Written by chedet
1. UMNO telah mengadakan majlis penerangan tertutup yang dihadiri
oleh sebahagian dari Ketua-Ketua Bahagian pada 8 Mac. Keputusan majlis
mengikut akhbar ialah menyokong penuh Presiden parti.
2. Tidak diketahui tentang penjelasan oleh Presiden berkenaan
kontroversi 1MDB, yang sedang dibincang dengan meluas oleh rakyat.
Bahawa perkara ini dibawa oleh parti lawan, justeru itu ia adalah fitnah
belaka tidak mencukupi untuk rakyat menolak tuduhan-tuduhan berkenaan
1MDB.
3. Rakyat masih tidak puas hati berkenaan 1MDB. Mereka bincang perkara
ini dimana sahaja. Jika mereka tidak puas hati dan tidak sokong Barisan
Nasional (BN) dalam PRU akan datang, BN mungkin kalah. Dan jika BN
ditolak, sokongan kepada Presiden oleh pemimpin bahagian UMNO tidak lagi
bermakna.
4. 1MDB bukan buat hutang biasa seperti Kerajaan yang biasanya
berjumlah hanya ratusan juta sahaja. 1MDB telah hutang berbillion
Ringgit. Walaupun 1MDB bukan Kerajaan tetapi ia adalah badan yang
ditubuh dan dimiliki oleh Kerajaan sepenuhnya dengan modal sebanyak 1
juta Ringgit. Ada juga jaminan oleh Kerajaan terhadap beberapa hutang
1MDB. Oleh itu Kerajaan tidak boleh dakwa bahawa ini masalah syarikat
dan bukan masalah Kerajaan.
5. Kerajaan sudah melantik Auditor General untuk memeriksa akaun
1MDB. Tetapi ini tidak akan menjawab banyak soalan yang telah
dikemukakan dan dibincang oleh rakyat.
6. Dakwaan-dakwaan yang telah dibuat terhadap 1MDB bukan berbentuk
tuduhan melulu. Ia disertai dengan fakta yang jelas, iaitu jumlah
hutang, siapa yang mengurus, siapa yang menerima wang berbillion
Ringgit, pelaburan yang dibuat, dimana wang ini disimpan, dalam bentuk
apa.
7. Nama Jho Low disebut berkali-kali. Demikian juga nama-nama
syarikat miliknya. Tuduhan dibuat berkenaan dengan pembelian rumah mewah
olehnya di London, New York dan Holywood. Lepas itu rumah dijual kepada
anak tiri Perdana Menteri dengan harga ratusan juta Ringgit. Sudah
tentu ini tidak disebut dalam akaun 1MDB yang akan diperiksa oleh AG.
8. Pada mulanya duit Riza Aziz dikatakan warisan harta kekayaan dari
keluarga Tun Razak. Kemudian dakwaan ini dinafi. Soalannya jika tidak
dari keluarga Tun Razak dari mana datang wang yang banyak ini. Apakah
ianya hasil dari perniagaan? Jika ya, apa perniagaan, dimana? Sudahkah
cukai pendapatan dibayar? Kepada Kerajaan mana?
9. Pelaburan ratusan juta untuk filem “The Wolf of Wall Street” oleh
Riza Aziz, anak tiri Dato Sri Najib datang dari mana? Filem ini tidak
memberi keuntungan. Tidak mungkin filem ini membiayai rumah mewah yang
dibeli dengan ratusan juta Ringgit atau Dolar Amerika.
10. Semua perkara-perkara ini tidak akan terdapat dalam akaun 1MDB.
Tetapi rakyat ingin tahu kerana melibatkan Jho Low. Dan Jho Low
disebut-sebut berkenaan dengan pengurusan 700 juta USD dari 1MDB.
11. Ada yang disebut berkenaan Petro Saudi yang juga menerima bayaran
ratusan juta dolar dari 1MDB Benarkah Petro Saudi ini mendapat konsesi
kawasan minyak dan gas di Argentina, di Turkmenistan dll. Apa buktinya?
Benarkah JV dibuat dengan Petro Saudi sebelum ‘due diligence’ dibuat.
Katanya sementara 1MDB melabur USD1 billion dalam JV dengan Petro Saudi,
tetapi Petro Saudi tidak melabur satu sen pun. Apa jadi kepada wang
IMDB dalam JV tidak jelas.
12. Apa sebabnya lebih dari 6 billion Ringgit (Dollar) disimpan di
Cayman Island? Kerajaan tidak pernah simpan duit di lain negara selain
pembelian bond. Apakah bond dibeli? Apa hasilnya?
13. Katanya wang sebanyak USD1 billion sudah dibawa balik dari Cayman
dan disimpan dalam bank Singapura. Kononnya Bank Negara menjadi masalah
kerana proses menyimpan wang yang banyak mesti melalui proses yang
rumit. Bolehkan Bank Negara jelas kenapa menimbul masalah sedangkan 1MDB
adalah syarikat Kerajaan yang dikuasai oleh Kementerian Kewangan. Jika
mudah di Singapura kenapa susah sangat di Malaysia?
