Tuesday 1 March 2016

Bisnes online berdaftar lindungi penjual, pembeli


 Pembungkusan barangan perlu dilakukan dengan cepat dan teliti untuk mendapatkan kepuasan pelanggan. – Gambar hiasan

FENOMENA perniagaan secara online di negara ini dilihat umpama cendawan tumbuh selepas hujan. Faktor menjana pendapatan sampingan, mengisi masa lapang dan waktu kerja yang fleksibel menyebabkan ramai individu mula beralih kepada cabang perniagaan itu.

Dalam kemeriahan peniaga-peniaga memperkenalkan dan mempromosi produk jualan mereka, ada pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan terhadap keterujaan pelanggan dengan menjual barangan yang tidak mengikut spesifikasi seperti dinyatakan dalam laman jualan.


Hakikatnya, tindakan mendaftarkan perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memberi banyak kelebihan, bukan sahaja kepada pemilik bahkan para pelanggan.
Pemilik syarikat Diyanarudy Multi Resources, Nur Diyana Sahrur Rudi, 27, berkata, terdapat perbezaan yang agak ketara dalam perniagaan itu sejak dia mendaftar secara sah dengan SSM lebih satu tahun lalu.
“Pelanggan sering mengajukan pelbagai soalan bagi mendapatkan kepastian dan keyakinan terhadap perniagaan saya sebelum meneruskan urus niaga.
“Saya faham, mereka risau barangan yang ditempah tidak sampai ke tangan selepas membuat bayaran. Saya juga pernah mengalami perkara yang sama, justeru ia menjadikan saya lebih berhati-hati untuk berurusan secara online,” ujar graduan Sains Komputer Universiti Putra Malaysia (UPM) yang menjalankan perniagaan produk Muslimah secara online itu.
Operasi pemeriksaan
Daripada aspek perundangan, pengusaha perniagaan secara online yang menghadapi masalah terutamanya berkaitan dengan pihak berkuasa lebih mudah diselesaikan kerana syarikat itu sudah berdaftar secara sah.
Selain dapat mengelak dikenakan tindakan undang-undang, pemilik perniagaan juga dapat meraih keyakinan dan kepercayaan pelanggan. Tambahan pula, impak mendaftar perniagaan turut memberi manfaat kepada pengurusan syarikat.
“Pengurusan kewangan syarikat menjadi lebih terurus kerana mempunyai akaun khas dengan pihak bank. Ia lebih mudah diselia berbanding menggunakan akaun peribadi,” jelas anak kedua daripada tiga adik-beradik yang berasal dari Bangi, Selangor itu.
Selain itu, kredibiliti syarikat juga dapat ditingkatkan dalam jangka masa yang panjang. Malah, pemilik perniagaan online juga berpeluang mendapat geran-geran dan bantuan daripada kerajaan seandainya berhasrat untuk membangunkan perniagaan pada masa akan datang.
Atas kesedaran itu, pelanggan perlu menjadi pengguna yang bijak dalam menilai perniagaan online dan memastikan ia berdaftar dengan SSM terlebih dahulu sebelum meneruskan sebarang transaksi.
Selaras dengan Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 yang menyatakan setiap perniagaan menjana keuntungan harus berdaftar dengan SSM, badan berkanun itu akan menjalankan operasi pemeriksaan terhadap peniaga-peniaga secara online bagi memastikan kesemua pemilik perniagaan itu mendaftar secara sah.
Menurut Ketua Pegawai Operasi SSM, Datuk Zahrah Abd. Wahab Fenner, pihaknya kini sedang mengumpul pelbagai maklumat mengenai syarikat perniagaan online yang terbabit menerusi unit khas pemeriksaan yang telah ditubuhkan.
“Kami akan melakukan pemeriksaan terhadap peniaga-peniaga online menerusi satu unit khas yang akan mengumpul dan memantau maklumat perniagaan melalui internet, media sosial, surat khabar serta aduan daripada orang ramai.


TERDAPAT banyak portal membeli-belah online yang menyediakan pilihan barangan kepada pelanggan tanpa perlu ke kedai fizikal. – Gambar hiasan



Denda
“SSM juga akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta persatuan-persatuan perniagaan online bagi mengenal pasti pemilik perniagaan yang terlibat,” katanya selepas menyertai Operasi Pemeriksaan Fizikal ke atas syarikat dan perniagaan di pusat membeli-belah Nu Sentral dan KL Sentral baru-baru ini.
Tegas beliau, pemilik perniagaan online yang gagal mendaftar secara sah boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 di bawah akta SSM.
Perkara yang sama juga pernah dinyatakan oleh mantan Timbalan Menteri KPDNKK, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah dalam satu kenyataan sebelum ini.
“Melalui peraturan-peraturan Perlindungan Pengguna 2012, peniaga secara online wajib memaparkan nama perniagaan, nombor pendaftaran perniagaan atau syarikat, alamat e-mel dan nombor telefon di laman web, Facebook atau Instagram masing-masing,” katanya.
Selain perincian yang dinyatakan, peniaga secara online juga perlu menyatakan harga terperinci barangan dan kos berkaitan, kaedah pembayaran serta anggaran masa penghantaran barangan dengan jelas kepada pelanggan.
Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012 mula dikuatkuasakan pada 1 Julai 2013. (Kosmo!)

No comments:

Post a Comment