Friday 11 March 2016

TPP dilaksanakan selepas pilihan raya presiden AS


KUALA LUMPUR - Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) perlu dilaksanakan selepas pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) pada November tahun ini walaupun mendapat bantahan daripada calon-calon presiden.

Felo Kanan Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Sufian Jusoh berkata, Amerika Syarikat dan negara-negara anggota TPP perlu menerima perjanjian perdagangan mega itu dalam usaha meningkatkan perdagangan dalam kalangan 12 negara anggota.

"Saya rasa pada akhirnya, ia berdasarkan fikiran yang wajar bahawa AS memerlukan dunia dan sebaliknya. Saya pasti Donald Trump dan yang lainnya akan menyusul," katanya kepada Bernama.

Sufian, yang juga Felo Luar Institut Perdagangan Dunia University of Bern di Switzerland, ditemui di luar Forum Perolehan dan Integriti Tahunan Kelima bagi Sektor Awam dan Swasta 2016 di sini hari ini.
AS akan mengadakan pilihan raya presiden pada awal November, dengan pelantikan presiden baharu pada Januari 2017.

Perjanjian perdagangan itu, yang mendapat kritikan berat di Malaysia dan negara-negara lain yang mengambil bahagian dalam maklum balas kepada bab yang sensitif, ditandatangani pada 4 Februari 2016 di New Zealand oleh menteri-menteri perdagangan dari negara-negara yang terlibat.

Sementara itu, calon presiden AS - Donald Trump, Hillary Clinton dan Bernie Sanders - mengkritik TPP semasa kempen mereka, mendakwa ia akan menjejaskan ekonomi AS.

"Saya bimbang untuk proses ratifikasi, sama ada mereka menerimanya secara keseluruhan atau mereka mahu merundingkan semula isu-isu tertentu. Ia mungkin memberi kesan kepada had perolehan kerajaan kita dan dasar Bumiputera, kita tidak tahu," kata Sufian.  

Sementara itu, pada forum yang sama, Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berkata, kerajaan bersetuju projek-projek yang dalam pembinaan disemak semula oleh Jabatan Audit Negara.

"Matlamat kami ialah memastikan projek-projek itu tidak bermasalah. Ia telah dilaksanakan melibatkan lebih RM100 juta," katanya.

Beliau berkata Jabatan Audit Negara mempunyai senarai projek bernilai lebih RM100 juta yang akan dipantau.

"Kami akan merancang dengan sewajarnya. Hasrat kerajaan ialah memastikan projek itu berjaya," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment