Saturday, 14 November 2015

Malaysia boleh tarik diri dari TPPA pada bila-bila masa, kata Mustapa

Selepas ia dikuatkuasakan, Malaysia masih boleh menarik diri daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) jika Putrajaya merasakan ia tidak mendapat nilai dari wangnya, kata Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, apa yang Putrajaya perlu lakukan hanya memberi notis 6 bulan untuk menarik diri daripada perjanjian perdagangan itu, yang pada masa ini terdiri daripada 11 negara lain.
"Kita boleh menarik diri pada bila-bila masa. Kita hanya perlu beri notis 6 bulan. Kita tidak akan diletakkan sekatan dan negara ini tidak akan diserang.
"Kita cuma akan rugi (kerana) tidak mendapat apa-apa faedah (sekiranya) berada di dalamnya," kata Mustapa dalam satu rancangan bual bicara secara langsung "SoalJawab" di TV3 hari ini.
Mustapa berkata jika Malaysia menandatangani TPPA tahun depan, akan terdapat tambahan dua tahun untuk ratifikasi, di mana Putrajaya terpaksa meminda undang-undang tempatan bagi menepati syarat-syarat perjanjian itu.
Perjanjian itu hanya akan dikuatkuasakan selepas proses ratifikasi itu.
Sebagai alternatif, Putrajaya boleh juga memilih untuk meneruskan perjanjian perdagangan itu tanpa melengkapkan proses ratifikasi.
Dalam perkembangan berkaitan, Mustapa berkata, pengeluar kereta tempatan Proton dan Perodua akan tiada pilihan selain memperbaiki prestasi mereka atau mungkin tewas kepada firma lain sebaik sahaja TPPA berkuatkuasa.
Katanya, saingan sengit untuk kedua-dua syarikat itu, yang merupakan tunjang industri automotif tempatan, akan menjadi realiti apabila lebih banyak kereta luar masuk ke pasaran melalui TPPA.
Kedua-dua pembuat kereta adalah antara pemain tempatan yang mungkin berdepan kerugian akibat pelaksanaan TPPA, kata Mustapa.
Perjanjian perdagangan itu, sebaik sahaja dikuatkuasakan, dijangka membuka pasaran automotif tempatan dan menghentikan perlindungan ke atas mereka.
Pengguna, bagaimanapun, akan mendapat manfaat kerana persaingan yang terhasil akan memaksa kedua-dua syarikat itu untuk menaik taraf operasi dan produk mereka, dan mengeluarkan kereta yang lebih berkualiti pada harga yang rendah, kata Mustapa.
"Proton dan Perodua memegang lebih 50% pasaran. Mereka kereta nasional. Dengan persaingan yang baru, mereka perlu meningkatkan kualiti dan kecekapan mereka.
"Tetapi, ini baik untuk pengguna kerana mereka akan mendapat harga yang baik dan berkualiti," kata Mustapa semasa program televisyen itu.
Jika Malaysia menandatangani TPPA tahun depan, ia akan mempunyai akses kepada sebuah pasaran dengan 800 juta pengguna dan di negara-negara yang mencakupi hampir 40% daripada jumlah pengeluaran ekonomi dunia atau keluaran dalam negara kasar. (TMI)

Wednesday, 4 November 2015

Aset kewangan Islam cecah AS$3.2 trilion menjelang 2020 - Thomson Reuters



KUALA LUMPUR: Aset kewangan Islam global dijangka meningkat kepada AS$3.2 trilion menjelang 2020, menurut Thomson Reuters, sumber maklumat pintar untuk perniagaan dan profesional terkemuka dunia.

Ketua Kewangan Islamnya, Mustafa Adil, berkata kewangan Islam dianggap sebagai sektor paling maju dalam pelbagai tonggak ekonomi Islam dan pertumbuhannya dalam industri global yang diukur mengikut nilai aset kewangan Islam. 

"Pada 2014, aset kewangan Islam berjumlah US$1.8 trilion, dengan perbankan Islam mewakili 74 peratus daripadanya, diikuti sukuk sebanyak 16 peratus," katanya di luar Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) Ke-11 di sini, hari ini. 

Beliau berkata, maklumat itu berdasarkan Perbadanan Islam bagi Pembangunan Sektor Swasta (ICD) Petunjuk Pembangunan Kewangan Islam Thomson Reuters 2015. 

