Friday 20 September 2013

Pemerkasaan ekonomi: Bayar royalti Kelantan


 
 
KOTA BHARU: Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang mendakwa slogan kerajaan untuk membantu masyarakat bumiputera hanya diibarat umpan untuk Perhimpunan Agung Umno yang bakal diadakan nanti.
 Setiausaha Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas Ke Kelantan (Royalti), Muhammad Hisyamuddin Ghazali, berkata ianya juga slogan untuk menyedapkan hati kontraktor Kelas F semata-mata dengan mengaitkan golongan bumiputera untuk dibantu.

Menurutnya, kenyataan perdana menteri seolah-olah menyangkal masyarakat Kelantan mempunyai 95 peratus masyarakat Melayu dari 1.7 juta rakyatnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri kelmarin yang mendakwa kerajaan mengangkat agenda bumiputera sebagai Agenda Nasional ditempatkan di tempat yang lebih tinggi.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera, di Shah Alam baru-baru ini.

Sambungnya, dengan menyelesaikan masalah ekonomi seperti tidak menafikan hak penerimaan royalti, bantuan pembinaan RAKR dan lain-lain lagi, ianya secara tidak langsung dapat menyelesaikan masalah ekonomi bumiputera secara keseluruhannya.

Kata Hisyamuddin lagi, sekiranya perdana menteri ikhlas dalam isu itu, Kelantan sepatutnya dibayar royalti lima peratus mengikut perjanjian seperti yang diterima Terengganu, Sarawak dan Sabah yang kini tertunggak RM12 billion.

Pada masa yang sama, beliau turut mempertikaikan pendaratan Gas Kelantan di North Malay Basin yang kini diperolehi sebanyak 1.7 trillion kaki padu sepatutnya didaratkan ke Bachok  sebagaimana titah Sultan Kelantan.
“Bagaimanapun ianya telah didaratkan di Parlimen beliau iaitu Pekan. Ini jelas menunjukkan slogan perdana menteri hanya untuk menghadapi pemilihan dalam Perhimpunan Agung Umno,”ujarnya.

Katanya, begitu juga berhubung pembinaan Lebuhraya Persekutuan antara negeri patut dibina di Kelantan, kerana negeri itu satu-satunya negeri di Semenanjung yang masih dinafikan pembinaan lebuhraya.
“Status jalan sekarang kelas F (tidak selamat) sejak 1986 membahayakan pengguna dan sentiasa menjadi ‘jalan maut’ setiap kali tiba musim perayaan,” ujarnya.

Sambungnya, begitu juga dengan infrastruktur dan utiliti air di negeri ini yang dinafikan geran pembangunan air seperti menjadikan Kelantan ketinggalan dari segi mutu kualiti air mentah untuk kegunaan rakyat.

Selain itu, beliau turut menyentuh tentang  Lapangan Terbang Berstatus Antarabangsa di Kelantan, kemudahan  pelabuhan air yang merupakan  katalis penting dalam pembangunan ekonomi negara yang perlu diselesaikan oleh kerajaan Malaysia di negeri itu.

Begitu juga katanya, berhubung Tebatan Banjir di Sungai Golok dinafikan, sedangkan sejak 1990 an lagi disebut akan dibina tebatan banjir untuk mengatasi banjir di Sempadan Malaysia (Kelantan) - Thailand.
“Jika tebatan banjir ini dilaksanakan, Kelantan akan menikmati impak sosio-ekonomi negeri-negeri di Sempadan seperti di Perlis-Thailand, Johor-Singgapura.

“Apa gunanya sambut Hari Malaysia dan untuk membantu Bumiputera sebagai Agenda National sekiranya masih menafikan hak bumiputera di Kelantan,” ujarnya. (Hrkh)

No comments:

Post a Comment