Saturday 15 February 2014

Syed Mokhtar Diserang Monopoli Gula -Anwar Ibrahim


Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) meneruskan "kempennya" bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dengan serangan terhadap monopoli gula Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary yang dikatakan sebagai punca peningkatan kos sara hidup.

Ketua pembangkang itu berkata, beliau tidak menyerang ahli perniagaan terkemuka itu atas dasar peribadi tetapi kerana kos sara hidup melibatkan kepentingan rakyat.

"Syed Mokhtar kekayaan puluh bilion ringgit. Saya bukan benci dia. Saya tidak suka monopoli gula dikuasai sorang, rakyat terpaksa bayar," katanya ketika berceramah di hadapan lebih 200 penyokong Pakatan Rakyat (PR) di Taman Impian Murni di Kajang, malam tadi.

"Harga gula naik sebab monopoli Syed Mokhtar. Saya lawan Umno, Barisan Nasional (BN) termasuk tokoh-tokoh besar,” katanya.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bagaimanapun mengakui tidak semua harga barangan mampu dikawal kerajaan memerintah.

"Masalah kita di Kajang apa, masalah ekonomi, kehidupan.

"Saya akui, ada kerajaan mana-mana pun tidak boleh kawal. Harga minyak, gula contohnya, tidak boleh naik," katanya.

Anwar berkata, beliau tidak akan menggunakan pendekatan cemuhan peribadi terhadap mana-mana pemimpin dan individu dalam kempen ceramah mereka.

"Saya tidak maki orang. Saya terangkan apa yang kita lakukan.
"Saya dalam PKR sedikit pun tidak berganjak untuk menyebarkan dakwah," katanya.

Selepas Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13), kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak memulakan pemotongan subsidi petrol dan gula yang menyebabkan kos sara hidup meningkat.
Selain itu, tarif elektrik turut dinaikkan berkuatkuasa 2014.

Semasa membentangkan Bajet 2014 Oktober lalu, Najib mengumumkan pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) untuk menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) berkuatkuasa April 2014.

Pengkritik melihat pengenalan GST akan menambahkan beban kepada orang ramai.
Kerusi DUN Kajang kosong selepas Lee chin Cheh dari PKR meletakkan jawatan secara mengejut.
Lee, 42, merupakan seorang peguam dan bekas ahli parti Gerakan selama 10 tahun.
Dalam PRU13, Lee mendapat 19,571 undi, berbanding calon BN, Lee Ban Seng yang mendapat 12,747 undi.

Komposisi pengundi di Kajang membentuk 49% Melayu, 40% Cina, 10% India dan 0.91% lain-lain.
PR sudah mengumumkan Anwar sebagai calon mereka bagi PRK Kajang manakala BN masih lagi belum berbuat demikian.

Tetapi, spekulasi mengatakan Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun bakal diletakkan untuk melawan Anwar. – 15 Febuari, 2014. (TMI)

No comments:

Post a Comment