"Menurut unjuran Thomson Reuters, aset kewangan Islam dijangka meningkat kepada AS$3.2 trilion menjelang 2020, dengan perbankan Islam mencecah AS$2.6 trilion," katanya. 

Memandangkan penerimaan global terhadap kewangan Islam terus meningkat, katanya lebih banyak korporat dan negara bukan islam mengumumkan inisiatif kewangan Islam seperti kewangan beretika atau peraturan patuh syariah, serta terbitan sukuk. 

Minat yang meningkat menunjukkan pelabur tertarik kepada faedah sekitar prinsip-prinsip etika kewangan Islam, hubungan kewangan kepada aset fizikal, aktiviti fiskal produktif dan pertumbuhan ekonomi sebenar. 

Dalam perkembangan lain, Mustafa berkata sektor makanan halal global dan gaya hidup, yang penggunaannya berjumlah AS$1.8 trilion pada 2014, diunjurkan meningkat kepada AS$2.6 trilion menjelang 2020, menurut dapatan daripada 'Laporan Ekonomi Islam Global 2015/2016'. 

"Sektor makanan halal, dengan penggunaan semasa sebanyak AS$1.13 trilion, dijangka berkembang kepada AS$1.56 trilion menjelang 2020, dengan permintaan untuk rawatan beretika haiwan sahaja menghasilkan pasaran makanan organik bernilai AS$100 bilion," katanya. 

Mustafa turut memberi pengenalan kepada Salaam, gerbang ekonomi Islam global, yang dilancarkan pada Sidang Kemuncak Ekonomi Islam Global di Dubai pada Oktober lalu. 

Alamat laman webnya, http://www.salaamgateway.com dan 90 peratus daripada kandungannya boleh diakses secara percuma, katanya. - BERNAMA 

Wednesday, 28 October 2015

Indonesia sokong AS, sertai TPPA

JOKOWI (kiri) berjabat tangan dengan Obama di pejabat Presiden AS itu di White House, Washington kelmarin.


WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama memenangi sokongan Indonesia untuk Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) kelmarin.
Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi juga berjanji untuk menyertai pakatan dagangan bebas itu.
Indonesia merupakan antara kuasa ekonomi terbesar di Asia Tenggara.
“Indonesia mengamalkan ekonomi terbuka dan dengan populasi 250 juta penduduk, kami merupakan kuasa ekonomi terbesar di Asia Tenggara. Justeru, kami bercadang untuk menyertai TPPA,” kata Jokowi di Oval Office.
Setakat ini, sebanyak 12 negara telah bersetuju menyertai TPPA termasuk Australia, Kanada, Jepun, Mexico, Viet­nam dan AS untuk mewujudkan ekonomi perdagangan bebas terbesar dunia.
Perjanjian itu dilihat oleh sesetengah pihak sebagai pe­nimbal balas untuk mengekang pengaruh ekonomi China di rantau Asia Tenggara.
Sokongan Jokowi merupakan kemenangan politik untuk Obama yang sebelum ini berdepan jalan sukar untuk menyempurnakan pakatan itu yang dikekang oleh Kongres tanpa sokongan daripada ahli Parti Demokrat pimpinannya.
Obama mendakwa TPPA mempunyai standard persekitaran dan pekerja paling kuat daripada mana-mana perjanjian dagangan yang ditandatangani oleh AS sebelum ini.
Sokongan Jokowi juga akan meningkatkan harapan berhubung kejayaan pakatan dagangan tersebut sekali gus membolehkan Indonesia me­nunjukkan kemampuannya.
Obama yang pernah tinggal di Indonesia selama hampir lima tahun ketika kecil berkata, Washington perlu mempunyai hubungan baik dengan Jakarta.
“Jelas sekali saya mempunyai kepentingan peribadi di Indonesia, memandangkan hakikat bahawa saya pernah menghabiskan sedikit masa di sana sebagai seorang anak dan mempunyai saudara-mara yang merupakan rakyat Indonesia.
“Tetapi kebenarannya adalah perkongsian kami ini membawa banyak kepentingan untuk AS.
“Hal ini kerana dengan populasi penduduk Indonesia yang ramai, kepimpinan di rantau ini, tradisi demokratik dan hakikatnya ia adalah sebuah negara Islam yang besar dengan tradisi kesederhanaan dan toleransi serta peranannya dalam perdagangan serta pembangunan ekonomi.” ujar Obama. – AFP

