GEORGE TOWN:
Kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) akan
meneruskan pemantauan pemutihan dan penguatkuasaan aktiviti perusahaan
burung walit yang dijalankan di premis sekitar Tapak Warisan George
Town.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan
Lalu Lintas dan Tebatan Banjir Negeri Chow Kon Yeow berkata tugas
pemantauan adalah penting dalam usaha mengekal nilai seni warisan di
tapak tersebut seperti yang ditetapkan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan
Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).
"Kita
telah menamatkan usaha yang telah dimulakan sejak tiga tahun lepas dalam
usaha mematuhi arahan Unesco. Walaupun sudah ada tindakan yang diambil,
aktiviti pemantauan perlu diteruskan untuk menjaga kedudukan George
Town sebagai Tapak Warisan Dunia.
"Sekiranya tidak ada
tindakan yang diambil, ia akan menjejaskan kawasan warisan. Usaha ini
juga bertujuan untuk mengekalkan pengiktirafan George Town sebagai Tapak
Warisan Dunia yang mempunyai keunikan budaya dan seni bina," katanya
kepada pemberita di sini hari ini.
Chow berkata berkata
proses pemutihan dan penguatkuasaan aktiviti perusahaan burung walit di
premis sekitar Tapak Warisan George Town telah dimulakan sejak 1 Jan
2011 hingga 31 Dis 2013.
Terdapat 128 premis burung walit dalam senarai MPPP.
Premis
berkenaan terdapat di kawasan seperti Lorong Chulia, Lebuh Carnarvon,
Lebuh Acheh, Lebuh Klang, Lebuh Pantai dan Lebuh Victoria.
Chow berkata hanya 71 daripada 128 premis yang telah mempunyai aktiviti baharu manakala 57 premis lagi belum mempunyainya.
- Bernama