Saturday 20 May 2017

Mesin Layan Diri Jual Kereta Mewah Terbesar Dunia.


Mesin Layan Diri Jual Kereta Mewah Terbesar Dunia

SINGAPURA – Mungkin anda boleh melupakan sahaja minuman bergas atau makanan ringan jika melihat saiz mesin layan diri terbaharu di Singapura ini apabila kelihatan lain daripada yang lain.

Terletak di Jalan Kilang, Bukit Merah tidak jauh dari gedung perabot terkemuka IKEA Alexandra, mesin runcit ini hanya menawarkan kenderaan mewah, termasuk model Bentley, Ferrari, Lamborghini dan Morgan Plus 4 1955.
Penjual kereta terpakai Autobahn Motors (ABM) membuka bilik pameran 15 tingkat futuristik itu sekitar Disember tahun lalu, dengan memiliki 60 ruang bagi mempamerkan pelbagai jenama kereta berkuasa tinggi dan klasik.
Ia malah disifatkan sebagai mesin layan diri produk kereta paling besar di dunia. Senang kata, ia seumpama kotak pameran automotif popular Hot Wheelskeluaran firma alat permainan terkenal Mattel dari Amerika Syarikat.
Bagi individu biasa, peluang untuk memiliki kenderaan mewah seperti itu mungkin di luar kemampuan. Namun laporan akhbar tempatan TODAY ini menggambarkan apakah berlaku dalam kunjungan ke bilik pameran ABM.
Apabila tiba di bangunan pameran itu, anda terlebih dahulu akan dibawa masuk ke sebuah galeri dan kemudian dipelawa untuk duduk di sofa yang selesa. Pelanggan selepas itu diberi tablet untuk memilih kereta idaman hati.
Uniknya, pemilihan tersebut dilakukan dengan hanya menggunakan tablet berkenaan yang mempamerkan semua kenderaan ada di galeri ABM, daripada kereta moden berkuasa tinggi sehingga kepada model klasik atau vintaj.
Menurut ABM, ia mengambil masa paling lama pun cuma dua minit sebelum kenderaan dipesan tersebut kemudian tiba di depan anda sendiri dengan menggunakan sistem penghantaran dalam bentuk ‘tulang ikan’ secara automatik.
Sementara itu, lampu-lampu akan dimalapkan di galeri berkenaan dan video promosi bagi kereta yang dipilih akan dimainkan. Sesudah video itu selesai ditayangkan, lampu studio akan memancar pada kereta berkenaan sahaja.
Ia diletakkan di satu platform yang boleh berputar sebelum pelanggan dapat membawa pulang kereta berkenaan sendiri setelah selesai segala urusan berkaitan dokumentasi pembelian terhadap produk kenderaan tersebut.
Pengurus Besar ABM, Gary Hong dipetik TODAY berkata, format mesin layan diri unik itu bertujuan memanfaatkan penggunaan ruang sempit di negara saiz kecil seperti Singapura dan sengaja direka sebagai lain daripada yang lain.
Harga kereta di Singapura adalah kedua termahal di dunia selepas Hong Kong, China dan rakyatnya perlu menukar kereta baharu selepas 10 tahun jika tidak mahu dikenakan cukai yang lebih tinggi. – Agensi

No comments:

Post a Comment