Tuesday, 27 October 2015

TPPA Agenda Besar Penjajah -Presiden PAS


KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dilihat sebagai satu agenda kuasa besar penjajah untuk kembali memerintah negara ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berpendapat, Malaysia seharusnya memulakan kerjasama dengan rakan serantau yang dekat terlebih dahulu dalam mengembangkan ekonomi mengikut hasil negara yang sama.


"TPPA adalah agenda baru penjajah, di sebalik perjanjian ini dilaksanakan kita akan terus berada dalam kuasa penjajah.
"TPPA buklan penyelesaian kepada ekonomi global tetapi penjajahan baru kuasa asing," ucap beliau ketika membahaskan Bajet 2016 di Dewan Rakyat, petang ini.

Beliau turut meminta agar kerajaan tidak terus bergantung kepada nilai Dollar Amerika dalam setiap urusan kerana ia mampu dimanupulasi oleh kuasa besar.

"USD adalah kertas kosong yang dicetak sesuka hati mereka dan kita sendiri tidak pernah bertanya adakah cetakan tersebut bersandarkan pada emas.
"Kita sekarang terkena tempias pada krisis yang dicipta mereka, isu kejatuhan mata wang yang melanda negara ini. Katanya lagi. ((Hrkh)

Wednesday, 21 October 2015

K'jaan: Jurang pendapatan Cina, bumiputera terbesar

Perangkaan kerajaan menunjukkan jurang pendapatan isi rumah purata pada 2014 adalah paling luas di antara kaum Cina dan bumiputera.
Purata isi rumah kaum Cina memperolehi 38 peratus pendapatan lebih tinggi setiap bulan berbanding dengan purata isi rumah bumiputera.
Data berkenaan diberikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri,Datuk Seri Abdul Wahid Omar, dalam jawapan bertulisnya kepada Parlimen semalam.
Beliau menjawab soalan Ahmad Hamzah (BN-Jasin) yang ingin tahu nilai GNI per kapita bagi kaum bumiputera, India dan Cina pada tahun 2009 dan 2014, unjuran pada 2020 dan usaha konkrit bagi merapatkan jurang berkenaan.
Bagaimanapun, Abdul Wahid berkata, jika pendapat hendak dilihat berasaskan kaum adalah lebih sesuai untuk menggunakan pendapatan bulanan purata isi rumah berbanding pekali GNI setiap kumpulan.
Statistik yang disediakan menunjukkan jurang pendapatan antara etnik isi rumah Cina dan bumiputera masih pada tahap sama pada 2009 dan 2014.
Bagaimanapun, pendapatan purata isi rumah kaum India dilihat semakin meningkat dan hampir merapati dengan etnik lain.
(MK)

Monday, 19 October 2015

Ribuan doktor protes di London

BEBERAPA orang doktor muda memegang sepanduk membantah tindakan kerajaan Britain mengubah waktu kerja mereka ketika satu demonstrasi di London kelmarin. - REUTERS

