KUALA LUMPUR – Penggemar buah durian di negara ini mempertikaikan tindakan sesetengah peniaga yang mengambil kesempatan di atas populariti Musang King sebagai Raja Durian apabila ia dijual pada harga terlajak mahal mencecah RM100 sekilogram sejak beberapa minggu lalu.
Dalam tinjauan Kosmo! semalam di beberapa lokasi di Chow Kit, Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Ampang, Selangor serta Bentong, Pahang mendapati rata-rata peniaga meletakkan harga antara RM80 hingga RM100 untuk sekilogram.
Ini bermakna, seorang pelanggan perlu membelanjakan lebih RM150 hanya untuk mendapatkan sebiji Musang King bersaiz sederhana yang biasanya seberat lebih sekilogram dengan purata antara enam hingga lapan ulas durian.
Secara anggarannya, seorang penggemar durian terpaksa membayar harga RM20 untuk hanya seulas durian Musang King yang dimakannya.
Jika dinikmati bersama ahli keluarga seramai lima orang contohnya, ketua keluarga perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya RM700 untuk lima biji buah durian Musang King.
Difahamkan kebiasaannya pada tahun-tahun sebelum ini, buah durian Musang King dijual antara RM35 hingga RM50 sekilogram.
Seorang penggemar durian, Amirul Zaiq Roselan, 27 berkata, ramai pihak tidak puas hati dengan harga pasaran Musang King yang dianggap ibarat mencekik darah.
Jelasnya, harga hampir RM100 sekilogram secara logiknya tidak mampu dibayar oleh orang biasa melainkan seseorang yang benar-benar meminatinya dan berduit.
“Secara logiknya memang tidak berbaloi menghabiskan ratusan ringgit semata-mata untuk sebiji durian.
“Berdasarkan pengalaman saya, harga Musang King sebelum ini jauh lebih murah. Saya pernah menikmatinya pada harga sekitar RM40 sekilogram.
“Namun, kali ini saya terpaksa memilih buah durian jenis lain kerana merasakan peniaga mengambil kesempatan di atas populariti Musang King,” katanya di sini semalam.
Lapor Kosmo! (IH)
No comments:
Post a Comment