Wednesday 27 April 2016

Minyak bukan lagi nadi ekonomi Arab Saudi


RIYADH – Arab Saudi akan mewujudkan dana pelaburan negara terbesar di dunia dan menjual saham dalam syarikat tenaga miliknya, Aramco di bawah pelan mega bagi mempelbagaikan sumber ekonomi supaya tidak lagi bergantung kepada eksport minyak.
Pengumuman transformasi jangka panjang yang dinamakan ‘Wawasan 2030’ itu dibuat kelmarin. Eksport minyak merupakan nadi ekonomi Arab Saudi sejak sekian lama.
“Transformasi ini bukan angan-angan. Ia satu realiti yang dapat dicapai dengan izin Tuhan,” kata perancang utama program kepelbagaian sumber ekonomi Arab Saudi, Timbalan Putera Mahkota, Mohammed bin Salman (gambar) kepada pemberita.
Walaupun dilaksanakan ketika harga minyak merudum, objektif pelan berkenaan bukan hanya untuk menangani cabaran tersebut, jelasnya.
Menurut Mohammed, Arab Saudi boleh hidup tanpa minyak menjelang 2020 sekiranya pelan mega itu berjaya.
Terdahulu dalam satu temu ramah bersama stesen televisyen Al-Arabiya, beliau berkata, perancangan itu termasuk penjualan kurang lima kepentingan dalam Aramco.
Nilai semasa syarikat itu ialah antara AS$2 trilion (RM7.9 trilion) hingga AS$2.5 trilion (RM9.9 trilion).
“Sebahagian hasil jualan itu akan digunakan untuk membentuk dana pelaburan negara terbesar di dunia mencecah AS$2 trilion (RM7.9 trilion), jauh lebih besar daripada dana serupa oleh Norway berjumlah AS$865 bilion (RM3.4 trilion),” katanya. – AFP

No comments:

Post a Comment