LONDON – Beribu-ribu orang doktor mengadakan protes berkaitan gaji dan cara kerja di London kelmarin dalam perbalahan yang semakin teruk antara kakitangan perubatan dan kerajaan Britain.
Setiausaha Kesihatan, Jeremy Hunt merancang untuk mengelaskan semula waktu kerja mingguan normal bagi doktor-doktor muda dengan memasukkan hari Sabtu serta waktu lewat malam, satu tindakan yang didakwa pengkritik akan mengurangkan gaji sehingga 30 peratus kerana kehilangan bayaran kerja lebih masa.
Satu kumpulan besar berhimpun di Whitehall, di mana pejabat-pejabat kerajaan ditempatkan bagi mendengar beberapa jurucakap mengutuk tindakan Hunt itu.
Penunjuk perasaan memakai pakaian kerja hospital sambil melaungkan ‘Hunt perlu pergi’ dan ‘Tidak selamat, tidak adil, Jeremy tidak peduli’.
“Limpahan kemarahan dan kekecewaan yang kami telah lihat daripada beribu-ribu doktor muda di seluruh Britain, kemuncaknya adalah dalam perhimpunan bersejarah hari ini (kelmarin) di London perlu menyedarkan menteri-menteri.
“Jika mereka fikir doktor-doktor muda akan menerima sahaja ancaman pelaksanaan wajib, terbukti mereka silap,” kata ketua jawatankuasa doktor muda Persatuan Perubatan British (BMA), Johann Malawana dalam satu kenyataan akhbar.
BMA dan polis London tidak dapat memberikan anggaran jumlah peserta perhimpunan tersebut tetapi beberapa laporan media mendakwa 20,000 orang menghadiri tunjuk perasaan itu.
Hunt memaklumkan perubahan dicadangkannya itu, yang hanya melibatkan doktor-doktor di England akan meningkatkan penjagaan kesihatan pesakit dengan menjadikan kos lebih murah untuk hospital menetapkan waktu kerja doktor pada hujung minggu di samping mengurangkan jumlah jam kerja mingguan doktor terbabit.
Doktor yang terlibat akan diberikan pampasan jika kehilangan pendapatan tambahan kerja lebih masa melalui peningkatan kadar gaji pokok.
“Saya fikir ianya sangat mengecewakan, cara BMA telah salah faham dengan pendirian kerajaan,” kata Hunt kepada rangkaian televisyen BBC.
BMA sedang bersedia mengadakan undi untuk ahlinya menentukan kemungkinan mengadakan mogok berkaitan isu tersebut sementara Hunt telah menyeru kumpulan doktor terbabit kembali ke meja rundingan. – AFP

Monday, 12 October 2015

Berlin:Ratusan Ribu Tolak Dagang Bebas Eropah/AS


Pihak penganjur merasa mencapai kejayaan besar selepas mendakwa berjaya menggerakkan 250,000 orang pada hari Sabtu (10/10/2015) untuk turun ke jalan di bandar Berlin, Jerman, guna membantah perjanjian perdagangan bebas antara Eropah dengan Amerika Syarikat dan Kanada.

"Ini adalah aksi protes terbesar yang pernah terjadi di negara ini selama bertahun-tahun," kata Christoph Bautz, pengarah gerakan massa, Compact, dalam ucapannya di hadapan peserta aksi protes yang diadakan bersama dengan kumpulan-kumpulan peduli lingkungan, organisasi amal dan partai- parti pembangkang.

Canselor Angela Merkel pernah mengatakan bahawa dia ingin Transatlantic Trade and Investment Partnership (TTIP) dengan Washington ditunaikan sebelum masa bakti Presiden AS Barack Obama berakhir.

Namun kumpulan penentang TTIP di Jerman bertambah tahun kebelakangan ini, di mana mereka bimbang perjanjian itu akan memberikan kuasa terlalu besar kepada syarikat-syarikat multinasional dengan mengorbankan pelanggan dan pekerja.

Para demonstran -yang menurut polis jumlahnya tidak sebanyak yang dituntut penyelenggara- mengatakan TTIP juga akan mengakibatkan penurunan standard kesihatan dan alam sekitar, contohnya dengan produk pertanian hasil pengubahsuaian genetik seperti yang banyak dipakai di Amerika Syarikat.

Sebagaimana diketahui, pengeluaran pertanian di AS banyak dihasilkan daripada tanaman hasil kejuruteraan genetik, yang di Eropah dianggap mempunyai kesan sampingan berbahaya bagi kesihatan manusia dan persekitaran hidup.

Tidak hanya itu, penentang TTIP juga mempersoalkan tentang standard kesejahteraan haiwan-haiwan ternakan jika perdagangan bebas dikuatkuasakan, yang menurut mereka perjanjian tersebut dibuat secara tertutup alias rahsia.

Aktivis penentang TTIP berkata perjanjian perdagangan bebas itu akan memaksa orang-orang Eropah memakan ayam yang dibasuh dengan bahan kimia klorin atau daging dari haiwan ternakan yang diberi makanan mengandungi hormon penggemuk.

Sementara itu kumpulan pengusaha berharap perdagangan bebas itu akan menjulang pendapatan ekonomi untuk Eropah lebih daripada 88 bilion euro bagi wilayah. (IH/H)