Thursday 18 May 2017

Herba Sungai Sebulung Bermanfaat Untuk Penduduk &Pelancong.



SIAPA sangka Sungai Sebulung di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru, Johor yang diperindahkan kini dikenali sebagai Persisiran Herba Sungai Sebulung semakin menjadi tumpuan ramai.
Lebih 100 pokok daripada 30 jenis herba ditanam di sepanjang 800 meter sungai itu yang memberi manfaat bukan saja kepada penduduk setempat tapi juga pengunjung.
Bukan itu saja, teknik penggunaan baja organik pada setiap pokok herba yang ditanam sejak 2005 itu juga berjaya mengubah mentaliti penduduk setempat dalam memulihara dan memelihara alam sekitar.
Pengerusi Taman Herba Sungai Sebulung Mohd Isa Ahmad berkata, pengunjung pasti tidak menyangka ia boleh wujud di tengah-tengah kawasan perumahan yang tidak terancang di bandar raya ini.
Katanya, bukan mudah mengubah pemikiran penduduk yang sudah bertahun-tahun menjadikan sungai tempat pembuangan sampah.
“Kami mengambil masa setahun ‘memujuk,’ memberikan maklumat dan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan menjaga alam sekitar sebelum penduduk mula menerima proses membaik pulih sungai ini menjadi Persisiran Herba Sungai Sebulung.
“Dulu rumah penduduk ini dibina terlalu rapat dengan tebing sungai dan kami meminta jasa baik mereka untuk merobohkan sebahagiannya untuk memberi laluan kepada projek ini yang memerlukan jarak tiga meter bagi penanaman pokok herba.
“Persisiran herba ini melalui tiga fasa perubahan secara berperingkat, fasa pertama membabitkan 500 meter (m) dari Jalan Satu ke Jalan Berkat/Muafakat. Fasa kedua membabitkan 300m dari Jalan Satu ke Jalan Suka/Setia. Sementara fasa ketiga sepanjang 170m ke Jalan Rahmat/Berkat.
“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar, malah kami juga mendapat kerjasama penduduk setempat dalam pembuatan baja organik daripada sisa makanan menerusi penggunaan kaedah bioteknologi organisma mikro bermanfaat (EM),” katanya.
Menurut Mohd Isa, terdapat lebih 30 pokok herba ditanam antaranya pokok mahkota dewa, pecah kaca, mas cotek, tongkat ali, kacip fatimah, misai kucing, senduduk, garuda dan rama-rama.
Katanya, penanaman herba ini diilhamkan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) kerana yakin manfaatnya dapat dikongsi ramai sama ada penduduk mahupun pengunjung.
“Pokok herba ini banyak khasiatnya, ia nya juga menjadi amalan nenek moyang kita dulu yang lebih banyak menggunakan bahan alam semula jadi.
“Pengunjung perlu tahu khasiat setiap herba dan cara penggunaannya bagi mengelak kesan sampingan lain,” katanya.
Menyentuh penggunaan baja bioteknologi EM, Mohd Isa berkata, pihaknya menggunakan sepenuhnya khidmat penduduk kampung dalam pembuatan baja daripada sisa bahan makanan terbuang harian mereka.
Katanya, setiap rumah yang berpotensi dibekalkan tong khas dan EM bagi memproses serta membekalkan baja organik itu kepada setiap pokok herba yang ditanam.
Sementara itu, Ahli Majlis MBJB Zon Kampung Melayu Majidee Saadiah Hussin berkata, langkah melabel nama dan khasiat setiap pokok herba perlu dilakukan bagi membolehkan pengunjung tahu setiap jenis pokok herba yang ditanam sepanjang 800m di Sungai Sebulung itu.
Katanya, sebelum ini mereka pernah membuat label nama setiap pokok herba menggunakan kertas tebal, tetapi ia hanya tahan tidak sampai sebulan kerana terdedah cahaya matahari dan hujan.
“Kami juga pernah mengikat label nama herba pada setiap pokok tetapi tidak bertahan lama kerana pokok cepat membesar dan ada budak-budak nakal mencabutnya.
“Jadi kami berhasrat melabelkannya dengan label yang lebih kukuh dan tahan lama seperti zink atau besi,” katanya. (HM)

No comments:

Post a Comment