Wednesday 14 September 2016

Industri kelapa sawit kerugian RM1.5 bilion

Kulit Ganoderma yang ditemui pada pokok kelapa sawit di Felda Ulu Belitong, Kulai, Johor.
BERDEBAT tentang turun naik ekonomi yang merupakan penentu kepada kecairan aliran kewangan negara, pastinya ada faktor simbiosis yang menjadi asas kebergantungan terhadap ukuran tersebut dan sewajarnya diambil perhatian oleh pelbagai pihak.
Menyentuh kepada asas berkenaan, industri komoditi adalah antara penyumbang utama kepada ketidaktentuan itu.
Industri komoditi turut merangkumi perladangan seperti kelapa sawit, getah dan koko.
Bagaimanapun, industri kelapa sawit kini berhadapan dengan ancaman penyakit, reput pangkal batang (RPB). Penyakit No. 1 dalam industri kelapa sawit iaitu disebabkan oleh kulat Ganoderma yang dikesan mula menular ke kawasan-kawasan ladang di Malaysia sekitar tahun 1931.
Ganoderma merupakan parasit fakultatif yang hidup secara saprofitik pada pangkal dan batang pokok mereput dengan menjadikannya sebagai sumber makanan.
Di Malaysia, kesan terhadap penularan serangan RPB berkenaan dilaporkan semakin serius. Rekod menunjukkan terdapat ladang yang disahkan dijangkiti kulat Ganoderma seawal usia dua tahun selepas ditanam.
Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Malaysia merekodkan sebanyak empat peratus atau keseluruhan keluasan berjumlah 60,000 hektar ladang dijangkiti penyakit RPB pada tahun 2014.
Ketua Kluster Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dan Kumpulan Perkhidmatan Pertanian, Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV), Syed Salim Syed Ali berkata, daripada keseluruhan peratusan itu industri kelapa sawit mengalami kerugian sehingga RM1.5 bilion.
“Industri kelapa sawit turut menjangkakan keseluruhan kawasan yang menerima kesan Ganoderma ini akan meningkat kepada 450,000 hektar pada tahun 2020 iaitu peningkatan sebanyak 7.5 kali ganda dalam tempoh berkenaan.
“Kami menjangkakan Kumpulan Felda bakal mengalami kerugian pendapatan sebanyak RM38 juta secara tahunan berikutan penyakit ini manakala, generasi tanaman pertama sawit di Felda pula adalah kira-kira RM380 juta.
“Meskipun Felda hanya terkesan sebanyak 0.56 peratus daripada empat peratus secara keseluruhan ladang yang dilaporkan dijangkiti Ganoderma, jumlah kumulatif kerugian pendapatan dalam tempoh enam tahun akan datang adalah sangat signifikan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika lawatan ke Beneficial Microbes Centre (BMC) di Pusat Inovasi FGV, Bandar Enstek, Negeri Sembilan dan Felda Bukit Besar, Kulai dan Felda Ulu Belitung, Kluang, Johor baru-baru ini.
Reput
Beberapa kajian berhubung jangkitan Ganoderma turut melaporkan bahawa, setiap kehilangan dirian pokok menyebabkan purata kehilangan 0.16 tan per hektar buah tandan segar dan 10 peratus kehilangan dirian pokok akan memberi impak terhadap ekonomi.
Menurut Syed Salim, simptom RPB akan merebak melalui akar dan memusnahkan sistem saluran air dan nutrien sehingga menyebabkan pereputan batang pokok sawit selain kehadiran jasad berbuah kulat Ganoderma di pangkal batang.
“Kita akan mendapati simptom perubahan terhadap kanopi pokok seperti pucuk baharu tidak berkembang, pelepahnya menjadi hijau pudar, kekuningan, terkulai layu, kering sehingga akhirnya menyebabkannya tumbang dan mati.
“Pokok sawit yang diserang RPB akan merekodkan pengurangan hasil melalui bilangan tandan yang berkurangan dan fizikal buah semakin mengecil serta ringan, ia sekali gus menghasilkan pengeluaran yang rendah,” ujarnya.
Justeru, menyedari bahaya Ganoderma, Felda Holdings Bhd. (Felda) yang menjadi syarikat penyumbang utama bagi industri kelapa sawit, menerusi anak syarikatnya Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) kini telah membangunkan agen kawalan biologi.
Diformulasi khusus dalam membendung permasalahan ini, aplikasi dua produk biologi berbentuk serbuk, PalmaGro dan PalmaShield ke atas pokok sawit diyakini mampu mencegah antara 70 hingga 80 peratus penyakit RPB.
FGV telah memulakan R&D PalmaGro pada tahun 2011 dengan melaksanakan pengumpulan spesies kulat jenis mikroriza daripada tanah, ia dijadikan sebagai kultur awal dalam menghasilkan produk itu.
Baja biologi

Keadaan pangkal pokok sawit yang reput akibat jangkitan pada tisu tanaman.


