Friday 14 February 2014

Putrajaya Henti Kenaikan Tol, Dorong Ekonomi Jatuh, Kata Credit Suisse

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada minggu lalu mengumumkan kenaikan kadar tol tidak akan berlaku tahun ini. Gambar fail. 


Agensi kewangan dunia, Credit Suisse membidas keputusan Putrajaya tidak menaikkan tol kerana ia bakal memberi kesan buruk kepada ekonomi pada masa depan.

Agensi berpengkalan di Switzerland itu berkata, tindakan tersebut tidak sepatutnya berlaku pada ketika penarafan kredit Malaysia masih berada pada kedudukan membimbangkan.

"Keputusan berpatah balik menaikkan tol tidak sepatutnya berlaku.
"Keputusan berpatah balik yang besar akan memberi kesan kepada penurunan penarafan kredit," kata Credit Suisse dalam laporan Malaysia Market Strategy hari ini.

Pada Julai lalu, agensi penarafan kredit dunia Fitch Ratings melaporkan unjuran kredit Malaysia dilihat sebagai lemah.
Fitch Rating menurunkan ramalan unjuran kredit Malaysia daripada stabil kepada negatif.
Walaupun melihat langkah pengukuhan defisit fiskal bukan suatu yang popular, Credit Suisse berkata, ia adalah langkah yang kritikal.

"Tapi ia adalah polisi yang kritikal untuk mengurangkan defisit fiskal," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang juga Menteri Kewangan semasa pembentangan Bajet 2014 lalu mengumumkan beberapa polisi pengukuhan fiskal, antaranya pengurangan beberapa subsidi yang dinikmati oleh rakyat.

Bagaimanapun, pemotongan subsidi seperti petrol, elektrik dan gula menyumbang kepada kesan domino khususnya kepada rakyat.

Malah kadar inflasi meningkat 3.2% pada hujung Disember 2013.
Credit Suisse berkata, tindakan tidak menaikkan tol tersebut sebagai langkah oportunis yang diambil oleh Umno dan tidak melihat kesan jangka masa panjang.

"Malangnya, segelintir dalam parti perdana menteri memilih kesan jangka pendek dan mengabaikan kesan jangka panjang yang bakal berlaku.
"Kami percaya ini adalah kes opotunis politik dalam Umno," katanya.

Menurut Kredit Suisse, langkah tidak menaikkan kadar tol yang dikatakan menelan subsidi sebanyak RM900 juta sedang diperhatikan agensi penarafan dunia, memberi amaran Malaysia bakal berdepan dengan situasi buruk jika unjuran kredit tidak diperbaiki.

"Malaysia tidak boleh lagi terjatuh dalam unjuran kredit, sebaliknya perlu mensasarkan kepada penambahbaikan," katanya lagi. - 10 Februari 2014. (TMI)

No comments:

Post a Comment