Kepelbagaian fungsinya menjadikan kelapa antara tanaman yang versatil dan banyak digunakan oleh semua kelompok masyarakat.
Produk berasaskan kelapa adalah pelbagai, termasuklah minyak kelapa, kelapa parut segar, kelapa parut kering, kerisik, santan kelapa, jeli kelapa, minyak kelapa dara, makanan haiwan ternakan dan lain-lain produk hiliran.
Sekumpulan pelajar Sekolah Menengah Sains Alam Shah (SMSAS), Selangor baru-baru ini telah menjalankan penyelidikan ke atas sabut kelapa bersama penyelidik di Universiti Malaya (UM).
Usaha itu antara lainnya ingin menambah nilai bahagian tanaman kelapa yang selalunya dijadikan bahan buangan.
“Walaupun sabut kelapa memang sedia digunakan dalam pelbagai industri, terutamanya industri perabot dan automotif, peluang untuk menambah nilai sabut kelapa sebagai sebuah inovasi baharu sentiasa terbuka luas,” kata Ammar Haziq Ahmad Rizauddin, 17, salah seorang pelajar SMSAS yang juga merupakan ahli dalam penyelidikan tersebut.
Produk inovasi yang dihasilkan adalah bahan baharu dalam bentuk kepingan yang boleh dijadikan alternatif untuk kertas dan bahan percetakan, mahupun dijahit dan digunakan dalam industri tekstil.
Jika dipotong dalam saiz dan bentuk yang bersesuaian, bahan ini boleh dijadikan beg pelbagai guna yang boleh diguna semula dan mempunyai sifat biodegradasi.
Pensyarah Fakulti Kejuruteraan UM, Raja Ariffin Raja Ghazilla yang bertindak sebagai penasihat pula berkata, proses penyediaan bahan baharu itu juga tidak rumit.
“Ia hanya melibatkan penggunaan kerangka kayu dan skrin dawai halus bagi membentuk adunan sabut kayu yang digunakan.
“Jumlah penggunaan bahan kimia lain adalah bergantung kepada sifat dan fungsi produk yang ingin dihasilkan sama ada perlu mempunyai permukaan yang kasar atau tidak,” jelasnya.
Kumpulan penyelidik SMSAS ini turut menyertai sebuah pertandingan inovasi barangan terbuang BEGIN Challenge 2017 anjuran Fakulti Kejuruteraan UM baru-baru ini.
Produk berasaskan sabut kelapa ini telah diumumkan sebagai juara keseluruhan kerana potensinya yang luas sebagai bahan alternatif untuk pelbagai produk dan industri. (Kosmo!)
Hasil carian imej untuk Sabut kelapa, bahan baharu pelbagai guna