14. Urusan Kerajaan pernah dirahsia. Tetapi soal bayar balik hutang
adalah public knowledge (dalam pengetahuan orang ramai). Orang ramai
ingin tahu benarkah Ananda Krishnan memberi pinjam RM 2 billion untuk
bayar faedah ini. Apakah faedah yang dikenakan oleh Ananda? Apa cara
bayaran balik hutang Ananda? 1MDB dikatakan untung. Kenapa tidak dapat
bayar faedah 2 billion Ringgit.
15. Juga diketahui umum ialah permohonan hutang sebanyak 3 billion
dari Kerajaan baru-baru ini. Apakah Kabinet melulus pinjaman yang begitu
besar ini? Apakah syarat yang dikenakan? Bagaimanakah hutang ini akan
dibayar balik oleh 1MDB
16. Tanah Kerajaan di Jalan Tun Razak dan Lapangan Terbang Sungai
Besi telah dibeli oleh 1MDB. Apakah harga yang dibayar? Apakah tanah ini
yang dikatakan asset 1MDB? Bagaimanakah dinilai harga tanah ini?
Kerajaan berhak mendapat pulangan yang setimpal apabila tanah ini dijual
kepada sesiapa pun. Berapakah harga satu kaki persegi. Tanah berdekatan
dijual dengan harga RM7000/- satu kaki persegi. 1MDB juga membeli tanah
di Pulau Pinang. Apa harganya. Apa jenis pembangunan yang dicadangkan.
Sudah dimulakah?
17. Jika tanah-tanah ini menjadi aset 1MDB, apakah nilai tinggi aset
ini disebabkan kenaikan (revaluation) dari harga belian yang murah dan
harga pasaran yang tinggi.
18. 1MDB meminjam lebih dari 10 billion Ringgit untuk beli beberapa
stesyen janakuasa. Harga yang dibayar dikatakan lebih tinggi dari harga
pasaran. Lesen stesyen-stesyen ini akan mati tidak lama lagi. Kenapa
tidak tunggu hingga lesen mati sebelum membeli. Harga selepas mati lesen
tentu amat rendah. Membeli dengan harga tinggi sebelum lesen mati amat
merugikan.
19. Wang untuk membeli stesyen janakuasa dipinjam. Laporan menunjuk
komisyen sebanyak lebih dari 10% dibayar kepada Goldman Sachs untuk
mengurus penjualan bond.
20. Jika komisyen 10%, 1MDB akan dapat hanya 90% dari jumlah yang
dihutang. Tetapi faedah perlu dibayar keatas 100% jumlah hutang. Ini
menghairankan!
21. Biasanya hutang yang dijamin oleh Kerajaan dikenakan faedah 3%.
Hutang yang diurus oleh Goldman Sachs dikenakan faedah sebanyak 5.9%.
22. Jumlah hutang sudah meningkat kepada 42 billion Ringgit. Faedah
keatas jumlah ini, jika hanya 5% pun akan berjumlah 2.6 billion Ringgit
setahun. Ini adalah satu jumlah yang amat besar.
23. Sebaliknya jumlah keuntungan dari pelaburan dalam stesyen
janakuasa tidak akan mencukupi untuk membayar faedah ini. Demikian juga
pelaburan untuk beli tanah di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang tidak akan
beri apa-apa pulangan sebelum di bangun atau dijual.
24. Sesungguhnya 1MDB menimbul banyak soalan tentang pengurusan dan
kegunaannya. Dan jumlahnya juga amat besar. Rakyat berhak merasa curiga
akan cara dan kegunaan wang mereka yang banyak ini.
25. Ulasan bahawa semua tuduhan adalah fitnah tidak mencukupi. Mereka
yang mendakwa bahawa ada penyelewengan dalam pengurusan 1MDB berani
membuat kenyataan terhadap Kerajaan dan individu-individu tertentu
walaupun terdedah kepada tindakan saman malu. Tetapi mereka mendakwa
mereka memiliki bukti-bukti yang jelas seperti e-mail, surat perjanjian
dan bukti-bukti lain. Tarikh dan nama-nama diberi tanpa bersembunyi.
Pembohongankah tuduhan mereka!!
26. Sehingga kini Kerajaan tidak menjawab secara yang masuk akal.
Umpamanya 1MDB tidak punyai masalah kerana asetnya lebih dari hutang.
Tetapi hanya untuk bayar faedah 2 billion, tidak ada wang sehingga tidak
dapat tutup akaun ikut jadual. Kemungkinan terpaksa hutang untuk bayar
faedah.
27. Sejak Arul Kanda Kandasamy mengambil jawatan CEO, banyaklah
kenyataannya yang tidak munasabah yang dibuat. Kononnya wang di Cayman
sudah dibawa balik. Kemudian wang ini tidak boleh bawa balik. Kemudian
sudah dibawa balik tetapi disimpan di Singapura.
28. Yang diperlukan bukan audit biasa buku akaun. Yang diperlukan
ialah siasatan forensik oleh polis akan tuduhan yang dbuat terhadap
beberapa orang yang terlibat dengan pengurusan wang 1MDB.
29. Jika ini tidak dibuat dan dibuat secepat mungkin, sokongan rakyat
yang sudah pun merosot dalam PRU 2008, 2013 akan merosot lagi. Besar
kemungkinan BN akan kalah pada 2018, walaupun ketua-ketua UMNO sokong
dan terima dengan puas hati penerangan yang dibuat. Ingatlah undi orang
UMNO sahaja tidak cukup untuk menang pilihanraya.