Tuesday 7 June 2016

56 syarikat disenarai hitam.

JSJK Bukit Aman berjaya menumpaskan sindiket penipuan pelaburan forex serta merampas wang tunai RM2.7 juta pada 1 Disember tahun lalu di Selangor.
KUALA LUMPUR – Sebanyak 56 syarikat pelaburan ha­ram telah disenarai hitam Bank Negara Malaysia (BNM) selepas didapati mengaut keuntungan lebih puluhan bilion ringgit daripada ke­giatan itu sejak empat tahun lalu.
Namun, ada sebahagian daripada syarikat berkenaan dikatakan masih aktif menjalankan kegiatan pelaburan termasuk dengan menukar nama syarikat bagi me­ngaburi mata pihak berkuasa.
Antara jenis pelaburan yang se­ring digunakan bagi memperdaya rakyat negara ini adalah pelaburan berbentuk emas, simpanan dana, pertukaran mata wang asing dan harga komoditi.
Timbalan Pengarah Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Roslan Abd. Wahid berkata, senarai itu dikeluarkan berdasarkan laporan yang dibuat oleh mangsa yang juga pelabur kepada BNM selepas gagal mempe­roleh pulangan yang dijanjikan syarikat ber­kenaan.
Katanya, sikap tamak sebahagian pelabur yang mahu memiliki kekayaan dengan cara mudah menyebabkan mereka senang ditipu sehingga sanggup mengeluarkan wang simpanan bernilai ratusan ribu ringgit.
Bagaimanapun, Roslan menegaskan banyak lagi syarikat yang berselindung de­ngan nama pelaburan haram, namun tidak dapat disenaraihitamkan berikutan tiada mang­sa tampil membuat laporan dirinya ditipu. (Kosmo!)

No comments:

Post a Comment