Monday 15 May 2017

Kereta Pandu Sendiri Buatan M'sia, Jurutol Terkejut!
















JOM KREATIF

“KETIKA kenderaan ini berhenti di sebuah plaza tol, saya dapat melihat wajah jurutol tersebut kelihatan terkejut dan takut.
“Mungkin lelaki itu hairan apabila melihat sebuah kenderaan mampu bergerak di atas jalan raya tanpa perlu dipandu oleh manusia. Keadaan tersebut menyebabkan dia memeriksa kenderaan kami berulang kali bagi memastikan adakah benar ia tidak mempunyai pemandu.
“Bagi menjelaskan kekeliruan yang berlaku, saya dan seorang jurutera yang pada waktu itu berada di dalam kenderaan tersebut kemudian memunculkan diri dan menerangkan kepada mereka mengenai kereta tanpa pemandu yang sedang diuji,” jelas Pengasas bersama Reka Axis PLT (Reka), Muhammad Haziq Faris Hasnol.
Menurut pemuda yang berusia 27 tahun itu lagi, kebolehan kereta tersebut untuk bergerak tanpa pemandu meletakkan ia setanding Tesla iaitu kereta tanpa pemandu keluaran Amerika Syarikat (AS) yang bernilai ratusan ribu ringgit.
Bagaimanapun, jelas Haziq, berbeza dengan Tesla, dia dan kumpulannya tidak mencipta sebuah kereta tanpa pemandu, sebaliknya mereka hanya membangunkan satu sistem yang dikuasakan oleh papan sirkit atau dikenali sebagai IoT board dan boleh dipasang pada mana-mana kenderaan untuk bergerak tanpa pemandu.
“Ketika pertama kali melihat Tesla, saya mula terfikir kenapa individu yang inginkan sebuah kereta yang boleh bergerak sendiri perlu membeli kereta berkenaan sedangkan mereka telah memiliki kenderaan lain.
“Kebetulan pada masa yang sama, saya pernah memasang impian untuk mencipta kereta pandu sendiri dengan menggunakan teknologi yang dibangunkan oleh kami untuk dikomersialkan di negara ini.
“Melihatkan keadaan tersebut, kami mengambil peluang itu untuk membangunkan satu sistem yang boleh digunakan pada mana-mana kenderaan sedia ada yang dimiliki individu dengan mengubahnya menjadi kereta pandu sendiri” jelasnya.
Menurut Haziq yang mempunyai Ijazah dalam jurusan Sains Komputer dari Universiti Cambridge, United Kingdom itu lagi, dia bersama lima orang jurutera Reka kemudian mula memasang strategi dan membangunkan satu sistem kawalan daripada papan sirkit yang diletakkan pada kenderaan.
Menurut pemuda itu lagi, mereka mengambil masa enam bulan untuk membangunkan sistem tersebut, selain tempoh dua bulan untuk menyelaraskan kerja-kerja di bahagian mekanikal seperti menghubungkan stereng, pedal minyak dan brek pada sistem tersebut.
 TESLA merupakan sebuah kenderaan pandu sendiri yang dikeluarkan pada tahun 2015.