Setiap kitaran penghasilan kultur kulat tersebut mengambil masa selama 12 bulan dan melibatkan beberapa spesies yang dikenal pasti berpotensi digunakan sebagai baja biologi bagi pokok sawit.
Dalam pada itu, menurut Ketua Penyelidik BMC FGV, Hamdan Ibrahim, PalmaGro mengandungi lebih 200 spora kulat mikroriza bagi setiap 10 gram produk.
Malah, terdapat sebanyak lima spesies yang turut dikenal pasti didalamnya seperti Archaespora trappei, Rhizophagus clarus, Paraglomus, Acaulospora tuberculata dan Acaulospora colombiana.
“Manakala, dalam menghasilkan PalmaShield FGV melalui penyelidikan yang dilakukan mendapati, produk ini mampu dijadikan sebagai agen kawalan biologi menerusi penggunaan kulat Endofitik trichoderma dalam mengawal kulat Ganoderma pada pokok sawit.
“PalmaShield dibangunkan pada tahun 2010, ia mengeluarkan unsur biologi aktif yang menyebabkan pertumbuhan negatif Ganoderma boninense sehingga lebih 80 peratus selain mampu mengurangkan penyakit lebih 50 peratus,” jelasnya.
Kedua-dua produk tersebut mempunyai manfaat dari segi kesuburan pokok yang sihat, pertumbuhan permukaan akar lebih luas dengan keupayaan penyerapan air dan nutrien lebih pantas, sekali gus meningkatkan hayat serta hasil pokok sawit.
Kawalan
Melihat impak pada pencegahan awal dalam menghasilkan pokok sawit berkualiti tinggi, industri secara amnya mampu menggandakan pengeluaran yang optimum dan secara langsung memberi pulangan positif terhadap ekonomi dalam jangka masa panjang.
Sementara itu, Penyelidik Bersekutu Utama, Felda Global Ventures Research & Development Sdn. Bhd. (FGVR&D), Noor Hisham Hamid berkata, produk tersebut merupakan indikator saintifik dalam mengawal jangkitan Ganoderma bagi Felda dan industri sawit tempatan.
“Setakat ini, dasar yang diluluskan oleh FGVR&D adalah dengan melakukan sanitasi untuk pokok kelapa sawit yang dijangkiti Ganoderma merangkumi proses menumbangkan pokok, memotong batang kepada keratan kecil, menghancurkan tisu perdu dan uraian akar.
“Rawatan pada tanah turut dibuat dengan mengorek dan mengeluarkan tanah berpenyakit dengan saiz lubang berukuran 2x2x1.5 meter selain mendedahkan tisu serta tanah berpenyakit kepada sinaran matahari.
Pelaksanaan kaedah ini berupaya mengurangkan jangkitan Ganoderma di kawasan yang mempunyai insiden tinggi daripada 43.28 peratus kepada 0.93 peratus selepas 10 tahun program tanam semula.
Insiden Ganoderma tidak mungkin dapat dihapuskan sepenuhnya sekiranya terdapat sisa tinggalan yang banyak seperti keratan batang dan akar.
Menurut Noor Hisham, kaedah sanitasi seawal enam bulan sebelum program tanam semula adalah lebih baik kerana ia mampu mempercepatkan proses penguraian keratan sawit, sekali gus mampu mengurangkan risiko jangkitan.
“Kaedah membajak sebanyak dua pusingan adalah disarankan bagi kawasan yang mencatatkan insiden Ganoderma pada kadar 10 peratus, manakala, pokok berusia lima tahun ke bawah dikesan jangkitan ini perlu dimusnahkan sepenuhnya.
“Bagaimanapun, bagi pokok sawit berusia lima hingga 15 tahun yang dijangkiti Ganoderma tetapi masih produktif dan tiada simptom daun adalah digalakkan untuk melakukan teknik timbunan tanah bagi tujuan memanjangkan hayat dalam meningkatkan hasil. (Kosmo!)

No comments:

Post a Comment