Tan
Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary (gambar) dan anak bekas perdana menteri,
Datuk Mokhzani Mahathir tersenarai 10 individu terkaya di Malaysia
menurut majalah perniagaan, Malaysian Business.
Dalam satu kenyataan media hari ini, majalah tersebut menyenaraikan
kedua proksi Tun Dr Mahathir Mohamad tersebut masih kekal dalam senarai
'Top 40 Richest Malaysian 2014'.
Syed Mokhtar berada di tangga keenam, jatuh satu anak tangga dengan jumlah kekayaan mencecah RM11.07 bilion.
"Syed Mokhtar jatuh ke tangga keenam walaupun kekayaannya naik 4.43%
berbanding RM10.6 billion tahun lepas," kata Malaysian Business dalam
kenyataan media.
Syed Mokhtar merupakan jutawan yang memiliki beberapa pelabuhan melalui
MMC Corp Bhd, termasuk Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Johor.
Beliau juga mempunyai kepentingan dan aset dalam syarikat kejuruteraan
MMC Corporation dan Malakoff Berhad, iaitu IPP, syarikat pembekalan
elektrik dan Gas Malaysia.
Selain itu, Syed Mokhtar juga menguasai komoditi gula dan beras.
Mokhzani pula berada di tangga kesembilan dengan jumlah kekayaan RM4.22 billion, naik empat anak tangga berbanding tahun lepas.
"Datuk Mokhzani Mahathir menerusi syarikatnya, SapuraKencana Petroleum
berada pada kedudukan kesembilan dengan aset bernilai RM4.22 billion.
"Beliau berada pada tangga ke-13 tahun lepas, dengan jumlah kekayaan RM2.63 billion," kata majalah tersebut.
Mokhzani merupakan anak bekas perdana menteri paling lama negara serta
terlibat secara aktif dalam politik bersama parti pemerintah Umno.
Dalam kenyataan itu lagi, keseluruhan hasil kekayaan 40 individu
tersebut meningkat lebih 10% tahun ini, disumbangkan oleh pasaran saham
yang baik.
"Jumlah terkumpul keseluruhan bernilai RM217.82 billion setakat 18
Januari 2013, meningkat sebanyak 11.73% berbanding RM194.86 billion
setahun lalu," kata majalah tersebut lagi dalam edisi bertarikh 16
Februari 2014.
Majalah tersebut menyifatkan peningkatan kekayaan tersebut disumbangkan
oleh pasaran saham dan kadar inflasi yang meningkat pada tahun lalu,
susulan beberapa pemotongan subsidi oleh kerajaan pusat.
"Keseluruhan peningkatan kekayaan ini disumbang oleh pasaran saham dan
kenaikan inflasi, memandangkan kekayaan mereka berasaskan pegangan
saham.
"Ia juga bersangkutan dengan prestasi syarikat dan perkembangan ekonomi
Malaysia yang positif sejak 12 tahun lalu," katanya lagi.
Robert Kuok, hartawan Malaysia yang berpangkalan di Hong Kong serta
memiliki rangkaian hotel lima bintang di rantau ini, mengekalkan
kedudukannya sebagai individu terkaya di Malaysia dengan aset bernilai
RM54.48 billion, naik daripada RM46.1 billion pada tahun lepas.
Beliau disusuli taikun, T Ananda Krishnan, yang memiliki kekayaan
bernilai RM33.19 billion menerusi aset yang dipegangnya dalam Usaha
Tegas Sdn Bhd.
Senarai itu juga mencatat dua individu terkaya yang kembali berada dalam senarai 40 orang tersebut.
"Dua individu kembali ke dalam senarai tahun ini. Datuk Tony Tiah
daripada TA Enterprise berada di tangga ke-38 dengan aset bernilai
RM589.14 juta, manakala Tan Sri Rozali Ismail daripada Puncak Niaga
berada di tangga 40 terkaya dengan RM543.74 juta," kata majalah itu
lagi.
Senarai penuh 40 taikun dan perincian kekayaan masing-masing disiarkan dalam majalah itu.
Seperti tahun-tahun lepas, kekayaan 40 individu dalam senarai itu
dinilai berdasarkan pegangan kepentingan masing-masing dalam syarikat
tersenarai.
Malaysian Business diterbitkan Berita Publishing Sdn Bhd. – 19 Februari, 2014. (TMI)