Sistem berkomputer
Sistem yang dibangunkan oleh Reka itu mempunyai sebuah komputer yang boleh mengesan dan mengawal pergerakan kenderaan seperti berhenti, memperlahankan kenderaan dan mengawasi keadaan sekeliling secara automatik.
“Kami mahu tunjukkan papan sirkit boleh digunakan untuk mana-mana kenderaan tidak kira model lama atau baharu kerana ia akan membaca data yang diperoleh daripada kamera atau sensor yang dipasang pada papan pemuka kenderaan bagi memproses imej atau objek di hadapan.
“Data tersebut kemudian akan dianalisis oleh perisian kecerdasan buatan atau lebih dikenali sebagai Artificial Intelligence yang memberi isyarat kepada pedal dan stereng kereta,” katanya.
Ujar Haziq lagi, Reka menggunakan konsep mekanikal yang boleh diaplikasikan pada kenderaan berkomputer dan biasa.
Biarpun projek sistem kereta pandu sendiri yang beroperasi di Melaka itu menelan belanja lebih RM200,000, namun Haziq mengakui mereka tidak mendapat sebarang penajaan atau suntikan dana daripada mana-mana pihak.
Dalam pada itu, menurut pengasas bersama Reka, Muhammad Syurahbil Sallehudin, Reka menjadikan kenderaan jenis Proton Waja sebagai bahan eksperimen untuk menguji kelancaran papan sirkit yang digunakan.
“Sebaik papan sirkit tersebut siap dibangunkan, kami memasangnya pada kenderaan jenis Proton Waja. Tempoh pemasangan mengambil masa sehingga tiga minggu.
“Kami kemudian mengujinya dengan memandu di sekitar Lembah Klang untuk mengumpul data dan menguji sistem yang dibangunkan. Selalunya, ujian pengumpulan data dilakukan di restoran pandu lalu makanan segera.
“Ini kerana, di kawasan tersebut kita boleh menguji kebolehan sistem berkenaan dengan lebih teliti memandangkan kawasan itu mempunyai struktur jalan yang berbeza-beza,” jelasnya.
Ujar Syurahbil lagi, dia kemudian menguji kenderaan tersebut di atas jalan raya dengan memandu dari Melaka Ke Kuala Lumpur menggunakan sistem kedudukan global (GPS).
“Menerusi ujian yang dijalankan, kami dapati kenderaan tersebut menunjukkan tindak balas yang positif dan ia bergerak sama seperti dipandu oleh manusia.
“Malah, kenderaan tersebut boleh bergerak mengikut had kelajuan yang ditetapkan, selain mematuhi aturan lampu isyarat dan melakukan pusingan mengikut arah jalan yang diinginkan oleh penumpang,” jelasnya.
 REKA mengambil masa enam bulan untuk membangunkan papan sirkit kereta pandu sendiri.



Ketika ujian tersebut dijalankan, perjalanan kenderaan yang dipasang dengan sistem pandu sendiri yang direka oleh kumpulan anak muda itu mengambil masa tiga jam dari Melaka ke Kuala Lumpur dengan kelajuan 60 kilometer sejam.
Dengan hanya menggunakan papan sirkit, sensor, GPS dan kamera video yang dipasang, Reka berjaya mengubah kereta jenis Proton Waja menjadi kenderaan pandu sendiri.
Sistem pandu sendiri yang dihasilkan oleh Reka telah dipamerkan pada Pameran Sains di Seri Kembangan serta Karnival Pencipta dan Inovasi di The Strand, Kota Damansara, Selangor.
Dalam pada itu, salah seorang jurutera Reka, Muhajir Mustapa Kamal, 26, berkata, papan sirkit yang dibangunkan bukan sahaja digunakan untuk menggerakkan kereta kerana ia juga boleh digunakan pada objek lain.
“Sebenarnya kegunaan papan sirkit bukan sahaja untuk kenderaan tetapi apa-apa sahaja objek yang mempunyai roda seperti basikal, troli di pasar raya dan lain-lain lagi.
“Bagaimanapun, pelbagai aspek perlu dilihat memandangkan setiap objek memerlukan mekanisme berlainan. Malah, banyak perkara yang perlu dilihat kerana ia bukan tertakluk kepada penggunaan teknologi semata-mata,” jelasnya.
Sementara itu, menurut Haziq lagi, sistem pandu sendiri yang diciptanya itu bagaimanapun masih lagi pada peringkat penyelidikan.
“Walaupun sistem ini berjaya diuji pada kereta, namun ia baru sahaja 20 peratus dan masih memerlukan kajian lanjut.
“Ini kerana, sistem tersebut akan sentiasa memerlukan maklumat ketika bergerak, selain melibatkan pelbagai standard di jalan raya seperti papan tanda, garisan jalan, struktur jalan dan lain-lain yang membantunya membuat keputusan dengan tepat ketika di atas jalan.
“Bagaimanapun, papan litar tersebut sudah siap sepenuhnya untuk pengkomersialan,” jelasnya.
Tambahnya lagi, biarpun buat masa ini sistem tersebut masih belum dikomersialkan, namun dia percaya ia bakal menarik perhatian pemilik kenderaan di negara ini. (Kosmo!)

Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-103: Kisah-kisah Jom Kreatif (4)

E-Buku IH-103: Kisah-kisah Jom Kreatif (4)


No comments:

Post a Comment