pengajiannya di kolej seni liberal berkenaan bertahan
selama satu semester sahaja kerana Jobs mengambil keputusan mengembara
ke India bagi mendalami ilmu agama Zen Buddhism bersama rakannya, Daniel
Kottke.
Pada waktu itu, usia Jobs baru saja mencecah 19 tahun. Dalam
memastikan proses kerohanian itu berjalan dengan sempurna, Jobs sanggup
mengikuti amalan ritual keagamaan tersebut seperti mempraktikkan diet
ketat dengan berpuasa dan menikmati makan buah saja.
“Secara tidak langsung, minat mendalam terhadap agama ini telah
mendorong saya untuk menjadi sami di biara Jepun berbanding melibatkan
diri dalam dunia komputer.
“Tetapi, guru saya, Kobun Chino telah menyedarkan saya bahawa anutan
ini masih boleh diteruskan walaupun pada masa yang sama saya
mengusahakan bisnes komputer,” jelas Jobs yang kembali ke Silicon Valley
pada tahun 1974 dengan membawa agama Buddha.
Penglibatan dunia komputer
JOBS (kiri) dan Wozniak (kanan) sewaktu memperkenalkan salah satu produk ciptaan mereka pada tahun 1984.
Menyusuri penglibatan Jobs dalam dunia komputer dan gajet,
segala-galanya berpunca selepas perkenalannya bersama Stephen Wozniak
atau Woz yang pintar dalam hal berkaitan komputer dan elektronik. Persahabatan yang terjalin itu telah membawa Jobs menyertai Kelab
Homebrew Computer pada tahun 1975 bersama Woz. Sepanjang melibatkan diri
dalam kelab berkenaan, Jobs mendapati industri komputer mempunyai
potensi terbaik untuk jangka masa panjang.
Hasil perbincangan yang
dilakukan maka mereka berdua sepakat melancarkan syarikat Apple Inc.
pada 1 April 1976.
“Nama Apple cukup ringkas dan simbolik. Ia sentiasa mengingatkan saya
pada memori memetik buah epal pada musim panas,” jelas Jobs yang
memperoleh modal perniagaan sebanyak AS$1,300 (RM3,963) iaitu hasil
daripada menjual microbus iaitu salah satu komponen komputer, manakala
Woz menjual kalkulator.
Walaupun berpejabat di dalam sebuah garaj dan fasa permulaan hanya
menjual papan sirkit iaitu papan memegang salah satu komponen dalaman
komputer, tetapi bisnes mereka berkembang baik selepas menjual komputer
pertama Apple I yang bernilai AS$666 (RM2,026).
Kemudian, diikuti pula dengan komputer Apple II dan rangkaian produk
yang lain sehingga Apple Inc., mula menjual saham syarikat sekitar
Disember tahun 1980. Namun, jodoh Jobs bersama Apple Inc. tidak bertahan
lama.
JOBS (kanan) bersama Stephen Wozniak membuka syarikat Apple Inc. pada 1 April 1976.
Gara-gara tidak berpuas hati dengan lembaga pengarah, akhirnya dia
mengambil keputusan meninggalkan Apple Inc., lantas membuka syarikat
sendiri, NeXT pada tahun 1986.
“Firma NeXT lebih fokus pada pembangunan perisian untuk komputer.
Kami turut memainkan peranan utama pada pembentukan e-mel dan jaringan
sejagat (WWW),” ulas Jobs yang kemudian dilantik semula menjadi Ketua
Pegawai Eksekutif (CEO) Apple Inc., selepas syarikat tersebut membeli
NeXT yang hanya beroperasi selama sedekad.
Sebahagian besar pakar IT dan penganalisis ekonomi di serata negara
menyifatkan jenama Apple Inc., terus kukuh sehingga kini meskipun hampir
bankrap pada tahun 1990, disebabkan kebijaksanaan dan etika kerja yang
dipamerkan Jobs. Perkara itu diakui oleh pakar teknologi komunikasi maklumat (ICT)
dan Ketua Pegawai Eksekutif Dapat Vista Sdn. Bhd., Azli Paat, yang
menyatakan bapa kepada empat cahaya mata itu seorang yang berdisiplin,
kreatif dan berwawasan tinggi. Jelas Azli, Jobs bijak mencipta telefon pintar iPhone dan komputer
tablet iPad, yang ideal dengan perkembangan teknologi serta trend
semasa.
Fenomena iPhone
 |
JOBS merupakan tonggak utama kejayaan Apple Inc. dengan menghasilkan telefon pintar dan gajet berteknologi canggih.
|
Buktinya, kemunculan telefon pintar iPhone pada empat tahun lalu
telah mencipta fenomena luar biasa di seluruh dunia. Bermula daripada
pengeluaran iPhone, iPhone 3G, iPhone 3GS sehingga iPhone 4, permintaan
dan pembelian terhadap telefon itu amat menggalakkan sehingga mengatasi
jualan produk telefon lain.
“Walaupun bukan mudah untuk mencipta telefon pintar ini tetapi, Apple
sentiasa berusaha melakukan yang terbaik. Prinsip utama sebelum
mencipta produk saya elak bertanyakan kehendak pengguna sebaliknya,
lebih cenderung menghasilkan sesuatu bermanfaat untuk masa depan,”
terang Jobs dalam satu temu bual.
Populariti penjualan iPhone dan iPad sekali gus menyenaraikan Apple
Inc., sebagai syarikat kedua di dunia yang mencecah nilai melebihi
AS$300 bilion (RM912 bilion)
.
Malah, penganalisis Goldman Sachs, David Bailey, memberitahu setiap
tahun penjualan iPhone khususnya memperlihatkan peningkatan yang
drastik.Biarpun telah meletakkan jawatan CEO Apple, pada bulan Ogos lalu
tetapi, Jobs masih kekal sebagai pengerusi di syarikat berkenaan.
Ini disebabkan khidmat nasihat dan idea kreatif Jobs tetap diperlukan
bagi memastikan keluaran produk terbaharu Apple, berkualiti dan
terbaik. Namun, kelmarin bukan sahaja Apple malah, seluruh dunia merasai
kehilangan seorang genius yang juga dianggap ikon teknologi era baru. (IH/Kosmo)