Tuesday 7 January 2014

Pulau Pinang pantau perusahaan burung walit


 

GEORGE TOWN: Kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) akan meneruskan pemantauan pemutihan dan penguatkuasaan aktiviti perusahaan burung walit yang dijalankan di premis sekitar Tapak Warisan George Town.
  
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir Negeri Chow Kon Yeow berkata tugas pemantauan adalah penting dalam usaha mengekal nilai seni warisan di tapak tersebut seperti yang ditetapkan  Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).
  
"Kita telah menamatkan usaha yang telah dimulakan sejak tiga tahun lepas dalam usaha mematuhi arahan Unesco. Walaupun sudah ada tindakan yang diambil, aktiviti pemantauan perlu diteruskan untuk menjaga kedudukan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia.
  
"Sekiranya tidak ada tindakan yang diambil, ia akan menjejaskan kawasan warisan. Usaha ini juga bertujuan untuk mengekalkan pengiktirafan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia yang mempunyai keunikan budaya dan seni bina," katanya kepada pemberita di  sini hari ini.
  
Chow berkata berkata proses pemutihan dan penguatkuasaan aktiviti perusahaan burung walit di premis sekitar Tapak Warisan George Town telah dimulakan sejak 1 Jan 2011 hingga  31 Dis 2013.

Terdapat 128 premis burung walit dalam senarai MPPP.
  
Premis berkenaan terdapat di kawasan seperti Lorong Chulia, Lebuh Carnarvon, Lebuh Acheh, Lebuh Klang, Lebuh Pantai dan Lebuh Victoria.
  
Chow berkata hanya 71 daripada 128 premis yang telah mempunyai aktiviti baharu manakala 57 premis lagi belum mempunyainya. - Bernama

No comments:

Post a Comment