Saturday 19 March 2016

Rompakan Siber Terbesar Di Dunia, Transaksi Ke Bank Rizab N/York.


AFP - DEGUITO mengangkat sumpah sebelum menjawab soalan panel penyiasat Senat Filipina di Manila pada Selasa lepas

DHAKA – Gabenor bank pusat Bangladesh, Atiur Rahman dan dua timbalannya meletak jawatan berhubung kehilangan AS$81 juta (RM328.43 juta) wang milik institusi kewangan itu dalam satu rompakan siber yang disifatkan terbesar dalam sejarah dunia.
Beberapa penggodam memin­dahkan wang itu antara 4 dan 5 Februari lalu semasa cuti hujung minggu yang jatuh pada hari Jumaat di Bangladesh. Bank itu ditutup pada hari berkenaan.
Mereka memindahkan wang tunai itu menerusi transaksi elektronik daripada akaun bank berkenaan di Bank Rizab Persekutuan New York, Amerika Syarikat ke beberapa akaun di cawangan Rizal Commercial Banking Corp (RCBC) di Manila, Filipina.
Menurut beberapa laporan, kumpulan penggodam itu menceroboh sistem komputer bank pusat Bangladesh untuk mencuri data bagi me­lakukan pemindahan wang.
Mereka kemudian menghujani Bank Rizab Persekutuan New York dengan hampir 36 arahan untuk memindahkan wang daripada akaun bank pusat Bangladesh kepada beberapa entiti di Filipina dan Sri Lanka.
Empat permintaan bagi memin­dahkan wang kira-kira AS$81 juta berjaya tetapi arahan kelima melibatkan transaksi AS$20 juta (RM80.85 juta) kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Sri Lanka disekat selepas penggodam-penggodam itu tersilap mengeja nama NGO tersebut, Shalika Foundation sebagai Shalika Fandation.
Kesilapan itu menyebabkan bank laluan transaksi itu, Deutsche Bank menghubungi bank pusat Bangladesh yang bertindak menghentikan pemindahan wang itu.
Siasatan polis mendapati masalah mesin pencetak dan perisian menyebabkan bank pusat Bangladesh mengambil masa hampir empat hari untuk menghantar permintaan rasmi kepada bank-bank di seluruh dunia supaya menghentikan pemindahan wang itu.
Kumpulan penggodam itu pada awalnya cuba mencuri AS$1 bilion (RM4.04 bilion) simpanan antarabangsa milik bank pusat Bangladesh tetapi hanya berjaya melarikan AS$81 juta.
Wang tersebut dipindahkan ke akaun milik seorang ahli perniagaan berketurunan Cina di Filipina, William So Go. Dia kemudian didakwa memindahkan wang itu ke dalam akaun beberapa kasino di Filipina untuk proses pengubahan wang haram.
Peguam ahli perniagaan itu bagaimanapun memberitahu bahawa tandatangan anak guamnya telah ditiru bagi mengeluarkan wang tersebut.
Akaun ahli perniagaan berkenaan kini dibekukan pihak berkuasa Filipina.
Kelmarin pengurus cawangan RCBC di Manila, Maia Deguito memberitahu panel siasatan Senat bahawa dia memindahkan wang AS$81 juta itu ke beberapa akaun berlainan kerana bimbang nyawa­nya mela­yang. Bank pusat Bangladesh mempunyai rizab luar negara berjumlah berpuluh-puluh bilion AS. – Agensi

No comments:

Post a Comment