SECARA formalnya, Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang
diperkenalkan pada 1970 sudah tiada selepas tahun 1990, ketika itu Tun
Mahathir menjadi Perdana Menteri. Ia digantikan dengan Dasar Pembangunan
Nasional (DPN) dan kemudian, Najib menukarnya sekali lagi setelah BN
hilang majoriti dua pertiga di Parlimen pada PRU ke-12, menjadi Model
Ekonomi Baru (MEB) pada tahun 2010. Malah d izaman Najib juga, MEB
disertai dengan Program Transformasi Ekonomi
atau Economic Transformation Programe (ETP).
Intipati kepada ketiga-tiga dasar ini tetap sama sungguhpun namanya berbeza.
Saya
pernah bertanyakan perkara ini dengan rakan-rakan dari kaum Cina.
Adakah beliau merasa tidak selesa dengan DEB atau DPN atau MED. Jawabnya
secara umum, tidak. Mereka sama sekali tidak merasa risau atau bimbang
atau terganggu dengan agenda DEB, DPN atau MEB kerana beliau mengakui
bahawa dasar tersebut punya sebab yang boleh diterima.
Realiti bahawa
majoriti penduduk Malaysia, lebih dari enam puluh peratus adalah kaum
Bumiputera (lebih lima puluh peratus adalah Melayu) dan kaum majoriti
inilah yang paling diancam kemiskinan. Justeru katanya, kaum Cina atau
India juga, tidak pun merasa cemburu atau merasa terancam, malah mereka
boleh memahami dan menerimanya.
Namun, jelasnya lagi
bukan niat atau objektif dasar-dasar ini yang dipertikaikan, tetapi
bagaimana dasar ini dilaksana. Inilah juga yang disepakati oleh ramai
rakan-rakan Melayu yang lain.
Rekod lampau
Ratusan billion ringgit telah dibelanjakan sejak Rancangan Malaysia kedua (1970-an) untuk melaksanakan semua dasar-dasar kerajaan ini. Namun,
bukan sahaja objektifnya gagal dicapai malah jika ‘Melayu masih ingat’,
ada direkodkan berlakunya pelbagai skandal penyelewengan dalam
kerajaan, sejak dari zaman penswastaan Tun Mahathir ( kes MAS
membabitkan Tan Sri Tajudin Ramli dan krisis ekonomi 1997), zaman Tun
Abdullah Ahmad Badawi (Laporan Ketua Audit Negara seperti kerugian yang
ditanggung kerajaan akibat kelemahan mengurus dalam projek keretapi
berkembar Ipoh-Rawang) hinggalah ke zaman Najib (kes pembelian kapal
selam, peralatan tentera dan kes NFC).
Jika ‘Melayu masih ingat’ pada tahun 2011, Global Financial Integrity melaporkan, sekitar RM888
bilion ringgit wang haram mengalir keluar negara dari tahun 2000 hingga
2008. Ini belum termasuk laporan Ketua Audit Negara tentang pelbagai
lagi ketirisan akibat kecuaian pihak kerajaan, baik di peringkat
kementerian, jabatan dan agensi-agensi kerajaan dalam pelbagai projek yang lain. Ini pun jika ‘Melayu masih ingat’.
Siri pendedahan dalam laporan Ketua Audit Negara setiap tahun masih gagal membuahkan tindakan
drastik oleh kerajaan dalam menangani rasuah dan ketirisan dalam
pengurusan kerajaan. Juga, tidak ada banyak tindakan konkrit yang
diambil oleh pihak berkuasa, sebaliknya masih banyak kes dan pendakwaan
yang berkaitan rasuah masih tertangguh.
Peruntukan untuk
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus meningkat dalam
bajet setiap tahun, tetapi indeks persepsi rasuah oleh CPI Transparency
International (TI), telah meletakan Malaysia ditangga ke 60 pada 2011
yang mendapat peruntukan sebanyak RM 203 juta berbanding RM 29 juta pada
tahun 1996 ditangga ke 26. Semuanya senario ini bermula dengan dasar
perlaksanaanya.
Apa jaminannya?
Ini memberi indikasi
bahawa apa jua dasar dengan apa pun namanya, apa jua slogan yang
indah-indah untuk apa jua tujuannya, tidak dapat menjamin tahap
integriti dan akauntabiliti yang tinggi dalam aspek pengurusan dan
perlaksanaannya. Transformasi dalam agenda sahaja tidak memadai
sebaliknya Malaysia memerlukan reformasi sistem.
Dan kelmarin, PM Najib telah mengumumkan langkah untuk memperkasa ekonomi Bumiputera dalam bentuk dana dan latihan yang akan disalur dan digerakan menerusi pelbagai
agensi seperti TEKUN, IKBN, JPA, MARA, UiTM, Yayasan Wakaf Malaysia dan
banyak lagi, yang menelan belanja ratusan juta ringgit.
Agenda Memperkasa
Ekonomi Bumiputera ini dilaksana dalam suasana budaya rasuah, sikap cuai
dan kronisme yang masih berleluasa, khususnya bagi mereka yang
berkepentingan.
Ingin
kita tegaskan lagi, apa pun dasar dan matlamatnya, rakyat tidak
menolaknya secara membuta tuli. Persoalannya mudah, apakah ada jaminan
dari PM bahawa kesemua dana yang
akan disalurkan ini akan selamat sampai ke kelompok sasaran tanpa
berulangnya lagi hal ketirisan dan rasuah? Dan, adakah jaminan bahawa
mereka yang disasarkan untuk mendapat latihan tambahan itu benar-benar
dari golongan yang memerlukan?
Jika melihat dari
reputasi kerajaan BN selama ini, pastinya kita merasa bimbang dan ragu.
Lihat saja institusi seperti UiTM, dahulunya ditubuhkan fokus untuk
membantu Bumiputera luar bandar yang miskin, tetapi kini praktiknya
seakan telah berubah.
Maka, jalan paling
berkesan untuk ‘memperkasa’ ekonomi Bumiputera adalah dengan
‘memperkasa’ aspek ketelusan (transparency), undang-undang dan integriti
demi memastikan budaya rasuah dan ketirisan dapat diperangi habis-habisan.
Masalah ketirisan dan
rasuah bukan sekadar mengurus persepsi dengan slogan atau kata-kata
indah tetapi ia perlu dilaksana dan dikuatkuasa dengan segera. Tidak
sukar, hanya memerlukan keberanian dan kesungguhan.
Apa guna pasang pelita, Jika tidak dengan sumbunya;
Apa guna bermain kata, Kalau tidak dengan sungguhnya.
Mahdzir Ibrahim ialah Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat, Pemuda Sosialis DAP (Dapsy), juga seorang peminat seni dan budaya. (Hrkh)