Sunday 3 July 2016

Hidangan Terbaru, Lemang Periuk Kera. Jom Nikmati!

Nikmati Lemang Periuk Kera Pada Aidilfitri

JOM KREATIF

KUALA LUMPUR – Mungkin tidak ramai yang mengetahui mengenai lemang periuk kera atau pernah menikmatinya.

Sesungguhnya lemang ini tidak dimasak di dalam buluh seperti lemang biasa, tetapi pulutnya dimasukkan di dalam periuk tumbuhan maging ini atau nama saintifiknya Nepenthes Gracilis.
Menurut seorang pengusahanya, Noor Shafry Abd. Malik, 45, atau dikenali sebagai Tan Shafry, membuat lemang ini adalah lebih rumit dan memerlukan kesabaran tinggi.
“Periuk kera perlu dipilih yang segar sebelum dipetik dan dipotong pada beberapa bahagian secara berhati-hati agar permukaan kulitnya tidak terkoyak sehingga boleh menyebabkan santan dan pulut yang dimasukkan di dalamnya boleh terkeluar ketika dimasak nanti.
“Selepas dibersihkan dengan teliti, beras pulut yang telah direndam selama sejam berserta santannya dimasukkan ke dalam periuk kera dan dikukus selama 25 minit.
“Sebelum mengukus, air perlu dimasak terlebih dahulu bagi mempercepatkan proses memasak. Kulit periuk kera akan menipis apabila pulut sudah masak. Malah ia akan mengeluarkan aroma tersendiri,” katanya kepada Bernama.
Mengenai idea membuat lemang ini, beliau berkata ideanya tercetus ketika beliau bersama rakannya yang merupakan seorang doktor memasuki Hutan Simpan Bukit Ibam dan menemui tumbuhan periuk kera.
“Rakan saya itu memberitahu saya bahawa terdapat masyarakat di Sabah yang memasak nasi di dalam periuk kera. Sejak dari situlah saya mendapat ilham mahu cuba memasak pulut di dalam periuk kera.
“Ia bukan mudah, hampir 10 kali saya mencubanya sehinggalah saya berjaya menemui teknik dan resepi sesuai untuk memasak lemang periuk kera,” katanya.
Ditanya sama ada lemang yang dimasak di dalam periuk kera dijamin selamat untuk dimakan, beliau berkata: “Terdapat 138 spesis periuk kera dan tidak semua boleh digunakan untuk membuat lemang kerana ada sesetengah daripadanya beracun.
“Tetapi ia memerlukan pengetahuan untuk memilih yang tidak berbahaya.”
Mengenai bekalan periuk kera, Tan Shafry berkata beliau mendapatkannya di Hutan Simpan Bukit Ibam, Pahang.
“Saya memerlukan antara 100,000 hingga 150,000 periuk kera bagi memenuhi tempahan pelanggan. Dengan bantuan rakan-rakan, saya berupaya mengutip antara 12,000 sehingga 15,000 periuk kera sehari,” katanya.
Beliau yang telah mengkomersialkan lemang periuk kera sejak 2005 berkata lemangnya dijual pada harga RM40 sekilogram yang ditimbang bersama rendang ayam atau daging mengikut pilihan pelanggan.
Rendang ayam dan daging turut dimasak mengikut resepinya sendiri, katanya.
“Setakat ini rata-rata pelanggan memuji kelazatan rendang saya. Menurut mereka, rasa rendang saya sesuai dengan lemang periuk kera saya,” tambahnya.
Bagi yang ingin merasai lemang periuk kera beliau semasa Aidilfitri ini, beliau berkata tempahan perlu dibuat dua hari lebih awal dan orang ramai boleh datang ke rumahnya di Kampung Sri Aman, Puchong dekat sini bagi memperoleh lemang periuk kera. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment